DEMI mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi baharu Fadh Majid, melancarkan singlenya, Bukan Takdirku melalui platform Instagram (IG) dan Bigo.

Pelancaran segmen yang dinamakan Borak Santai Bersama Fadh Majid pada 27 Mac lalu itu turut disaksikan guru vokal, Cikgu Shafie yang mengajarkannya teknik nyanyian, penyanyi Shiha Zikir dan rakan media.

Pada hari sama, video lirik lagu berkenaan dilancarkan menerusi saluran YouTube Todak Music.

Berkongsi perasaannya saat terpaksa melancarkan single Bukan Takdirku dalam skala sederhana menggunakan platform media sosial, bukan majlis besar-besaran seperti  kebiasaan, Fadh ternyata berlapang dada.

“Meskipun dalam keadaan penularan wabak Covid-19 dan PKP, ada sesetengah kerja perlu kita laksanakan. Seperti pelancaran hari ini, tarikh yang dipilih sebenarnya sudah lama dirancang.

“Atas dasar kepekaan dan keprihatinan, malah demi kebaikan bersama, saya dan Todak Music mengambil inisiatif untuk menjadikan platform digital seperti Instagram dan Bigo sebagai landasan utama bagi pelancaran dan promosi single Bukan Takdirku sepanjang kita mengharungi krisis wabak Covid-19.

“Memandangkan ini saja cara terbaik buat masa ini bagi memperkenal dan mempromosikan single saya,” kata penyanyi dengan nama sebenar Muhammad Fadhlullah Abdul Majid itu.

FADH MAJID
Fadh mencipta sendiri single terbaharunya ini.

Bercerita lanjut mengenai single Bukan Takdirku, Fadh berkata, ia adalah hasil nukilan dirinya.

Lagu ini mengisahkan cinta yang terputus di tengah jalan dan bagaimana setiap daripada kita harus meredai sesuatu perpisahan.

“Biasanya bila bercakap mengenai lagu putus cinta, ia diekspresikan dengan rasa benci, kesal, menyalahkan pasangan, dendam dan emosi yang bercampur baur.

“Jarang lirik lagu putus cinta mengangkat konteks perpisahan itu sebagai takdir Allah SWT yang harus kita terima dengan hati yang terbuka.

“Ayah saya selalu berpesan, jangan terlalu terbawa-bawa dengan perasaan amarah apabila kita kecundang dalam percintaan dan jangan sesekali berdendam.

“Redakan pemergian insan yang kita kasihi kerana mungkin Allah SWT menjanjikan sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan kita,” katanya yang berkebolehan menyampaikan lagu irama tradisional.

YouTube video