SELEPAS lebih setahun pendapatan terjejas disebabkan pandemik Covid-19, anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun mengakui bergelut dengan masalah kewangan tidak berkesudahan.

Apatah lagi apabila dia kini sudah tidak mampu untuk membayar sewa rumah yang didiaminya, sementelah wang simpanannya juga semakin kehabisan.

Situasi itu menyebabkan, Fendy, 30, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan bapa tunggal kepada seorang cahaya mata, Nurazalea Zafirah, 6, memohon keprihatinan pihak kerajaan untuk memudahkan dirinya mendapat kelulusan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Tindakan dilakukan Fendy itu akhirnya menarik perhatian banyak pihak, termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang hadir bertemu empat mata untuk melihat keadaan sebenar di kediamannya di Sentul, pada Sabtu lalu.

“Saya berharap pihak kerajaan dan kementerian tertentu boleh memudahkan urusan saya meluluskann permohonan rumah sama ada secara menyewa atau sewa beli.

“Tak sangka Datuk Seri Rina Harun, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) serta wakil dari Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) sudi menjenguk saya di kediaman.

“Mereka datang bersama sumbangan makanan dan wang ringgit, malah lebih penting lagi turut memberi jaminan untuk memudahkan permohonan saya mendapatkan rumah.

“Sebelum ini saya pernah memohon untuk mendapatkan rumah sekitar tahun 2017, namun tidak ada perkembangan tentangnya sehingga hari ini,” katanya.

Jelas Fendy lagi, dia kini tidak mampu untuk membayar sewa bulanan apartment yang didiaminya di Sentul itu disebabkan sudah lama tidak bekerja.

“Sebelum ini saya menyewa dengan kawan di Bangsar, manakala bekas isteri pula di Brickfields.

“Namun disebabkan anak perlu berulang alik ke sekolah pendidikan golongan istimewa GENIUS Kurnia di Sentul, kami membuat keputusan untuk berpindah ke kawasan berdekatan untuk memudahkan urusan persekolahan anak.

“Bagaimanapun hari demi hari, banyak perkara yang harus saya fikirkan jika terus menyewa di sini, apatah lagi dengan kadar sewa tinggi sebanyak RM1300 sebulan.

“Oleh sebab itulah saya berharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan permohonan saya untuk memiliki rumah PPR atau mampu milik,” katanya.

Iklan

Tidak mahu hanya berpeluk tubuh mengharapkan bantuan, Fendy turut beriktiar dengan pelbagai cara termasuk menjual dua set dram, selain perkakasan muzik miliknya demi kelangsungan hidup.

“Hasil jualan dua set dram itu saya berjaya dapat dalam RM3,000 lebih.  Adalah serba sedikit pulangan.

“Sejak empat minggu lalu, saya juga mula mengambil inisiatif buat persembahan langsung di Facebook menerusi halaman Fendy Caliph Buskers, setiap Sabtu 9 malam. Saya sertakan juga nombor akaun bank untuk mereka yang mahu menyumbang ketika menonton persembahan saya.

“Saya pun enggan berpeluk tubuh dan meminta-minta. Jadi saya manfaatkan bakat muzik yang ada. Kalau celik mata, saya boleh buat pelbagai kerja demi meneruskan kelangsungan di era pandemik ini. Tapi apakan daya, saya OKU,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Rina Harun juga berharap DBKL dapat mempermudahkan proses permohonan rumah yang dilakukan Fendy.

“Insya-ALLAH saya harap urusannya untuk mendapatkan rumah PPR atau mampu milik dapat disegerakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Malah saya juga ada menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk membantu Fendy dalam mendapatkan dana membuat Hiburan Dari Rumah.

“Selain itu, Fendy turut menerima elaun RM500 untuk tiga bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diberikan kepada golongan OKU kehilangan pekerjaaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji,” katanya.