PENYANYI dan pelakon era 1980-an, Aman Shah meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Rabu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun sekitar jam 2.15 petang tadi selepas dimasukkan ke IJN sejak seminggu lalu.

Menurut kenyataan media daripada Seniman Malaysia, jenazah Allahyarham masih berada di IJN dan akan dibawa ke Masjid Alam Damai, Cheras untuk disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Alam Damai.

Iklan

Pada era kegemilangannya, Aman Shah yang ketika itu bernaung di bawah syarikat rakaman EMI cukup dikenali menerusi lagu raya Kepulangan Yang Dinanti dan Adikku Pandai Menari.

Iklan

Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem termasuk Darah Satria yang sering diulang siar di kaca televisyen setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan.