BIARPUN berdepan dengan masalah sakit saraf, pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz tidak menjadikan ia sebagai satu penghalang untuk terus aktif berlakon.

Memberi jaminan dia boleh bekerjasama dengan baik kepada penerbit dan pengarah, bintang berasal dari Singapura itu juga bersedia untuk menjayakan babak aksi yang tidak keterlaluan.

“Saya tidak mahu membuatkan penerbit atau pengarah bimbang dengan masalah kesihatan saya. Insya-ALLAH setakat ini saya boleh bekerjasama dengan baik.

“Saya masih berupaya menjayakan babak berlawan, seperti menendang. Cuma saya perlu mengelak daripada membuat aksi jatuh ke depan atau belakang,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media drama Gerak Khas Undercover yang berlangsung secara maya baru-baru ini.

Sebelum ini, Aaron, 46, mendedahkan dia mengalami masalah saraf ‘cervical facet arthritis’ iaitu kondisi saraf tersepit di bahagian leher sejak lapan tahun lalu.

Kali pertama Aaron berhadapan penyakit itupada 2012, sebelum menjalani penggambaran program realiti sukan lasak, Fear Factor Malaysia.

Elak jejas jadual kerja

Susulan itu, dia perlu bergantung dengan ubat-ubatan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.

“Jika masuk set penggambaran, saya okay saja, tak rasa sakit pun, namun yang pelik, kesakitan akan mula dirasai ketika berada di rumah sewaktu tidak bekerja.

“Sakit misalnya dirasai apabila melakukan senaman. Jadi bagi menahan kesakitan, saya akan mengambil ubat-ubatan daripada doktor,” jelasnya.

Iklan

Ditanya mengenai pembedahan, Aaron berkata, dia membuat keputusan tidak melakukan prosedur itu seperti disarankan doktor.

“Buat masa ni saya elakkan pembedahan dan makan ubat tahan sakit untuk hentikan saraf daripada membengkak. Kalau dah bengkak, memang memakan masa nak pulih.

“Sekiranya saya lakukan pembedahan, saya tak boleh berlakon dan ia akan menghalang atau melambatkan jadual kerj untuk dihabiskan,” ujarnya yang mengakui kurang selesa untuk membicarakan masalah kesihatan dialami kerana bimbang ada pihak produksi enggan mengambilnya berlakon selepas ini.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Aaron kini tampil dengan drama Gerak Khas Undercover bersama Erra Fazira, Ruzana Ibrahim, Elizabeth Tan, Raja Afiq, Salina Saibi dan Datuk Rosyam Nor.

Bercerita mengenai wataknya dalam drama itu, Aaron berkata, sebagai polis undercover, dia tampil dengan beberapa watak dan mempunyai konfliknya yang tersendiri.

“Saya membawakan watak sebagai ASP Zaki, yang terlibat dengan tugasan undercover. Bagaimanapun Zaki ini ada sisi gelapnya dan ditambah pula dengan konflik peribadi yang dihadapi membuatkan dia perlu menanggung pelbagai emosi,” katanya.