SENYUMAN selalunya akan mencipta atau memulakan sesuatu yang indah dan menyenangkan buat sesiapa sahaja yang menerimanya. Namun bagaimana pula jika ia adalah sebaliknya?

Itulah persoalan timbul dalam filem seram berjudul Smile yang baru sahaja memasuki pawagam tanah air bermula 29 September lalu.

Naskhah arahan Parker Finn itu tampil dengan garapan dan penyampaian cerita yang sangat baik serta segar meski konsepnya tidak banyak berbeza daripada filem seram sedia ada.

Smile yang diadaptasi daripada filem pendek, Laura Hasn’t Slept itu bermula dengan kejadian menimpa seorang pelajar bernama Laura Wever yang datang bertemu doktor psikologi, Rose selepas mengalami tekanan melampau.

Laura bercerita sering melihat seseorang tersenyum kepadanya. Bukan senyuman biasa tetapi mampu membuat dia berhalusinasi sehingga akhirnya terdorong melakukan sesuatu yang tidak masuk akal.

Rose yang mulanya menganggap cerita Laura hanyalah perkara biasa untuk mereka yang berada dalam tekanan, dikejutkan dengan tindakan gadis itu melempar senyuman penuh misteri sebelum membunuh diri dengan ngeri.

Menjadi satu-satunya saksi kejadian, Rose mula mengalami tekanan sama sebagaimana diceritakan Laura sebelum kematiannya.

Curiga dengan apa yang berlaku, wanita itu cuba menyiasat dan mencari punca sebenar di sebalik apa yang berlaku. Akhirnya dia menyedari kejadian itu adalah rantaian sumpahan di mana seseorang itu akan mengalami nasib sama dengan mangsa selepas menjadi saksi senyuman misteri tersebut.

Antara babak menarik filem Smile.

Smile tidak memerlukan masa lama untuk mewujudkan rasa ketakutan kepada penonton apabila seawal minit pertama lagi sederetan babak-babak mencemaskan disaji.

Situasi itu berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya apakah senyuman itu merupakan elemen supernatural, serangan virus atau sumpahan terancang.

Iklan

Pengarahnya berjaya menjadikan Smile sebuah filem yang benar-benar mendebarkan, sekali gus membuat penonton tidak senang duduk, malah berjaga-jaga kebarangkalian kejutan pada babak seterusnya.

Pemilihan muzik yang mengisi babak juga dibuat dengan tepat, malah dilihat sebagai antara kelebihan filem ini. Ia mampu menghadirkan emosi yang selari dengan apa yang sedang disaksikan di layar selain elemen jumpscare yang diselitkan.

Tidak hanya itu, lakonan Sosie Bacon sebagai Rose juga sangat cemerlang. Bermula sebagai pakar psikologi yang tenang, dia bertukar menjadi orang yang hilang arah, tegang dan penuh dengan tekanan. Ekspresi yang diberikan benar-benar meyakinkan penonton.

Iklan

Secara keseluruhannya, Smile akan membuatkan anda merasai keseraman dan ketakutan berterusan sepanjang menonton filem itu. Bagi penonton yang tidak mempunyai semangat kuat, filem ini mungkin bukan untuk anda.

Smile
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P18
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 55 minit
Pengarah: Parker Finn
Pelakon: Sosie Bacon, Jessie Usher, Kyle Gallner, Rob Morgan
Edaran: United International Pictures