ENTAHLAH, tidak tahu mana silapnya, ‘bisa‘ artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Masdi masih belum menyengat lagi.

Katakan apa sahaja, formula yang wajib untuk seorang artis menjadi seorang yang dikenali seperti bakat, rupa, sementelah vokal yang cukup mantap sudah dimiliki oleh Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi.

Meskipun dinobatkan sebagai Juara AF6, bintangnya masih tidak menyinar. Pun demikian, namanya menjadi trending ketika membuat persembahan pada final Anugerah Juara Lagu ke-35 dengan lagu Kau Sakiti baru-baru ini.

Sayangnya, ia cuma seketika dan hal itu diakui oleh empunya diri.

Melihat situasi itu, firasat Amir berfikir sejenak. Ombak hatinya seakan bergelora dan mencongak apakah strategi yang harus diimplemenkan agar dirinya terus relevan dalam industri nyanyian tanah air?

Dalam sesi wawancara bersama SinarPlus yang dilakukan secara maya baru-baru, Amir memberitahu, meskipun dikatakan masih belum cukup popular, semangatnya masih tidak luntur. Beliau tetap percaya, masih terdapat ruang dan peluang untuknya mencipta nama pada skala lebih besar.

Kepada penulis, Amir berkata, sebagai permulaan, beliau yang pernah menghasilkan single Pemilik Cinta itu mahu memperbaiki imejnya.

Masakan tidak, pada awal kemunculannya pada tahun 2016, dirinya tampil dengan potongan rambut pendek. Bukan itu sahaja, wajahnya disifatkan oleh ramai orang sebagai ‘tidak matang‘ dan kebudak-budakan. Pandangan pesimis itu membuatkan segalanya serba tidak menjadi.

Akui dengan situasi tersebut, artis muda yang berusia 25 tahun bertekad. Katanya, beliau secara berdikit-dikit bereksperimen dengan stail rambut panjang paras bahu yang dirasakan seiring dengan genre muzik pilihannya iaitu rock.

“Sejujurnya saya sudah lama memasang keinginan untuk tampil dengan stail sebegitu, namun ia tak dapat dilakukan dek kerana patuh dengan nasihat ibu (Jamaliah Samid),“ katanya.

Artis itu terus bersuara. Ujar beliau, ibunya mahu dirinya kelihatan kemas lebih-lebih lagi usianya ketika itu baru 20 tahun.

Hal itu ditambah lagi apabila kru produksi program AF2016 tidak membenarkan para peserta berbuat demikian, lantaran termaktub kepada konsep rancangan popular terbabit.

“Ya, hasrat itu tertunda kira-kira beberapa tahun lamanya sehinggalah lagu Puas nyanyian saya dilancarkan pada tahun 2018.

“Seperti yang saya katakan tadi, selari dengan genre rock yang dibawa, imej rambut ini sememangnya sangat sesuai.

“Transisi ini juga bukan suka-suka. Sebenarnya, bila rambut panjang, baru terasa ada ‘jiwa‘ rock mengalir dalam diri sebab sewaktu rambut pendek, ada yang melihat saya sebagai budak sekolah atau budak baik lagi naif,“ katanya sambil berseloroh seraya melepaskan ketawa kecil.

Dengan penampilan baharu, Amir berharap portfolio dirinya terus dikenali dan hasil kerjanya terus mendapat perhatian ramai.

Sebelum menutup tirai tentang topik kesungguhan menukar imejnya yang ‘lebih dewasa‘ itu, penulis sengaja mengusiknya dengan persoalan demikian.

Tidak sukarkah menjaga rambut pada paras bahu itu? Disambut dengan tawa kecil sekali lagi, Amir berkata, beliau seboleh-bolehnya mengelak menggunakan pengering rambut dan akan mencuci rambutnya setiap hari dengan kuantiti syampu yang minimum.

“Memang kelihatan agak sukar, tapi saya tak kisah melakukannya,“ katanya.

Pencinta buku & kucing

Nampaknya pada tahun 2021, Amir seolah-olah mahu mentransformasi kehidupannya ke arah yang lebih positif seiring dengan kematangan usia.

Kata selebriti itu, bukanlah dirinya seorang yang negatif, tetapi mahu menjadi insan yang lebih sempurna.

“Begini, saya dalam usaha mendidik diri saya untuk gemar membaca seperti yang ditunjukkan oleh pelakon Zizan Razak dan Akim & The Majistret. Ya, saya akui mudah tertidur sebaik membuka halaman pertama buku.

“Namun, sejak membabitkan diri dalam arena seni, saya melihat ramai artis yang menjadi ulat buku. Situasi itu secara tak langsung mendorong saya untuk menjadikan membaca salah satu hobi pada masa lapang sejak Januari lalu,“ katanya yang turut gemar melukis komik, bermain badminton dan permainan video dalam talian.

Ditebak apakah buku yang menjadi kecenderungannya, Amir lantas menjawab: “Saya suka membaca buku jenis biografi dan motivasi kerana ia secara tidak langsung boleh dijadikan panduan serta suri teladan untuk saya. Saya juga tidak akan teragak-agak membeli buku sekiranya ilustrasi kulit buku itu nampak elegan dan kreatif.“

Amir bersama dengan salah seekor kucing peliharaannya bernama Dendi.

Kami terus larut bersembang tentang itu dan ini. Rupa-rupanya penyanyi rock ini juga seorang pencinta kucing.
Memang penulis terkesima seketika apabila Amir menyatakan tentang sisi peribadinya yang ramai masih tidak tahu.

“Ya, betul saya memang suka haiwan terutama kucing yang menjadi binatang kesayangan Rasulullah. Untuk pengetahuan semua, saya memelihara dua ekor kucing peliharaan yang diberi nama Dino dan Dendi,“ katanya.

Iklan

Ujar anak kelahiran Selangor tu, Dino dan Dendi telah dijaganya sendiri sejak enam tahun lalu.

Akui Amir, ‘telatah‘ kedua-dua kucingnya itu merupakan satu terapi pada kala beliau dilanda kebosanan, malah ketika berada dalam keadaan stres.

“Namun, kadang-kadang saya ‘panas hati‘ juga terutama pada Dendi yang nakal kerana gemar menjatuhkan koleksi patung figura Avengers sehingga ada sebahagiannya rosak dan patah.

“Dendi ini memang agak aktif berbanding Dino yang sentiasa tenang dan bersahaja, tapi apa-apapun, ‘mereka‘ inilah menjadi penghibur duka lara hati ini,“ katanya yang sentiasa menjaga dan merapikan kedua-dua haiwan peliharaannya sambil dibantu ahli keluarga yang lain.

Suka naik tren

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, semakin banyak persoalan yang digali, semakin banyak perihal menarik tentang selebriti muda itu.

Barangkali agak janggal dilakukan oleh seorang artis yang namanya sudah terpasak dalam industri hiburan dan mempunyai ratusan ribu pengikut dalam media sosial. Namun akui Amir, beliau selesa menaiki pengangkutan awam untuk memenuhi jemputan persembahan.

Tegasnya, tiada sebab untuknya malu untuk menaiki tren LRT atau MRT. Peri pentingnya, destinasi yang hendak dituju, selamat tanpa sebarang masalah.

Iklan

Ya, barangkali rata-rata artis di negara ini akan menolak untuk berbuat demikian, namun bagi Amir, beliau selesa bergerak dengan cara itu.

Mungkin terdapat momen-momen menarik yang pernah berlaku sepanjang menaiki tren? Beliau lantas mengiyakannya.

“Pernah suatu ketika sewaktu saya menaiki MRT dari laluan Cheras ke Damansara, ada seorang mak cik yang duduk di kerusi sebelah saya.

“Perjalanan memakan masa selama 45 minit lamanya. Diringkaskan cerita, kami tidak berbual langsung.

“Namun, apabila sampai ke destinasi dan sememangnya dia mengenali saya agaknya, beliau cepat-cepat minta saya bergambar dengannya. Sudah pasti saya tidak menghampakannya,“ katanya yang sering menerima sapaan daripada pengguna tren yang mengetahui dan menyedari kehadirannya.

Bukan itu sahaja yang penulis ‘temui‘ tentang Amir. Pemenang kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2020 itu juga secara terbuka memberitahu, tentang satu lagi hobi peliknya.

“Memang bunyinya kedengaran canggung, tapi inilah saya. Saya sebenarnya selesa menghabiskan masa sendiri dengan cara memandu kereta tanpa hala tuju.

“Itu bukan satu perbuatan sia-sia. Saya menggunakan ruang waktu sepanjang memandu untuk menjernihkan fikiran yang kadangkala terasa penat memikirkan keadaan semasa, apatah lagi kita yang masih diancam dengan virus berbahaya Covid-19,“ katanya.

Bukankah pendekatan itu hanya memenatkan tubuh badannya sahaja lebih-lebih lagi jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang ‘kronik‘ di ibu kota? Amir pantas memberi respons: “Tidak, pemanduan tanpa arah tuju itu sesuatu yang menyeronokkan bagi saya. Terpulang apa yang orang nak fikir, tetapi situasi sebegitulah memberi peluang kepada saya untuk bertenang, melepaskan tekanan selain mencari ilham untuk berfikir.“