PENGLIBATAN Vanessa Reynauld dalam industri nyanyian bukannya baharu bermula. Namun penglibatannya dalam program The Masked Singer Malaysia (TMSM) telah membuka mata ramai tentang bakat gadis berusia 20 tahun itu.

Bergelar naib juara, Vanessa yang menyarung kostum Rajah Brooke dalam program itu tidak menunggu lama untuk muncul dengan lagu baharu berjudul Putus.

Lagu Putus ciptaan komposer, Farouk Roman dan lirik ditulis Amylea Azizan ini jelas menyerlahkan kemantapan laras vokal Vanessa.

Meskipun ceritanya bukanlah ditulis mengikut pengalaman penyanyi itu sendiri, namun ia tidak menjadi penghalang kepada penyampaian yang cukup mendayu daripada Vanessa.

“Putus mengisahkan pasangan bercinta yang menempuh turun dan naik dalam hubungan mereka. Lagu Putus ini bercerita mengenai hubungan yang sudah tawar dan sangat toksik.

“Ini disebabkan sebelah pihak melakukan sesuatu hal yang mengakibatkan mereka berdua sudah tidak boleh bersama meskipun masih saling mencintai.

“Apa yang saya nak pendengar belajar daripada lagu ini adalah sekiranya terperangkap dalam hubungan toksik, jangan teruskan.

“Hal itu hanya menambah derita sendiri semata-mata kerana percaya masih sayangkan dia dan tidak mungkin bertemu yang lebih baik. Tinggalkan saja kerana kamu berhak mendapat seseorang yang jauh lebih menghargai,” katanya.

Nama Vanessa kembali menjadi perhatian selepas menyertai program realiti The Masked Singer Malaysia (TMSM).

Lagu Putus juga adalah antara runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin. Drama dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong itu bakal mengisi slot Samarinda TV3 bermula pada Januari 2021.

Tambah Vanessa, dia tidak mengambil remeh proses pembikinan lagu ini dan meletakkan sepenuh jiwa untuk menghidupkannya.

Meskipun tidak terbabit langsung dengan penulisan lagu itu sendiri, baginya tugas sebenar perlu digalasnya adalah tidak lain untuk mendalami serta menjiwai karya berkenaan.

Iklan

“Lagu ini memang sudah siap terlebih dulu sebelum diberikan kepada saya. Saya dengar, belajar melodi, dan rakam lagu. Proses rakaman mengambil masa selama dua hari.

“Saya cuma belajar plot cerita dalam lagu ini dan menyampaikan dengan pengalaman yang pernah saya lihat sendiri dalam perhubungan orang lain. Saya sendiri tidak pernah melalui pengalaman sebegini,” katanya.

Vanessa mulai mencuri perhatian dalam bidang seni suara selepas mewakili Malaysia dalam pertandingan Water Cube Cup Worldwide Chinese Singing Competition di Beijing, China di mana dia mendapat naib juara. Penyanyi ini turut mencuba nasib dalam pertandingan Astro Ceria Megastar.

Iklan

Corak nyanyiannya yang bertaraf antarabangsa turut mendapat perhatian ramai pengikutnya di media sosial. Dengan jumlah pengikut lebih 74,000 di Instagram, dia turut popular di TikTok.

Putus boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.