• Monday , 25 May 2020

Ini dia cara Rasulullah SAW sambut Aidilfitri

Sambut raya
May 22, 2020
Nurulfatiha

SETIAP kali hendak sambut raya, ramai dalam kalangan kita akan ‘pening kepala’ memikirkan tentang perbelanjaan yang bakal dikeluarkan.

Apa tidaknya, masa itulah sibuk nak beli baju raya, kuih raya, kasut baharu, tukar langsir baharu dan sebagainya. Pendek kata, semuanya nak tukar baharu.

Itu belum cerita bab kos perjalanan nak balik ke kampung dan duit raya lagi. Entah berapalah habis duit di situ.

Walaupun tahun ini kita mungkin boleh jimat sikit kerana beraya dalam rumah masing-masing atau sekadar ziarah keluarga yang berdekatan sahaja, tapi baju raya baru tetap kena ada kan?

Kadangkala terfikir juga, kenapa semuanya nak kena baju baru, langsir baru dan sebagainya. Tujuannya mestilah nak kelihatan cantik.

Tapi macam mana cara Rasulullah sambut hari raya ya? Baginda pun pakai baju baru ke?

Jom tengok apa kata pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki tentang hal ini.

USTAZ MUSTAFAR

Kata beliau: “Firman ALLAH SWT pada hujung ayat 186, Surah al-Baqarah: “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan ALLAH SWT kerana mendapat pertunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur.”

Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha merupakan syariat Islam yang besar. Maka, antara sunah Nabi Muhammad SAW dan salafus soleh berhari raya adalah memperbanyakkan takbir dan tahmid, dan mengucapkan taqaballahuminna waminkum apabila bertemu.

Sentiasa berdoa agar amalan sentiasa diterima, niat mandi sunat Aidilfitri, memakai pakaian terbaik yang ada dan makan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

Adapun jika dibenarkan solat Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka disunatkan keluar ke masjid melalui jalan pergi dan balik yang berbeza.

Semua amalan itu diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf; al-Hafiz Ibn Hajar menerusi Fathul Bari; Imam Malik (al-Muwatta’); Imam Ahmad (menerusi Musnad beliau) dan Imam al-Baihaqi (Sunan al-Kubra).

Adapun aktiviti umum seperti berziarah, kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim adalah syiar yang tidak perlu dibahaskan lagi kebaikannya, selain berpuasa enam pada bulan Syawal.

Namun, sepanjang tempoh PKPB, maka duduklah di rumah sahaja,” kata beliau.

Jom sama-sama kita hidupkan sunah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Komen

About Nurulfatiha

Biodata Penulis