UNTUK menghadapi kehidupan selepas diberhentikan kerja bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan bagi meneruskan hidup dengan baik.

Begitupun setiap kesulitan pasti ada jalan penyelesaian dan hikmah di sebaliknya.

Pengalaman seorang entrepreneur, market explorer dan content creator, Norizan Sharif ini barangkali boleh dijadikan iktibar dan panduan.

Kesan negara dilanda krisis

Beberapa tahun lalu, negara dilanda krisis politik. Ia kemudian merebak menjadi krisis ekonomi. Saya tersepit dan menjadi mangsa. Enam bulan saya menganggur.

Saya tahu perit dibuang kerja. Ketika itu, saya ada empat orang anak yang masih bersekolah. Setiap bulan saya masih perlu bayar sewa rumah dan ansuran kereta.

Apabila arwah emak bertanya mengenai pekerjaan, saya sembunyikan. Saya berdolak-dalih tanpa jawab soalan. Saya tak sampai hati nak membebankan emak dan ayah yang hidup susah di kampung.

Sekarang saya melihat kitaran itu berulang kembali. Ramai yang dibuang kerja sewaktu Covid-19. Ada juga digantung tak bertali. Dan, ada beberapa orang anak muda beritahu saya, surat tawaran kerja mereka ditarik balik.

Norizan

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apakah yang boleh anda lakukan jika berada dalam situasi ini?

1. Usah salahkan diri sendiri. Apa yang berlaku ini bukanlah salah anda dan tidak ada kena mengena dengan prestasi anda. Ia merupakan krisis kesihatan global. Berhenti cakap-cakap negatif mengenai diri sendiri.

2. Berkongsi perasaan dengan pasangan dan keluarga. Mereka mungkin tak dapat membantu. Namun, anda ada tempat berkongsi beban perasaan. Usah simpan perasaan ini dalam diri.

3. Cuba lihat dari sisi yang betul. Walaupun anda susah, sentiasa ingat ramai lagi yang susah – termasuklah bekas majikan anda. Anda bukan keseorangan.

4. Susun semula kedudukan kewangan anda. Potong perbelanjaan tidak perlu. Cuba jadualkan semula bayaran ansuran kereta dan rumah. Minta tangguh bayaran balik pinjaman peribadi dan kad kredit. Gunakan baki wang simpanan dengan berhati-hati.

5. Mula cari pekerjaan baru. Insya-Allah, ada. Cuma dalam situasi sekarang anda mungkin perlukan masa yang lebih lama.

6. Cuba bertanya adik-beradik dan sahabat-sahabat. Mungkin mereka tahu peluang pekerjaan yang ada.

7. Sentiasa jaga diri anda. Usah biarkan apa yang berlaku ini beri kesan negatif kepada anda. Brisk walk. Senaman. Baca buku.

8. Berkawan dengan orang positif, termasuklah di media sosial. Sekiranya ada kawan-kawan Facebook atau Twitter banyak bercakap negatif, unfriend/ unfollow saja. Sekiranya perlu, block. Saya anda berasa lebih tenang tanpa media sosial, deactivate sementara.

Iklan

9. Elakkan salahkan orang lain, termasuklah majikan. Ia hanya menjadikan anda fokus kepada masa lampau. Sekiranya betul majikan anda bersalah, ia tidak mengubah apa-apa dalam hidup anda. Tumpukan kepada masa depan.

10. Usah terpesona dengan “kesenangan” hidup kawan-kawan yang anda lihat di media sosial. Ucapkan tahniah kepada mereka. Fokus kepada kehidupan anda.

11. Mengadu kepada ALLAH SWT. Solat. Baca al-Quran. Berdoa. Usah putus berharap dengan ALLAH SWT bagaimana sekalipun keadaan anda.

Saya masih ingat, saya mendapat tawaran kerja selepas enam bulan menganggur.

Usah anggap apa yang anda lalui ini sebagai satu titik penamat.

Kehidupan kita ialah satu perjalanan, bukan destinasi.

Iklan

Sekarang anda mungkin berada dalam terowong gelap. Insya-Allah, sampai waktu anda akan temui cahaya yang dicari. Apabila anda dapat rezeki yang lebih baik nanti, beri balik kepada orang yang memerlukan.

Sentiasa yakin bahawa ALLAH swt bukan sekadar beri rezeki, tetapi ALLAH SWT beri rezeki yang lebih baik.

Semoga bermanfaat!

Kredit: FB Norizan Sharif