PENGUMUMAN Ustaz Ebit Lew untuk berhenti berkhidmat pada semua secara langsung (live di media sosial) semalam memang membungkamkan kebanyakan masyarakat yang senang dengan perkongsiannya selama ini.

Seperti luahannya itu, apa yang dikongsikan di media sosial bukan dengan niat untuk suka-suka ia ditularkan.

Sebaliknya ada sebabnya Ustaz yang tenang dan lembut dalam berdakwah hingga mengundang sebak ramai dalam kalangan netizen ini berkongsi.

Baginya, media sosial yang digunakan adalah sebagai medan untuk  berkongsi dan memaparkan rasa kasih sayang dengan semua.

Begitupun selepas ini, kongsi Ustaz Ebit Lew beliau akan meneruskan untuk menyalurkan wang pada orang susah dari rumah sahaja.

Beliau turut meminta supaya orang ramai tidak lagi tag kes orang susah kepadanya. Namun menyatakan selepas tamat PKP baharu akan cuba membantu mereka yang memerlukan.

Berikut antara 5 lokasi pemberian bantuan dan sokongan ketika turun padang yang dikongsikan beliau sebelum mengumumkan menamatkan khidmatnya bertemu mereka yang memerlukan secara langsung: 

1) Semalam (24 April) - Mahu baiki surau, pasang pendingin hawa 

Bertemu petugas PDRM. Terharu dengan menyifatkan semua PDRM memudahkan urusannya mencari orang lapar dan tiada rumah.

Beliau menyerahkan hadiah pada beberapa balai polis dan di jalan sebagai tanda terima kasih pada mereka.

"Hampir semua tempat hadiah mask, kurma, aircond, sedikit barangan asas jika ada yang perlu.

"Beberapa balai saya nak tolong repair surau dengan pasang aircond dan ganti karpet mereka. Doakan yer. Terima kasih semua pihak PDRM yang membantu memudahkan bahkan siap tolong saya dari mula sampai habis," katanya.

2) 23 April - Bantu keluarga susah hidup di pondok lebih 15 tahun

Membantu sebuah keluarga yang lebih 15 tahun hidup di pondok usang dan menyedihkan. Baginya ia hadiah kasih sayang daripadanya buat keluarga ini.

Dapat beri mereka rumah baru, selesa tak perlu bayar dan menyatakan insya-ALLAH akan membayarnya selagi ada hayat.

Beliau turut membelikan peti ais, mesin basuh, periuk nasi, cerek, dapur gas, kipas, tilam, baju raya, bantal dan semua peralatan rumah.

"Ujian mereka dan ujian kita. Kita sebuah keluarga. Mereka pakcik tua makcik tua macam mak ayah kita. Anak mereka macam adik beradik dan anak kita. Kasihanilah mereka 15 tahun hidup begitu. Bantula mereka. Sayangi mereka.

"Terima kasih dengan bantuan kejiranan baru yang baik tadi. Mereka beramai bawa mesin rumput. Bawa katil. Kami bincang aturkan anak sekolah. Aturkan rawatan kesihatan pakcik dan isteri yang perlu rawatan mingguan. Ada guru mengaji. Kelas di surau selepas PKP," katanya.

Beliau menghargai penduduk taman dan jiran baru keluarga berkenaan yang sangat positif dan membantu.

3) 19 April - Bantuan dan motivasi kepada petugas kesihatan

Sebelum hari-harinya dipenuhi untuk membantu keluarga susah di atas tadi, sempat beliau sempat singgah ke klinik Batu Arang, klinik Sg Buloh, klinik Serendah dan klinik Jinjang.

"Syukur hari ini dapat 4 klinik lagi hantar aircond, kipas, apron, face shield, sedikit makanan kering dan roti.

Iklan

Ada klinik minta doakan mereka. Ada satu klinik dah siap kerusi jarak-jarak dan mike minta beri sedikit motivasi. Allahuakbar.

Ustaz terima kasih tak sangka ustaz sampai sini walau kami ini jauh dari bandar sana. Batu Arang. Baru sepatah, mata mereka merah mengalir air mata. Kakak semua penat yer? Penatkan. Semua dah sebak. Kerja hari biasa dengan waktu covid ini tak sama. Saya sendiri terasa letih yang amat sangat. Sebab entahlah. Takut, risau, sedih,tak pasti semuanya hadir dalam fikiran. Oksigen pun dah tapis dengan mask. Dengan snitizer sentiasa. Cuci tangan sentiasa.

Mereka menangis dan minta doa. Walau Melayu, Cina, India, Sikh,dll semuanya tekun mendengar. Ada seorang makcik Chinese berumur sikit berebut nak ambil gambar. Dan ulang kali cakap terima kasih," tulisnya pada posting pada tarikh ini. 

4) 18 April - Sewakan bilik buat pakcik uzue di Sunway Putra Mall

SEBAK ramai 'pm' dirinya tentang pakcik ini di tengah malam. Tidur tepi jalan tiada duit dan tempat tinggal, pagi esoknya terus beliau bergegas cari pakcik ini.

Ceritanya selepas isterinya pakcik itu yang dipanggil Pak Long meninggal duani, terus pakcik itu ke ibu kota cuba mencari rezeki.

Sewa bilik yang agak lama tak mampu dibayar, akhirnya terpaksa keluar dan tidur merata-rata di jalanan dan kadang menumpang rumah kawannya yang juga OKU.

"Katanya tak nak ke rumah gelandangan dan kebajikan. Nak terus berusaha sendiri walau apapun.

Saya terus bawanya ke bilik yang dia berhutang lama tu dan tengok bilik tu. Tandas dekat luar. Ada bilik lain disitu. Saya terus call owner dan dia kata Pak Long tu baik. Tapi dah lama sangat. Saya faham yerlah kita semua cari rezeki. Saya pun minta no akaunnya dan bayarkan semua hutang bilik tu dan minta lepas ni saya bayarkan je bulan-bulan selagi pakcik nak duduk situ. Owner tu happy. Pak long terus menangis terharu masa saya cakap dengan owner tu.

Syukur pak long dah ada rumah. Saya dah beri belanja untuk berehat sampai habis tempoh pkp ini. Masa menangis Pak Long kata selalu orang tanya khabar simpati. Saya ingat dah takde orang boleh bantu saya. Saya malu rasa ustaz baik sangat tolong macam ni. Takper pak long. Allah yang sayang pak long. Jaga solat dan teruskan buat kebaikan. Masa tu saya pun sebak dan tahan je menangis. Senyuman tangisan itu buat saya rasa lega. Walau ada lagi beberapa kes lain nak tengok. Ya ALLAH terimalah semua ini," kongsinya di FB.

5) 17 April - Hantar bantuan pada nelayan di Kg Asli Sg Dua, Pulau Ketam

Iklan

Menghantar bekalan dan belanja di Kg Asli Sg Dua, Pulau Ketam dan nelayan-nelayan. Beliau sayu melihat hidup mereka. Rumah jalan atas titi. Rumah atas air.

Ustaz Ebit memberi sumbangan dari rumah ke rumah.

"Muka macam ayah-ayah kita. Ada pakcik tu syukur dah dapat sedikit duit belanja ni dah boleh balik rumah lah. Ya ALLAH jumpa ustaz dekat laut. Ada Orang Asli duduk atas titi jer. Tutup pakai kanvas jer.

"Katanya banyak nyamuk musim sekarang. Tidur alas kayu jer. Mandi dekat sebelah. Takde rupa rumah atau pondok pun bukan. Mereka tengah bina surau. Takde rupa surau pun. Aduh tak sangka macam ni pun ada dekat jer dengan kita. Tapi walau begitu mereka semua senyum jer dan semuanya pemalu baik-baik.. Ada anak ramai. Ada juga tinggal sendiri," katanya dalam perkongsian.

Beliau bersyukur atas permintaan bantuan penduduk setempat.

"Polis Gerakan Marin membantu dari mula sampai habis bersama OCS Pulau Ketam. Dalam bot dengar kisah hidup mereka sebak. Ramai polis marin bertugas tak balik lebih sebulan. Menjaga perairan negara. Sakit anak isteri kawan-kawan lain bantu. Sedih dengar. Jika bulan puasa kadang buka puasa tepi pokok paya bakau jer. Berhenti tepi perairan jer. Berhari-hari tu biasa. Seminggu dua.

Puasa macam biasa. Kadang polis marin berbuka dengan nelayan jer. Allahuakbar. Musim covid 19 ini mereka benar-benar mengawal tiada cluster baru dari mana-mana sebab tu kerja mereka makin berat. Semua dikawal ketat demi negara dan covid 19 ini cepat hilang. Hanya ALLAH membalas setiap pengorbanan polis marin ini. Terima kaseh semua yang berjuang dilautan sana.

Mereka selalu membantu nelayan jika bot rosak dan habis minyak. Abang polis tadi menangis cerita kesusahan nelayan dan juga kawan mereka yang kerja jauh.

Rindu ustaz, suasana sebelum covid 19. Rindu semuanya. Saya pun sama abang rindu kenikmatan hidup sebelum ini. Terima kasih Allah atas nikmatMu selama ini. Terima kaseh frontliner Malaysia abang polis marin.

Syukur dapat membantu di kg asli di perairan dan berjumpa nelayan-nelayan," katanya.

Banyak lagi perkongsian Ustaz Ebit. Hanya sekelumit ini yang dapat Sinar Plus kongsikan. Moga kita mendapat iktibar daripada perkongsiannya.

Jika dilihat perkongsian di laman sosialnya, ada sahaja aktivitinya hampir setiap hari untuk membantu masyarakat. Perhatiannya tertumpu terutama kepada mereka yang dilanda kesusahan dan daif.

Pendek kata golongan yang acap kali dipandang sebelah mata mendapat perhatiannya. Apalagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

Sukar berjumpa insan seperti Ustaz Ebit...

Malangnya, sejak semalam warga siber terutama para pengikutnya dikejutkan dengan berita daripada pendakwah ini sendiri.

Ustaz Ebit dalam posting beliau di Facebook menyatakan hasrat terpaksa berhenti berkhidmat seperti kelazimannya bagi membantu golongan yang susah.

Ia dikatakan dilakukan atas nasihat. -AG