SANGGUP redah air banjir sejauh lebih tiga kilometer hanya untuk menghantar pesanan ayam mentah dan santan kepada penduduk kampung yang terperangkap di Kampung Kulim, Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan dan ia dibuat secara sukarela.

Itulah yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda yang mana mereka menawarkan khidmat sukarela bagi membantu orang kampung yang terjejas akibat banjir.

Mereka terdiri daripada lapan sekawan berusia antara 13 tahun hingga 23 tahun meredah air banjir separas 0.3 sehingga 0.5 meter di Jalan Gual Ipoh-Kusial, dengan memikul 30 ekor ayam mentah dan santan.

Memetik laporan portal media tempatan, seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Mohd Afiq Aiman Ramli berkata, mereka berpakat membantu penduduk kampung yang terperangkap secara percuma, kerana bimbang jika ada yang terputus bekalan makanan.

Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, penduduk kampung telefon pembekal ayam, sebelum dia dan rakan-rakan lain tawar diri untuk hantar bekalan itu.

Mereka dikatakan bergerak secara berkumpulan untuk tujuan keselamatan diri, selain memastikan jalan yang dilalui masih selamat walaupun banjir.

8 sekawan tawar khidmat hantar pesanan dalam banjir secara sukarelaMenurut mereka juga, ini adalah kali pertama mereka menjalankan aktiviti sukarelawan sebegini tambahan pula banjir kali ini agak teruk dan air yang naik secara mendadak terlalu cepat.

Seawal jam 10 pagi, mereka telah dua kali meredah air bagi menghantar pesanan penduduk kampung.

Dalam pada itu kerja-kerja menghantar pesanan juga perlu dilakukan dengan cepat. Selain mengejar masa, mereka risau air naik semakin tinggi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Sementara itu, dalam kalangan kumpulan mereka yang paling muda adalah Aiman Fauzi yang berusia 13 tahun.

Iklan

Aiman mendakwa dia tidak gentar untuk turut sama meredah air bersama rakan-rakan, untuk membawa bekalan makanan bagi membantu penduduk kampung.

Namun, Aiman juga tetap tidak membelakangkan keluarganya. Aktiviti amal yang dilakukan bersama rakan-rakan yang lain turut dimaklumkan kepada kedua ibu bapanya dan mendapat kebenaran keduanya terlebih dahulu.

Aiman mendakwa dia terpaksa berjalan kaki dari Kampung Liku redah air ke  Kampung Kulim sebelum naik perahu dan menuju ke kawasan penduduk yang terjejas.

Iklan

Walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan basah dan sangat sejuk, ia tidak menjadi penghalang untuk anak muda itu menabur berbakti dengan penduduk kampung.

Setakat ini, hanya ayam segar dan santan yang dibawa atas permintaan penduduk.

Tahniah anak muda! Teruskan berbakti dan berjasa kepada masyarakat yang memerlukan.