BUKAN senang nak ‘bangkit’ khususnya buat golongan yang terjejas dek Covid-19 terutama dalam urusan  mencari sumber rezeki.

Perancangan mencari rezeki perlu bersungguh-sungguh. Ya kadangkala sama ada majikan, termasuklah pekerja bahkan mereka yang bekerja sendiri akan menjadi lelah mengejar KPI bagi mencapai tahap kehidupan lebih selesa.

Jika tidak kerana Covid-19 pun ramai yang tertekan akibat kerja dalam mencapai yang terbaik, apalagi selepas tempoh untuk ‘bangkit’ selepas wabak ini.

Apa pun ketahuilah, bila stres, semua kerja tidak jadi. Tugasan yang diberi pun tidak siap. Semua aktiviti terhenti. Balik-balik kerana tidak tahan dengan kerja, ramai yang fikir untuk ‘resign’.

Barangkali puncanya banyak yang tidak disedari oleh bos atau majikan. Laman idea dan pandangan tentang kehidupan keluarga Muslim moden, The Rohani berkongsi, begitupun ada cara menangani dan mengatasi tekanan kerja.

Apa punca stres di tempat kerja?

Artikel dari American Psychological Association mengatakan, ini adalah antara penyebab stress dalam kalangan pekerja:

1. Gaji rendah
2. Kerja yang banyak melampau
3. Tiada peluang untuk berkembang di tempat kerja
4. Kerja yang diberikan tidak menarik
5. Tugasan yang diberikan tidak mencabar
6. Tiada sokongan dan bantuan rakan sekerja
7. Tiada kuasa untuk membuat pilihan terbaik untuk tugasan sendiri
8. Majikan minta buat tugasan yang bukan-bukan
9. KPI atau sasaran prestasi yang tidak masuk akal

Izinkan kami berkongsi, cara mengatasi stres yang cukup mudah ini.

Kami faham untuk menangani stres, apatah lagi untuk mengatasi tekanan, bukanlah satu perkara yang mudah.

Dan kami bukanlah pakar psikologi. Namun, inilah yang kami selalu buat untuk mengatasi stres dalam diri,” kongsi The Rohani.

Artikel berkaitan: Risiko akibat stres melampau

Cara hilangkan stres menurutnya:

#1: Jangan ‘overthinking‘
Bila kita fikir bukan-bukan, itu yang datang stres. Cuba jangan fikir langsung, teruskan sahaja kerja kita. Baru senang hidup kita.

Bila kita ‘overthinking‘, kita sudah set minda kita yang sesuatu yang buruk itu pasti akan berlalu. Dalam kes sebenar, ia tidaklah sebegitu.

#2: Cakap depan-depan
Contoh kalau ada masalah dengan majikan.

Janganlah sampai fikir kita mahu berhenti kerja serta-merta.

Tanya kenapa majikan buat kita begini dan begini. Selitkan sekali dengan bukti yang kita ada.

Kalau boss selalu WhatsApp siang malam, ingatkan dia bahawa majikan tidak boleh WhatsApp selepas waktu kerja.

Jika berani, kalau bos minta kita standby selepas waktu kerja, tanya dia adakah elaun disediakan? Bukan main terima sahaja, selepas itu meroyan tidak tentu hala.

Gaji tidak setimpal? Jumpa majikan dan cakap berdepan. Bukan jenis cakap belakang.

#3: Cuba bertenang dulu
Tarik nafas dalam-dalam. Jika di pejabat, pandang luar tingkap. Tengok pokok dan tumbuh-tumbuhan yang berwarna hijau.

Buat apa nak stres sangat. Fikirkan perkara yang positif sahaja.

Biarkan kerja lambat siap sedikit. Pandai-pandai menjawab, kenapa lewat.

#4: Menjerit
Pergi ke tempat parking kereta. Silakan masuk dalam kereta.

Tutup tingkap. Menjerit. Pasti akan dapat melegakan apa yang terbuku dalam hati.

#5: Tumbuk dinding
Silakan juga tumbuk dinding. Sebelum itu, alas dulu dengan bantal. Kalau tidak, mahu berdarah tangan kita. Yang penting, rasa lega.

Iklan

#6: Tidur sekejap di pejabat
Cara hilangkan stres ini cuma boleh guna sementara sahaja.

Untuk sekali dua.

Takkan mahu tidur sepanjang masa?

Lebih baik ambil cuti.

Jika betul-betul tidak larat, beritahu dengan majikan untuk ambil sedikit masa untuk tenangkan fikiran.

#7: Telefon mak ayah
Cara hilangkan stres yang seterusnya ialah dengan menelefon mak ayah di kampung.

Tak perlu cakap yang kita telefon mak ayah sebab kita stres.

Cukup sekadar telefon untuk bertanya khabar, itu sudah lega.

Kalau nak bercerita tentang kisah stres kita, silakan. Mungkin mak ayah boleh berikan kata-kata semangat.

Iklan

#8: Baca al-Quran
Ini adalah salah satu cara hilangkan stres dalam Islam. Maka, untung jadi orang Islam, kita ada panduan. Al-Quran itu penyembuh hati.

Tak faham apa isi al-Quran? Tak apa. Baca sahaja pun sudah rasa tenang.

Akan datang, cari masa lagi untuk faham isi al-Quran. Maka stres pun tidak akan berani singgah dalam diri kita.

Akhir kalam
Cara menangani stres di tempat kerja

Ini bukan cara mengatasi stres di tempat kerja semata-mata.

Tidak kira anda stres sebab belajar, stres sebab kerja atau stres semasa mengandung, jangan sampai memudaratkan diri. Ingat, kita ada agama.

Kembalilah pada Islam.

Semoga bermanfaat,” kongsi The Rohani. -AG #JanganPutusAsaMalaysia