MELIHATKAN pengorbanan wira-wira negara berkorban nyawa, masa dan tenaga, demi memastikan keselamatan rakyat di negara ini berikutan penularan wabak Covid-19, seorang insan kreatif terdetik untuk mengabadikan ‘pengorbanan’ itu dalam bentuk model panorama miniatur atau lebih dikenali sebagai seni diorama.

Pereka Seni Grafik Diorama, Mohd Shahrin Md Yunus berkata, idea dan ilham untuk menghasilkan diorama situasi para petugas barisan hadapan menjalankan tanggungjawab datang secara tiba-tiba, di samping timbul rasa terharu dan terkesan dengan perjuangan mereka.

“Apabila hari-hari kita tengok berita, banyak cerita barisan hadapan kepenatan bekerja tanpa henti, pengebumian mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19, yang mana waris-waris tidak boleh berada di kubur dan hanya ada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadi saya tergerak hati untuk menghasilkan dari situasi berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehingga kini, pereka grafik itu telah menghasilkan diorama menggambarkan situasi anggota polis sedang melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengendalikan jenazah mangsa Covid-19 di tanah perkuburan dan juga pemandu lori roti membawa bekalan roti ke kedai runcit, yang dinantikan para pembeli.

“Sekarang ini, saya dah buat tiga (situasi Covid-19) dan saya juga sedang merancang untuk membuat diorama situasi di hospital di wad kecemasan dan sebagainya, namun ia bergantung pada barang cukup atau tidak, memandangkan agak sukar memperoleh keperluan diorama dan kebanyakannya saya beli secara dalam talian,” kata bapa kepada tiga orang anak itu yang menetap di Johor.

Shahrin berkata, tempoh bagi menyiapkan setiap model bergantung pada saiz, subjek dan juga ‘mood’, yang mana ia boleh siap secepat tiga hari, bagi saiz kecil.

Iklan

“Antara bahan yang saya gunakan untuk hasilkan diorama ini seperti gabus, bod lekap, serbuk tanah, rumput, gam, dan banyak lagi perkakas lain, kebanyakannya dibeli secara dalam talian termasuk figur patung miniatur berbentuk orang, van jenazah, kereta, pokok dan banyak lagi,” katanya.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, bertapa di dalam rumah tidak menjadi masalah besar buat dirinya, malah dia mengambil peluang meneroka seni diorama yang mula diceburi pada tahun lepas.

Iklan

“Saya bekerja dalam bidang grafik apabila waktu PKP dan ada masa terluang yang banyak, itu yang membuatkan saya boleh fokus terhadap diorama ini,” katanya yang telah menghasilkan lebih dari 20 koleksi diorama setakat ini.

Adalah menjadi satu penghargaan baginya, sekiranya dapat memberikan hasil kerjanya kepada pihak barisan hadapan yang berminat dan berhasrat untuk meletakkan dioramanya di hospital atau balai polis sebagai kenangan di kemudian hari.