OKAY geng…doakan aku dan rider lain (penghantar makanan) selamat sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) serta buat frontliner..Respek.”

Bait-bait kata semangat tersebut diungkapkan oleh seorang pemilik akaun laman sosial Twitter, Amirullah yang turut mendoakan semoga dunia segera pulih daripada virus Covid-19.

Siapa Amirullah? Beliau antara penuntut diploma yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

Bagaimanapun, baru-baru ini ‘kelibat’ beliau menjadi perhatian. Laman Twitter peribadinya dihujani pelbagai respon positif dan pujian warga net susulan sebuah video berdurasi 0.32 saat tular dalam laman sosial.

Video yang dirakam oleh individu dikenali Izat Yuan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) tersebut memaparkan aksi Amirullah bermain piano lagu Havana (Camelia Cabello) dan Kisah Cinta Kita nyanyian Hafiz Suip sambil mengalas beg berisi makanan.

Selepas menghantar tempahan makanan di IYC beliau tidak melepaskan peluang memetik piano yang diletakkan di tepi tangga.

“Tengok line clear, main la (bermain piano) kejap. Rupanya ada orang rakam (Izat Yuan). Tak sangka pula.

“Anyway thanks bro. Lagu tersebut untuk korang yang sunyi hari ini di IYC. Baru meriah,” tulisnya disusuli emoji ketawa dan peace.

Bakat ditonjolkan pemuda terbabit meraih perhatian netizen yang tidak henti-henti meniupkan sokongan.

Bagi pemilik akaun @njhannn: “Sangat berbangga dengan awak. Saya yang ambil kelas piano pun terkebil-kebil nak check kord.”

Sementara itu, bagi @cikpiah7 pula menyatakan alunan piano seumpama itu daripada sukar tidur terus terlelap jadinya.

Iklan
RIDER PIANO
AMIRULLAH berkongsi sekeping foto aksi beliau bermain piano pada majlis perkahwinan sahabatnya. Foto: Ihsan Twitter @swagggyz

Bukan itu sahaja, majoriti netizen turut menasihatkan masyarakat sekeliling supaya jangan menilai seseorang berdasarkan luaran. Usah tanam persepsi bahawa rider seperti Amirullah hanya tahu menghantar makanan semata, sebaliknya mereka memiliki bakat terpendam kurniaan ALLAH.

Bercerita lanjut mengenai kemahiran bermain alat muzik berkenaan beliau menjelaskan bahawa tidak mengambil kelas secara profesional, sebaliknya menerusi YouTube.

“Kadangkala ada juga yang bertanya gred berapa piano. Segan nak jawab sebab gred secara underground.

“Buat anda yang berminat untuk bermain piano jangan jadikan harga sebagai penghalang. Anda boleh guna midi controller disambungkan pada telefon pintar dan muat turun aplikasi,” jelas beliau yang menggunakan jenama microKey Air Korg berharga antara 400-500.

Iklan
rider piano
PEMUDA ini menjelaskan beliau belajar memetik piano menerusi YouTube sahaja.

Tambah beliau, tidak dinafikan pada peringkat awal mengalami kesukaran kerana tidak mengenali kord seperti A,B,C dan D. Namun dek minat mendalam cabaran itu bertukar menjadi mudah untuk memahami. Apabila selalu berlatih otak akan selari dengan jari-jemari.

Dalam pada itu, menerusi ciapan di Twitter beliau juga berharap keadaan kembali pulih seperti sedia kala supaya dapat menamatkan pengajian peringkat diploma.

“Doakan aku dapat habiskan diploma pada tahun ini. Intern (latihan praktikal) pun mungkin tertangguh disebabkan PKP,” luahnya ringkas semalam.