SEJAK wabak Covid-19 yang tercetus dari Wuhan, China menular di serata dunia termasuk Malaysia, perhatian jelas tertumpu pada kumpulan barisan hadapan pasukan perubatan negara.

Melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit yang dijangkiti virus kejam tersebut bukan tugas mudah, bahkan berisiko pada kematian memandangkan vaksin khusus untuk cegah Covid-19 belum dihasilkan.

Justeru, pasukan perubatan sentiasa mengambil langkah waspada dengan menjaga kebersihan diri dan menyarungkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE).
Selain sarung tangan, mereka juga perlu mengenakan sarung kepala, penutup kasut, jaket labuh dan face shield bagi melindungi diri daripada serakan virus terbabit.

Pun begitu, pemakaian PPE juga bergantung pada skop tugasan pasukan perubatan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Dr Hana Hadzrami yang merupakan barisan hadapan pasukan perubatan untuk Covid-19 menerusi laman sosial Facebooknya.

covid ppe
ANTARA PPE biasa yang digunakan pasukan perubatan ketika memerangi Covid-19. Foto: Sumber internet

Dalam perkongsian tersebut beliau turut memuat naik sekeping foto dalam persalinan lengkap PPE. Pegawai perubatan berkenaan sempat berjenaka:

“Ini pertama kali saya upload gambar dalam full PPE sut. Ada banyak gambar. Ada yang rupa teletubbies, ada yang macam Alien vs Predator”.

Tambah Dr Hana, sut yang disarungkan tersebut sedikit berbeza dengan PPE biasa.

“Sut ini mempunyai respirator penapis udara (PAPR). Disebabkan itu, gelembungnya berbeza pada sarung kepala.

“Kami (pasukan perubatan) akan memakai sut ini semasa melakukan prosedur berisiko tinggi melibatkan aerosol virus.

“Sebagai contoh, perlu memasukkan atau keluarkan tiub pernafasan. Ia termasuklah, melakukan open suction pada tiub pernafasan yang tersumbat plak kahak ketika mengambil sampel pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU),” terang beliau.

Bukan itu sahaja, Hana turut memaklumkan jika tidak menyarungkan PARR bimbang akan terdedah pada aerosol yang tinggi paras virus.

Impaknya, keadaan pekerja kesihatan menjadi lebih teruk berbanding mereka yang hanya duduk sebilik dengan pesakit Covid-19.

“Ibarat terpercik gulai berbanding terjun dalam kawah gulai Covid-19,” tuturnya sambil memberikan perumpamaan ringkas.

COVID 19 ppe
DR HANA menyarankan agar masyarakat duduk di rumah dan mematuhi PKP sepanjang krisis Covid-19. Foto: Facebook Hana Hadzrami

Tidak menyesal

Dalam pada itu, Dr Hana turut meluahkan, ‘adakah kami risau?’ Jawapannya, ya…’adakah kami menyesal lakukan ini?’ Jawapannya, tidak.

Jelasnya, beliau dan rakan pasukan perubatan lain sanggup melaksanakan kerja tersebut kerana seseorang yang mahir perlu melakukannya.

Iklan

Ujar Dr Hana, benar semua orang dibelenggu kerisauan tersendiri yang mana para ibu bimbang keadaan rumah dan kesihatan ahli keluarga.

Golongan bapa pula risau sama ada perbelanjaan keluarga mencukupi ataupun tidak.

“Pekerja juga resah kehilangan pekerjaan dan keperluan hidup. Majikan risau tiada pendapatan untuk membayar pekerja dan sewa kedai.

“Guru-guru biarpun duduk di rumah menjaga anak, mereka tetap meneruskan kelas secara online. Pendek kata semua orang ada tugas dan fungsi.

“Jadi kita teruskanlah hidup, berusaha dan berharap,” kata beliau yang turut menasihatkan agar masyarakat duduk di kediaman masing-masing mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

Bekalan PPE mencukupi

Terdahulu, semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bekalan PPE di hospital untuk petugas barisan hadapan mencukupi buat masa ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengharapkan pengimportan PPE memandangkan pelbagai pihak termasuk industri fesyen dan Jabatan Penjara mengambil inisiatif menyumbang bekalan.

“Stok penutup hidung dan mulut serta PPE adalah mencukupi.

“Tiada masalah dari segi stok yang diperlukan, namun kita sedar penggunaan PPE meningkat dua hingga tiga kali ganda,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Putrajaya semalam.