YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan kepada pelajar muda, Cheryl Chow Shu Wei susulan kejayaan beliau dinobatkan ‘Top In The World’ bagi mata pelajaran Kimia dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) baru-baru ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita dan berbangga atas pencapaian cemerlang pelajar tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong berharap semoga kejayaan pelajar berusia 17 tahun itu menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar dan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Petaling Jaya itu dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa hadapan.

pelajar malaysia
AGONG menzahirkan ucapan tahniah atas  kejayaan remaja berusia 17 tahun ini yang memperoleh markah piawaian tertinggi dalam peperiksaan IGCSE subjek Kimia.

“Sesungguhnya, kejayaan adik, Cheryl Chow Shu Wei sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan pelajar dan individu berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook hari ini.

Direkodkan, Cheryl memperoleh pengiktirafan daripada Cambridge Assessment International Education selepas berjaya mengenepikan hampir sejuta pelajar lain dari seluruh dunia pada acara Outstanding Cambridge Learner Awards.

Dimaklumkan, beliau memperoleh markah piawaian tertinggi dalam peperiksaan IGCSE bagi subjek Kimia.

Bertambah menarik, Cheryl juga pernah dinobatkan sebagai peserta terbaik pada acara Mangahigh East Asia Maths Challenge 2019 yang mana anak muda itu mengatasi 14,240 pelajar dari Jepun, Korea Selatan, Singapura dan negara-negara Asia Timur.

Selain itu, beliau pernah merangkul pingat emas pada acara Kangaroo Math Competition peringkat kebangsaan dan pertandingan di University of St Andrews Competition pada tahun 2019.

Bagi dua tahun berturut antara 2019 hingga 2020, Cheryl turut dianugerahkan pingat emas di dalam Queen’s Commonwealth Essay Competition.

Iklan

Selain Cheryl, sebelum ini Seri Paduka Baginda juga pernah menzahirkan ucapan tahniah kepada Nurul Fatin Nabihah dan Siti Naziah Mohamad Nazid atas kejayaan mereka menjadi antara 10 teratas dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Nurul Fatin Nabihah merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

pelajar malaysiaSekalipun hanya mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nurul Fatin Nabihah turut lulus satu lagi kertas peperiksaan yang diambilnya, iaitu Advanced Taxation (ATX).

Iklan

Sementara itu, Siti Naziah pula pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Ini termasuklah, dua pelajar muda, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze Wen atas kejayaan dipilih dan diterima masuk ke Harvard College di Amerika Syarikat, sekolah sarjana bagi Harvard University yang terkemuka dan antara terulung di dunia.

pelajar malaysia