WALAUPUN sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai jururawat di sebuah hospital yang terletak di Alor Setar, Kedah, seorang pemuda masih berkesempatan menjalankan ‘Mobile Pet Truck’, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan produk untuk haiwan peliharaan terutamanya kucing.

Memetik laporan media tempatan, pemuda tersebut yang dikenali sebagai Muhammad Aswad Zakaria, 27, menawarkan perkhidmatan itu dengan menggunakan lori bersaiz satu tan.

Akibat keluhan ramai peminat kucing, jururawat tawar perkhidmatan 'Mobile Pet Truck'

Muhammad Aswad bukan hanya menyediakan produk seperti makanan, pasir dan barangan keperluan lain untuk si comel, tetapi dia juga menyediakan perkhidmatan menghantar haiwan peliharaan ke klinik haiwan untuk menjalani pemeriksaan atau rawatan.

“Beberapa minggu kebelakangan ini terdapat keluhan daripada pemilik kucing, yang sukar mendapatkan makanan atau barangan keperluan lain untuk kucing mereka dan dari situ saya mendapat idea, untuk menyediakan perkhidmatan secara bergerak ini.

“Sebelum ini pun saya ada menyediakan perkhidmatan menjual dan menghantar barangan keperluan kucing kepada pelanggan, tetapi pelanggan lebih suka memilih sendiri, jadi saya buat perkhidmatan ini dan bawa barangan yang ada kepada mereka,” katanya.

Difahamkan sebanyak RM35,000 diperuntukkan untuk menyiapkan lori tersebut bagi menyediakan perkhidmatan secara bergerak itu.

Akibat keluhan ramai peminat kucing, jururawat tawar perkhidmatan 'Mobile Pet Truck'

Sejak diperkenalkan 1 Julai lalu, perkhidmatan itu mendapat sambutan yang amat baik daripada para pelanggannya.

“Kita tahu zaman sekarang semua orang sibuk, sebab itu kita tawarkan juga perkhidmatan mengambil dan menghantar kucing untuk mendapatkan dandanan, rawatan di klinik atau yang ingin ditinggalkan sementara di hotel, yang juga kita sediakan.

“Kebiasaannya, kita akan ambil pada sebelah pagi sebelum hantar semula pada petang. Bagi kucing yang memerlukan perkhidmatan seperti vaksin atau pengasian, pemilik boleh memilih sama ada hendak menghantar kucing mereka ke klinik panel sendiri atau klinik panel pihak kami,” katanya.

Menurutnya, selain menunggu panggilan daripada pelanggan, perkhidmatan tersebut yang beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam juga, akan ke lokasi tumpuan orang ramai seperti taman rekreasi bagi menyediakan perkhidmatan kepada pemilik kucing yang kebiasaannya berada di situ.

Muhammad Aswad berkata, buat masa ini hanya sebuah lori digunakan untuk perkhidmatan itu bagi memenuhi permintaan di sekitar bandar raya ini, dan bercadang untuk mengembangkan ke kawasan dan negeri lain pada masa akan datang.