Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

JIKA dihitung, tahun ini merupakan Ramadan kedua penyanyi muda berbakat besar, Aina Abdul bakal menjalani ibadah puasa tanpa ibu tercinta, Zaini Abdullah, 66, di sisi.

Kekangan itu bukan disebabkan kepadatan jadual kerja, sebaliknya mematuhi perintah kerajaan yang masih tidak membenarkan aktiviti merentas negeri.

Biarpun akur dengan arahan berkenaan yang bertujuan mengekang penularan virus Covid-19, namun jauh di sudut hati pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani menyimpan kerinduan yang menebal kepada bondanya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

AINA ABDUL

“Barangkali, situasi saya sama seperti insan lain. Rindu terhadap orang tua di kampung khususnya bulan Ramadan bagi seorang anak perantau sentiasa menerpa, walaupun ini bukan kali pertama bersahur dan berpuasa tanpa ibu.

“Lagipun ketika zaman belajar, saya hanya ditemani rakan-rakan kampus. Cuma yang membezakan sekiranya tiada kuliah, dapatlah menikmati juadah iftar bersama famili, tetapi tempoh pandemik ini kita perlu mengikut arahan kerajaan,“ ujar Aina ketika diwawancara SinarPlus pada petang Selasa baru-baru ini.

Bicara figura berusia 28 tahun itu, acap kali ketibaan bulan mulia ini, kemeriahan bazar Ramadan pantas menggamit memori. Tutur Aina yang bersuara lunak, setiap hari beliau dan arwah bapanya tidak melepaskan peluang singgah ke bazar yang terletak di Ampangan, Negeri Sembilan untuk membeli cendol dan lauk ikan keli sambal.

“Dua menu tersebut wajib ada di atas meja makan ketika berbuka puasa. Boleh dikatakan rutin ini (ke bazar) dilakukan saban tahun sebelum abah meninggal dunia dek faktor kesihatan.

AINA ABDUL

“Walaupun abah sudah tiada, saya masih meneruskan aktiviti ‘cuci mata‘ di bazar. Namun begitu, kini ada hadnya kerana sepanjang Ramadan saya kerap menerima kiriman variasi makanan daripada para peminat.

“Jadi bagi mengelakkan pembaziran saya kawal nafsu untuk membeli. Bersyukur dan amat terharu dengan rezeki kurniaan-NYA,“ luah Aina yang kehilangan bapa tersayang, Abdul Ghani Abdullah pada usia 15 tahun selepas beliau menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

Kehilangan memilukan

Tatkala meneruskan penceritaan mengenai arwah bapanya, pelantun lagu Sumpah itu cuba mengawal sebak yang disimpan rapi dalam hati. Naib Juara Mentor Legend 2014 tersebut berkata, pemergian seorang lelaki yang dipanggil abah buat selama-lamanya amat memeritkan.

Apatah lagi, abahnya merupakan peniup semangat dan penyokong tegar untuknya bergelar penyanyi.

Sedekad sudah berlalu, namun momen sedih itu seolah-olah baru semalam terjadi. Saya masih ingat lagi detik-detik akhir sebelum abah pergi menghadap ILLAHI.

AINA ABDUL

“Pada hari kejadian, abah dan mama sanggup menemani saya ke sebuah pertandingan nyanyian di Ampangan, Negeri Sembilan. Usai mendendangkan lagu Balqis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), sementara menunggu keputusan kelayakan ke peringkat final, saya ke kereta bertemu mereka (abah dan mama).

“Secara tiba-tiba, kaki abah mengigil dan beliau mengalami sesak nafas. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mama terus memandu ke Hospital Besar Seremban, tetapi tak sempat. Abah meninggal dunia di atas riba saya,“ imbas graduan Ijazah Muzik, Universiti UCSI, Kuala Lumpur.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, seawal usia 20 tahun arwah bapanya sudah menghidap penyakit darah tinggi, jantung dan kencing manis. Bahkan, salah satu kakinya terpaksa dipotong hingga paras lutut.

“Bagi saya, abah terlalu muda untuk pergi yang mana pada masa itu umur beliau 55 tahun, tapi, siapa kita hendak melawan takdir? Perancangan ALLAH lebih hebat dan saya reda. Semua berlaku ada hikmahnya tersendiri.

AINA ABDUL

“Salah satunya, kehilangan abah membuatkan saya menjadi wanita tabah dan berani berdepan apa sahaja cabaran. Lagipun perjuangan saya dalam industri seni adalah dedikasi buatnya. Jika abah masih ada pasti beliau gembira dengan perjalanan karier saya hari ini,“ jelasnya yang kini dilantik sebagai wajah kempen produk penjagaan kulit wajah Truskin baru-baru ini.

Iklan

Keyakinan diri

Ketepikan seketika kisah menyayat hati itu, Aina yang juga juara World Championship of Performing Arts (WCOPA) bagi kategori vokal itu menzahirkan kesyukuran dengan rezeki baharunya.

“Sejujurnya, tidak pernah terfikir bakal berkolaboratif bersama jenama produk kecantikan wajah memandangkan kondisi kulit muka wajah saya pun kurang baik berbanding selebriti wanita lain.

“Jika diikutkan sejak di bangku sekolah menengah saya berani memegang mikrofon dan menyanyi di atas pentas pertandingan nyanyian, tetapi tahap keyakinan diri masih pada par yang rendah. Puncanya, hanya kerana kulit wajah bermasalah teruk.

AINA ABDUL

“Bayangkan, permukaan muka ini ditumbuhi jerawat yang bernanah sehinggakan pada satu tahap, saya hampir putus asa mencari produk bersesuaian,“ tuturnya yang mengakui sebelum ini diselubungi perasaan ragu-ragu untuk melangkah dalam industri seni tanah air negara.

Kebimbangan itu tercetus susulan melihat kecenderungan sebahagian besar peminat yang lebih mengagumi seseorang selebriti berdasarkan rupa paras berbanding bakat dimiliki.

Iklan

Pun begitu, lama-kelamaan Aina yang pernah membintangi drama, Seindah Takdir Cinta enggan membiarkan kekurangan itu membataskan hasratnya melebarkan sayap bergelar penyanyi. Justeru, beliau menyusun strategi meliputi aspek vokal, komunikasi, fesyen dan tata rias wajah dengan bantuan pasukannya.

“Kadangkala saya tidak boleh pentingkan diri menepis kata-kata warga maya begitu sahaja. Jika mereka (peminat) mengimpikan penyanyi yang mana penampilan dan bakat berjalan seiring, maka saya perlu membaiki diri ke arah itu.

AINA ABDUL

“Justeru, selain konsisten mengamalkan rejim penjagaan kulit wajah menggunakan produk ideal, saya turut mendapatkan konsultasi daripada doktor. Biarlah proses penyembuhan mengambil masa, asalkan hasilnya memuaskan.

“Alhamdullilah, setakat ini masalah jerawat beransur pulih dan kulit wajah semakin sekata. Pendek kata, tugas jurusolek menjadi lebih mudah. Masakan tidak, fasa awal menjadi penyanyi, saya kasihan melihat jurumekap yang mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk menyolek wajah saya, tetapi kini tidak lagi,“ luah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Seremban, Negeri Sembilan yang begitu mengagumi penyanyi popular antarabangsa, Lady Gaga.

Jadi tidak keterlaluan penulis menyifatkan hampir 80 peratus busana dan stail yang digayakan Aina persis penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu. Bagaimanapun, beliau masih mengekalkan elemen sopan bersesuaian dengan imejnya yang berhijab.

“Sejak remaja saya meminati fesyen pelik dan unik. Tambahan pula, apabila memasuki industri minat itu semakin bercambah dan pasukan penata gaya pula sentiasa bereksperimentasi dari segi rekaan pakaian, kasut, pelengkap gaya dan aksesori,“ ujar pencinta rona hijau tersebut sebelum menamatkan bicara bersama SinarPlus pada petang tersebut.