BERMULA dua hari lalu, rata-rata mahasiswa universiti di seluruh Malaysia sudah mula merancang dan mengatur perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Perasaan teruja dan gembira dizahirkan oleh mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhamad Amirul Ashraf Idros apabila dapat pulang dan berpuasa bersama keluarga.

MUHAMAD Amirul bergambar bersama ibunya ketika tiba di rumahnya, semalam.

Kata pelajar tahun satu, jurusan Kejuruteraan Komputer yang berasal dari Nibong Tebal itu, keterujaan dirinya sangat tidak dapat digambarkan setelah tiba di rumahnya semalam.

“Perasaan saya sangat seronok, dapat balik ke pangkuan keluarga dan dapat makan makanan yang ibu saya masak.

“Rasa happy sangat,” katanya ketika dihubungi Sinarplus baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalaman yang dilalui akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kampus, katanya, ia tidaklah terlalu teruk cuma pergerakan terbatas disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.

“Kalau nak beli barang runcit, tak ada masalah pun sebab ada kedai runcit yang buka di kolej kediaman,” kongsinya.

Terdahulu jelasnya, para mahasiswa di UniMAP menggunakan Google Classroom dan Google Meet sebagai platform dalam talian.

Iklan

“Kalau nak buat assignment di kampus, memang tidak ada masalah sebab UniMAP ada menyediakan WiFi di setiap blok kolej kediaman,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan membawa pulang mahasiswa ke kampung masing-masing dan kepada semua penyumbang makanan sama ada barangan basah atau kering sepanjang tempoh PKP di kampus.

Iklan

“Terima kasih KPT, Majlis Perwakilan PelajarUniMAP, Majlis Penghuni Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman kerana menjaga kebajikan saya hampir sebulan, bermula dari tempoh PKP hingga saya pulang ke rumah,” katanya.

Foto: Facebook Universiti Malaysia Perlis