‘BAPA borek, anak rintik’.

Pepatah Melayu klasik ini cukup sinonim bagi menggambarkan pencapaian yang diraih Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan anak lelakinya, Muhammad Khair.

Masakan tidak, permata hati kepada ‘Manusia Paling Popular Malaysia’ itu antara 82 belia yang terpilih menyertai Felo Perdana 2020.

Muhammad Khair bersama dua lagi peserta ditempatkan di bawah Kementerian Kewangan selama enam bulan bagi mempelajari pengurusan pentadbiran kerajaan.

Pun begitu, penyertaan Muhammad Khair dalam program tersebut mula menjadi perhatian warganet selepas Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memuat naik kepingan foto dan ucapan aluan dalam laman sosial Twitter milik beliau semalam.

noor hisham
MUHAMMAD KHAIR (dua dari kiri) dan dua lagi peserta Felo Perdana 2020 berbual mesra bersama Tengku Zafrul semalam.

“Warga belia adalah antara tunjang kepada pembangunan negara. Merekalah yang akan membimbing generasi akan datang dalam usaha memacu Malaysia ke arah kejayaan.

“Selamat datang saya ucapkan kepada tiga orang Felo Perdana untuk tahun 2020, Chow Shenn Kuan, Khair Noor Hisham dan Am Abdul Aziz, ke Kementerian Kewangan.

“Saya berharap program ini dapat memberikan pengalaman yang bermanfaat kepada anda,” tulis beliau.

Sementara itu, Twitter Tengku Zafrul turut dihujani respons positif daripada warganet. Antaranya:

@syyafiqqq: “tahniah @khair_hisham
! im so proud of you.”

@hakiimIsmail95: “Sebelum ini agak cemburu tengok gerak politik Pak Jokowi memasukkan bakat anak muda dalam kabinet kementerian beliau, kini menteri Malaysia mengambil langkah progresif yang sama. Tahniah anak muda.”

@hafizkenny: “Since high school and i know you can do this! Congrats abang
@khair_hisham.”

Selain Muhammad Khair, dua lagi siswazah, Am Abdul Aziz dan Chow Shenn Kuan turut ditempatkan di kementerian berkenaan.

Biarpun mengorak langkah dalam lapangan berbeza, namun pencapaian akademik Muhammad Khair sama cemerlang persis bapanya.

Iklan

noor hisham

Buktinya, beliau pernah dinobatkan sebagai Anugerah Pelajar Terbaik menerusi Ketua Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang pada dua tahun lalu.

Kemudian, bergelar pula Juara Pertandingan Sheffield Business School International Dragon’s Den 2019.

Pada masa sama, pernah dilantik sebagai Pengarah Program Kepimpinan dan Hubungan Budaya 2018.

Iklan

Untuk rekod, Felo Perdana 2020 melibatkan seramai 82 belia di mana 58 peserta adalah graduan manakala 24 adalah siswa.

Felo yang terpilih akan ditempatkan bersama mentor selama enam bulan bermula semalam.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, seramai 533 orang peserta telah menyertai program Felo Perdana.