ANAK yatim, asnaf, banduan dan ibu tunggal. Mereka lazimnya dilihat sebagai golongan yang memerlukan, lemah dan perlu dibantu.

Pun begitu, anggapan tersebut bukanlah penghalang untuk mereka turut menghulurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan lebih-lebih lagi barisan hadapan negara.

Usaha yang dilakukan golongan ini membuktikan setiap orang boleh berperanan untuk membantu satu sama lain. Berikut antara usaha golongan istimewa ini dalam menghulurkan tangan:

1) Projek Pelangi ialah inisiatif sekumpulan anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor

Anak RPWP

Projek sukarelawan ini bermula pada tahun 2015 ketika membantu mangsa banjir besar di Kelantan dan ia berlarutan hingga ke hari ini.

Di samping bantuan bencana, dengan motto dari asnaf kepada asnaf, Projek Pelangi juga istiqomah menjalankan kempen crowd funding bagi membantu mereka yang lebih memerlukan seperti bantuan bekalan makanan, pakaian raya, pakaian sekolah, bantuan perubatan dan sebagainya.

Dalam mendepani krisis pandemik Covid-19 ini, gerakan yang sama dilancarkan oleh anak yatim dan asnaf serta seluruh penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin untuk memanafaatkan masa bertenang di rumah kebajikan ini.

Inisiatif mereka kali ini ialah membuatkan pelbagai pakaian keselamatan petugas (PPE) seperti perisai muka (visor), topeng muka (mask), coverall, gaun bedah, tudung kepala dan lain-lain untuk memenuhi permintaan yang amat tinggi oleh barisan hadapan negara yang sedang mendepani Covid19.

Difahamkan, projek bermula dengan panggilan seorang doktor perubatan dari sebuah NGO yang terlibat membantu tugas barisan hadapan pada jam 1 pagi. Bekalan PPE sudah amat meruncing katanya.

Projek Pelangi dan co founder Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Azman Salikin berkata, pihaknya dikhabarkan para doktor sudah sampai ke tahap menggunakan plastik sampah dan apron pakai buang tukang masak untuk melindungi diri.

“Semakin ramai juga barisan hadapan yang dikhuatiri dijangkiti. Mereka meminta sekurang-kurangnya 2,000 unit visor pada kadar segera.

“Malam itu juga gerakan dilancarkan dan alhamdulillah 2,000 unit yang
diminta dapat disiapkan dalam masa dua hari, namun habis diedarkan kepada barisan hadapan tidak sampai sehari,” katanya.

Ternyata keperluan sangat tinggi dan mendesak sedangkan fenomena lockdown di seluruh dunia telah menjadikan pengimportan amat memakan masa.

Untuk menampung keperluan yang banyak dan mendadak ini sendirian adalah amat mustahil. Justeru komuniti anak-anak yatim dan asnaf ini segera menggerakkan inisiatif Projek Pelangi untuk mengajak masyarakat umum bersama-sama menyumbang untuk mendokong kerja keras para barisan hadapan secara berterusan.

Kini, kapasiti pengeluaran projek ini telah melonjak kepada 3,000 unit sehari.

Ia dibuat sepenuhnya di rumah kebajikan asnaf dan anak yatim RPWP di Sungai Ramal Baru tanpa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan.

Pembuatan secara DIY tidak semestinya asal-asalan. Malah praktis pembuatan yang mirip Good Manufacturing Practice (GMP) oleh RPWP diusahakan.

Kebersihan dan pengawalan kualiti produk diutamakan. Material yang dua kali ganda lebih tebal dan kukuh dari yang terdapat di pasaran ditempah khas dari kilang.

Anak-anak RPWP sangat gembira dengan aktiviti begini. Di samping dapat mengisi masa lapang di rumah ini, kerjatangan mereka turut berperanan sebagai barisan sokongan kepada wira-wira negara di barisan hadapan.

Lebih dari itu, projek ini dapat memberikan pendedahan pendidikan dan pengalaman kepada mereka dalam bidang pembuatan dan pengilangan.

Projek Pelangi PPE ini menyasarkan sejumlah minima 100,000 unit. Kini mereka telahpun berjaya membuat sebanyak 15,000 unit.

Iklan

Sumbangan dari orang awam mampu menggandakan lagi keluaran bagi mencukupkan keperluan bagi petugas kesihatan kita yang semakin mendesak.

Untuk menyumbang boleh terus ke laman sesawang www.projekpelangi.com dan menyokong crowd funding “Bantuan PPE (Vovid-19)” ataupun berhubung terus dengan Saudara Azman Salikin di talian 016-3605047.

2) Ob Penjara Wanita Kajang bantu jahit PPE

Penyerahan 900 set pakaian PPE yg dijahit oleh 38ob Penjara Wanita Kajang kepada Hospital Kajang, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kegunaan barisan hadapan petugas kesihatan.

Bertujuan supaya dapat membantu frontliner bagi menghadapi pencegahan Covid-19 di Malaysia. Pihak hospital juga memberi sedikit makanan dan keperluan bayi untuk ob yang bertugas menyiapkan pakaian PPE itu.

3) Orang biasa, ibu tunggal, orang susah bantu Boongaamanda jayakan misi bantuan PPE

Iklan

Bagi usahawan Ellahi Suhaimi Facebook miliknya mendapat messenger dari ramai warga Kelantan yang ingin membantu usaha pihak Boongaamanda menjayakan misi bantuan PPE buat warga frontliner Kementerian Kesihatan.

“Sampai Pasir puteh pun ada. Yang dari Terengganu dan Melaka pun ada yang ingin membantu, tapi maaf Ela cuma uruskan untuk Kelantan sahaja memandangkan musim PKP sekarang.

“Mereka hanya orang biasa, ibu tunggal, orang susah, orang yang hanya mengambil upah menjahit. Tapi hati mereka sangat baik untuk bantu para perjuang negara.

“Alhamdulillah syukur. Moga dari usaha kita ini asbab ke syurga. Allahuakbar..,” tulisnya di Facebook.

Hebat usaha mereka ini bukan? Pada saat memerlukan inilah kita boleh menghulurkan sumbangan kita.

Tak mampu dan tak ada apa dapat disumbang? Tak mengapa. Duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini pun sudah dikira sumbangan besar anda!