MELIHAT muka bayi yang comel dan polos membuatkan hati sesiapa mudah tersentuh. Tapi nak membesarkan amanah ALLAH SWT itu bukan satu tugas yang senang semudah memetik jari saja.

Bukan setakat bagi makan, minuman dan pakaian, tapi sebenarnya banyak lagi yang perlu kita lakukan supaya anak tadi membesar menjadi orang yang berguna kepada agama, negara dan kedua orang tua mereka.

Itu semua boleh melorongkan kita meniti ke jannah kelak. Anak yang soleh dan solehahlah yang akan mendoakan ibu bapa apabila kita sudah tiada lagi di dunia yang fana ini.

Begitulah signifikannya tanggungjawab ibu bapa dan pendidik. Merekalah yang menggalas tugas untuk mencorakkan anak masing-masing.

Orang kata, nak didik anak kenalah bermula sejak dari mereka bayi lagi. Kena benar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Tapi macam mana nak mulakan? Merekakan masih bayi lagi yang tak tahu apa-apa.

Perkongsian doktor muda ini didik anak memang win. Mungkin boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa lain.

Tak keterlaluan jika dikatakan Dr Amirul Azhar dan isterinya ‘mengelek’ anak setiap kali hendak menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta.

Jom ikuti perkongsian beliau:

“Antara amalan aku dengan wife dari mula kahwin sampai sekarang, baca mathurat setiap pagi sama-sama masa hari cuti.

Sekarang ada anak, baca sambil riba anak, jangan tinggal doa rabithah untuk kuatkan tautan hati.

Setiap kali solat, anak letak kat depan (dalam baby cot), biar dia nampak mama papa dia tengah solat. Sekarang anak dah umur 9 bulan dah pandai dah, dia senyap je tengok.

Iklan

“InsyaAllah nanti senang nak ajar dia solat sebab budak memang akan tiru apa yang parents dia buat.

“Ni daripada pengalaman orang lain la, Anak aku baru 9 bulan. Setakat ni aku baru ajar ABC dengan ا ب ت je guna flashcard,” kongsinya menerusi Twitter miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Pakar motivasi ini kongsi tip emas parenting supaya anak 'menjadi')

Didik anak
BAWALAH anak bersama setiap kali ingin mendirikan solat supaya kelak mereka faham akan tanggungjawab masing-masing terhadap Pencipta-NYA. Itu antara intipati perkongsian Dr Amirul Azhar dalam Twitter miliknya baru-baru ini.

Bukan itu saja, menurut Dr Amirul Azhar, bayinya juga akan senyap setiap kali azan berkumandang seolah-olah faham dengan seruan untuk menunaikan solat.

“Aku perasan satu benda, anak aku suka dengar azan. Setiap kali azan dia akan senyap sambil cari2 mana datang bunyi tu.

“Rumah aku sebelah masjid so bunyi azan tu memang macam datang dari atas langit la,” tambahnya.

Iklan

Kepada yang masih single, Dr Amirul Azhar ‘belanja’ hadis ini sebagai panduan mereka untuk mencari isteri yang solehah.

“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (Riwayat al-Bukhari)

Perkongsian doktor muda itu mendidik anaknya mendapat maklum balas positif.

Seorang pengguna twitter, Suria Eliza mengakui dia juga membuat rutin yang sama sejak mula berkahwin hingga anaknya kini berusia dua tahun.

“Ya betul sangat. Saya pun mmg amalkan baca al-Quran dan taklim hadis nabi sama sama dengan suami dari awal kahwin sampai sekarang anak dah nak masuk 2 tahun dah.

“Kadang-kadang kita terlewat sikit, dia yang cakap kitorang ‘jom taklim nak? Nak?’ ‘Ngaji jom’,” kongsinya.

Ingatlah anak-anak pun macam kita juga. Bila suatu perkara tu kita biasa buat, pasti kita tak akan miss untuk terus lakukannya walau sesibuk mana pun.

Samalah juga dengan anak-anak. Bila kita dah biasakan diri mereka dengan ajak solat dan sebagainya, mereka mudah menyesuaikan diri.

Kadangkala sampai anak sendiri tanya; “Mama, kenapa tak solat lagi?” membuatkan si ibu terpana nak menjawabnya. Apa tidaknya, diri sendiri tengah uzur masa tu.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk kita semua.

(Sumber: Twitter @amirull18)