PERTAMA kali bertemu influencer popular, Farah Lee yang sedang melayan kerenah puteri tunggalnya, Maream Esabel Ally, 6, pada satu majlis milik rakannya beberapa minggu lalu, membuatkan penulis ingin mengetahui lebih lanjut tentang dirinya.

Seperti yang ramai maklum, Farah yang merupakan mantan isteri kepada personaliti sebuah stesen televisyen swasta, Ally Iskandar sebelum ini telah berhijrah ke United Kingdom (UK) untuk melanjutkan pelajaran.

Selepas dipelawa untuk sesi fotografi, akhirnya pada Khamis lalu, pemilik nama sebenar Nurfarahin Romli itu hadir ke Studio Sinar Karangkraf di Shah Alam, Selangor berpakaian serba hitam ditemani penasihat peribadinya.

Membuka cerita, Farah memberitahu SinarPlus, beliau  sebenarnya sudah berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Leeds, UK. Kemudian, dirinya dan Maream berjaya ‘terbang‘ ke tanah air sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia iaitu pada 17 Mac lalu selepas berhempas-pulas mencari tiket.

Kepada SinarPlus, Farah meleraikan andaian nakal warga maya. Akuinya, sebelum bulan Mac lagi, beliau sudah mengetahui statistik kes Covid-19 sedang mencanak naik di seluruh dunia terutama di China.

“Bukan saya saja malah orang lain pun tak menyangka kemelut itu berlaku di luar jangkaan. Namun, sebenarnya jujur saya beritahu, saya sudah membuat perancangan awal untuk mengembara ke beberapa negara di Eropah (bermula awal Februari).

“Bila jumlah kes naik mendadak, saya hanya ada beberapa pilihan  iaitu kekal berada di UK, meneruskan pengembaraan atau segera pulang ke Malaysia. Namun, selepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengumumkan Covid-19 merupakan pandemik, saya terus buat keputusan untuk balik ke Malaysia,“ katanya memulakan bicara.

FARAH LEE bercerita tentang kehidupan bersama anaknya selepas bergelar ibu tunggal pada usia muda.

Pun demikian, laluannya tidak mudah kerana beliau sukar mendapatkan tiket pulang. Namun, selepas seminggu menanti, barulah beliau berjaya mendapatkan tiket pulang ke Malaysia melalui Greece dan perlu transit di Istanbul, Turki.

Gara-gara foto yang dimuat naiknya melalui laman Instagram di negara singgahannya itu, wanita jelita itu telah dikecam ramai kerana dituduh masih berseronok pada kala Covid-19 sedang memuncak.

“Saya tidak salahkan siapa-siapa kerana saya faham pada masa itu mereka tidak tahu keadaan sebenar yang saya hadapi.

“Sebenarnya, saya dan Maream pada masa itu duduk di rumah sahaja kerana pengangkutan awam sangat terhad,“ jelasnya yang mengharapkan masyarakat mengerti situasi getir yang dilalui mereka dua beranak.

Kisah Omma & Esabel

Lupakan seketika kontroversi yang sentiasa terpalit kepada orang popular seperti Farah, penulis bertanya tentang anjakan baharu kehidupannya kini.

“Oh!, saya kini aktif dalam program-program amal selain memberi fokus pada butik Omma & Esabel. Saya juga baru sahaja selesai program bersama Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia beberapa hari lalu.

“Selain itu, saya semakin giat membuat lawatan ke kem-kem pelarian masyarakat Rohingya dan Somalia selain dilantik sebagai penasihat di salah sebuah sekolah kelolaan Cinta Syria Malaysia,“ ujar wanita yang berasal dari Terengganu itu.

Bercerita tentang Omma & Esabel, raut wajah Farah kelihatan segar dan ceria.

Kata anak keempat daripada lima beradik itu, sebenarnya, beliau sudah memulakan perniagaan itu sejak tahun 2012 lagi.

“Selepas bercerai, saya membuat keputusan untuk melakukan penjenamaan semula dan dari situ tercetusnya idea menggunakan konsep set ibu dan anak perempuan, maka, lahirlah Omma & Esabel. Dalam bahasa Korea omma bermaksud ibu, manakala esabel nama puteri kesayangan saya,“ katanya.

SELAIN gemar mengembara, wanita cekal ini sedang rancak mengusahakan perniagaan di bawah jenama Omma & Esabel.

Menariknya, konsep rekaan pakaian jenama itu dilakukan sendiri olehnya tanpa melantik mana-mana pereka. Tudung dan shawl Farah juga nampaknya laku keras dalam kalangan peminatnya.

“Saya gembira dapat melakukan semua itu sendiri. Tentang pakaian, bagi saya, sangat susah untuk mencari busana kasual yang sesuai, kalau ada pun ia singkat dan ada yang mengikut bentuk badan. Jadi, seusai tiba di Malaysia, saya terus mereka pakaian wanita yang sedikit labuh dan longgar,“ kata usahawan yang bakal mencipta nama itu.

Kaunselor maya

Kepada yang mengikut Instagram Farah yang memiliki 772,000 pengikut, ramai yang menggelarkannya ‘kaunselor maya‘. Mendengarkan perkataan itu terpacul daripada mulut penulis, beliau terus memberi respons:

“Saya hanya meluahkan dan mengekspresikan perasaan. Kadangkala ia datang daripada orang ramai yang mesej saya. Bagi saya, tidak layak sama sekali dianggap ‘kaunselor maya‘ kerana ia memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang lebih mendalam.“

Ya, mungkin ramai mengetahui bahawa Farah sudah membawa kehidupannya sendiri selepas memilih untuk berpisah dengan Ally. Namun, hal itu katanya, bukan benteng untuknya berkongsi pengalaman dan pandangan peribadi.

“Pertama sekali, kita kena perlu sentiasa positif kerana ia (perpisahan) sudah pun berlaku. Namun, kita perlu belajar sesuatu daripada perkara yang sudah terjadi, bagi membentuk masa depan yang lebih baik.

“Seperkara, saya terbuka untuk berkongsi pengalaman hidup kerana tidak mahu wanita senasib dengan saya berasa keseorangan. Saya akan terus berkongsi dan berkongsi selagi ia tidak melanggar sensitiviti, tidak keterlaluan dan tidak membuka aib sesiapa,“ katanya penuh optimis.

Iklan

Ramai mendakwa Farah masih lagi tidak move on? Oh!, beliau tidak kisah apa juga pandangan masyarakat tentang itu.

FARAH tidak mahu golongan yang senasib dengannya terus merintih. Bagi influencer popular ini, sesuatu perkara yang sudah berlaku, kita perlu belajar darinya, bagi membentuk masa depan yang lebih baik.

Tegas wanita itu, dirinya tidak pernah mementingkan diri sendiri dan sesekali tidak pernah melibatkan permata hatinya dalam kemelut diri dengan mantan suami.

“Anak bukannya satu masalah, kita sebagai ibu bapa kena laksana tanggungjawab menjaga anak kerana ia merupakan anugerah dan amanah daripada ALLAH. Jangan jadikan anak itu sebagai mangsa keadaan dalam masalah rumah tangga yang dihadapi, itu yang saya praktikkan,“ tuturnya yang bercadang mahu menulis sebuah buku motivasi.

Bagi Farah, mana-mana pasangan yang sudah tidak berjodoh lagi perlu lebih profesional dan matang. Jika tidak, ia akan memberi kesan tidak elok kepada perkembangan si kecil dari segi emosi, mental dan pertumbuhan mereka.

“Kuncinya mudah, be selfless, jangan berkira dan jika perlu, jangan libatkan anak dalam proses perceraian,“ katanya dengan nada tegas.

Maream si jantung hatiSememangnya, empunya badan memang sarat dengan cerita. Selain mendapat jolokan ‘kaunselor maya‘, beliau juga disifatkan sebagai ibu tunggal yang cekal, berani dan pandai membawa diri.

Buktinya, selepas bercerai, Farah melanjutkan pelajaran ke UK dengan membawa anaknya sekali. Wanita yang suka mengembara itu hanya tersenyum simpul tatkala mendengar pernyataan itu.

“Sebenarnya begini, minat untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak memang dah lama wujud. Selepas setahun bercerai dan pada tahun sama ayah saya pula meninggal dunia, saya rasa sudah tiba masanya saya ‘berhijrah‘ mencari ilmu di negara orang.

Iklan

“Alhamdulillah, rezeki dapat sambung belajar tercapai dengan usaha sendiri tanpa tajaan. Saya turut bawa Maream dan untuk teruskan survival, saya menjadi personal shopper seketika.

“Pada masa itu, saya penat sangat sehingga menitiskan air mata, namun ‘penat‘ saya bukanlah kerana sedih tetapi kerana letih dan kurang dorongan daripada keluarga dan kenalan (di Malaysia),“ katanya mengenang kehidupannya di UK dua tahun lalu.

Apa-apa pun Farah berkata, beliau bersyukur kerana mampu menamatkan pengajiannya pada Januari lalu meskipun merentas pelbagai onak dan duri.

“Dalam keperitan terselit juga kegembiraan. Sekali lagi saya bersyukur kerana saya dapat menunaikan haji bersama Maream pada tahun lalu sambil melaksanakan beberapa misi kemanusiaan di Malawi dan lokasi lain,“ ujarnya yang menunggu masa untuk bergraduasi.

FOTO kenangan Farah selepas majlis konvokesyen di Universiti Inha, Korea Selatan.

Bertanya mengenai perkembangan pembelajaran Maream, Farah memberitahu, si comel itu kini sedang menerima pendidikan di rumah sementara menanti waktu sesuai untuk mendaftar sekolah di sini.

“Di UK, Maream sangat seronok ke sekolah kerana di sana kemahiran bermain dan bersosial banyak ditekankan berbanding pembelajaran. Meskipun demikian, Maream juga mempelajari pendidikan asas seperti mengenal huruf dan angka serta mempelajari kemahiran berbahasa Inggeris,“ kongsi Farah sambil memberitahu, Maream boleh berbahasa Melayu, Inggeris dan Korea.

Sebelum melabuhkan tirai perbualan, Farah meninggalkan pesanan yang cukup bermakna. Katanya: “Memang tak mudah ‘menyandang jawatan‘ sebagai  ibu tunggal, namun apa-apa pun kita kena tabah. Dekatkan diri dengan ALLAH SAW. Cari juga rakan yang kita percayai untuk berkongsi. Kadangkala cara ALLAH salurkan kekuatan adalah melalui mereka yang sentiasa ada dengan kita,”.

PROFIL

SEMPAT mengerjakan haji pada tahun lalu, Farah tidak dapat melupakan momen indah ketika berada di Tanah Suci.
  • Nama penuh: Nurfarahin Romli
  • Umur: 31 tahun
  • Asal: Terengganu
  • Tarikh lahir: 12 Mac 1989Adik-beradik: 5
  • Pendidikan:
  • Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekaninal, Universiti Inha, Korea Selatan (2013)
  • Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Leeds, United Kingdom (2020)
  • Hobi: Melakukan kerja amal, mengembara dan membaca
  • Warna kegemaran: Hitam
  • Idola: Rasulullah SAW
  • Anak: Maream Esabel Ally Iskandar, 6 tahun.

TERIMA KASIH

  • MUA: @measukri
  • Baju: @hattadolmat
  • Tudung: @ommaesabel dan @tyrahnabila