• Thursday , 20 January 2022

    "Boleh tak satu kaki buat, apa yang dua kaki buat"- Ibu anak empat cabar diri cacat bukan penghalang

    "Boleh tak satu kaki buat, apa yang dua kaki buat"- Ibu anak empat cabar diri cacat bukan penghalang
    June 14, 2021
    Oleh Faezah Muda

    UNTUK berjaya dalam hidup, motivasi diri amat diperlukan sebagai pemangkin semangat berterusan.

    Seseorang yang ingin berjaya harus sentiasa diselimuti ketabahan dan kekuatan walau badai datang melanda.

    Inilah situasi dipamerkan oleh wanita orang kelainan upaya (OKU) dikenali Zeeda Aziz yang boleh dijadikan inspirasi.

    Semangat yang ditunjukkan mencari peluang meningkatkan keupayaan diri khususnya dalam bidang perniagaan membuktikan dirinya setanding rakan yang lebih bernasib baik.

    Dalam posting Facebook baru-baru ini, ibu kepada empat anak itu menceritakan detik jatuh bangun dalam bidang diceburinya sejak mengalami 'kekurangan' pada bahagian kaki.

    Iklan

    "Sebelum saya menjalani amputasi (buang kaki kiri) boleh dikatakan semua orang yang sayangkan saya menangis.

    "Menangis membayangkan kecacatan saya nanti menyusahkan. Agaknya mereka fikir, habislah saya lepas ni. Tak ada kerja, suami lari, kawan hilang, rumah tak terurus dan sebagainya.

    "Saya pula pada waktu tu, entah... tak rasa sedih pun. Nangis pun tidak. Perasaan lebih kepada 'tak sabar nak cabar diri sendiri'. Boleh tak satu kaki buat apa yang dua kaki buat!

    "Takpalah kalau kawan takda. It's fine kalau suami decide untuk angkat kaki (Thank God we are still happily married). Saya faham jika tak ada majikan nak menggajikan saya. Pandai-pandailah saya nak survive nanti," kongsinya.

    Jelas wanita cekal itu hendak seribu daya. Beliau turut berkongsi pengalaman perniagaan online yang diusahakan.

    "Permulaan saya di Shopee agak sendu. Sales bulan pertama cuma satu order sahaja. Nilai jualan sebanyak RM30. Sales bulan ke dua dapat tujuh order. Ada peningkatan. Tapi nilai jualan cuma RM254.55.

    "Dua bulan pertama masih hidup segan mati tak mahu. Masuk bulan ketiga, naik sikit bilangan order. Lapan orang beli. Tapi nilai jualan lebih kurang ja. Malah, lagi kurang dari bulan sebelumnya. Aduhai, sayu hati tengok apa yang terjual. Tak boleh jadi ni.

    "Jadi, saya ambil masa sebulan untuk mendalami ilmu asas berniaga sehingga mendapat peningkatan 497 peratus jualan berbanding sebelumnya. Ye... empat ratus sembilan puluh tujuh peratus. Tak salah tulis.

    "Kemudian saya belajar lagi. Fahamkan apa yang boleh saya perbaiki. Saya kena tanamkan dalam minda, saya cuma OKU fizikal, tapi otak masih boleh guna lagi. Jadi akal yang masih berfungsi ni, guna secukup-cukupnya.

    "Alhamdulillah, sekarang saya sudah mampu menggajikan beberapa pekerja untuk membantu urusan pembungkusan barang dan penghantaran ke courier.

    "Sales kini empat angka setiap hari, alhamdulillah. (LHDN..hangpa sabaq sat na, cheq nega tak sampai setahun lagi ni)," ujarnya berseloroh.

    "Boleh tak satu kaki buat, apa yang dua kaki buat"- Ibu anak empat cabar diri cacat bukan penghalang

    Iklan

    Disamping itu, Zeeda juga sentiasa mencabar diri sendiri.

    "Bayangkan dalam kesulitan saya melangkah dengan topang di ketiak, ke sana ke mari saya mencari barang untuk dijual.

    "Waktu hujankan lantai licin, langkah perlahan-lahan. Jangan sampai tergelincir jatuh. Nanti bertambah
    kecacatan pulak.

    "Barang berat angkatlah masuk ke kereta. Pandai-pandailah imbang badan supaya tak salah bearing," ujarnya.

    Baca juga Dulu kelilingi dunia, kini buka bisnes jual ayam gara-gara PKP. Transisi hidup lelaki ini cetus inspirasi

    Menurut Zeeda, dirinya perlu usaha pada kadar 300 peratus tak termasuk usaha menjaga empat orang anak yang masih kecil dan bersekolah.

    "Sekarang saya masih lagi berusaha keras, gigih mencari ilmu sana sini. Supaya bisnes kecil saya mampu memberikan modal untuk dapat rehat yang baik apabila tua nanti.

    "Usahlah marah dengan takdir. Takdir tertulis di Luh Mahfuz. Saya tak marah bila ALLAH uji saya dengan kanser. Itu bahagian saya. Saya tak bersedih bila ALLAH ambil semula sebahagian dari tubuh badan saya. Itu takdir saya.

    "Saya akan marah pada diri sendiri jika tak cukup berusaha. Setiap hari saya panjatkan doa semoga ALLAH beri kekuatan berganda dari setiap ujian yang datang kepada saya.

    "Kakiku hanya tinggal satu Ya ALLAH, tapi berilah kelajuannya bergerak empat kali ganda dari masa ada dua kaki," doanya.