INISIATIF Mahsuri Food Sdn Bhd dan Kelab Wanita Ikon Malaysia yang memperkenalkan bisnes jualan burger yang dikenali sebagai Burgernita banyak melegakan wanita dari golongan B40 terutama ibu tunggal.

Ketua Komersial Mahsuri, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, produk keluaran jenamanya yang sesuai dan menjadi elemen penyedap kepada sajian burger itu juga merupakan faktor yang membolehkan bisnes Burgernita laris.

“Saya berharap program yang dilaksanakan ini akan membantu para peniaga berjaya,“ katanya.

Burgernita bantu ibu tunggal

SinarPlus berkesempatan menemubual usahawan wanita yang baru melibatkan diri dalam Burgenita.

Ketika ditemui, masing-masing meluahkan rasa syukur kerana Burgernita telah membuka paradigma baharu dalam kehidupan mereka. Ikuti kisah usahanita yang penuh inspirasi ini.

Demi tujuh anak-anak yang sedang membesar, Junainah Juahil, 44, sanggup melakukan apa sahaja.

Digantung tidak bertali lebih lima tahun lamanya sebelum disahkan bercerai pada Mac lalu, membuat Junainah bangkit dan berdikari mencari rezeki demi survival diri dan zuriatnya.

Ya, memang penat dan beliau rasa berseorangan. Namun, ujar wanita gigih itu, demi anak-anak, tiada apa yang dapat menghalangnya.

Burgernita bantu ibu tunggal

Menceritakan rutin hariannya, Junainah berkata, seawal jam 4 pagi, beliau sudah bersiap-siap menyediakan juadah bersahur dan bahan-bahan jualan burger.

Selepas itu, wanita berkenaan akan menghantar anak-anak ke sekolah. Disebabkan tidak mampu membayar yuran bas untuk enam anaknya, beliau sanggup menjadi pemandu.

“Yuran bas mencecah RM70 untuk seorang anak. Terus terang saya memang tak cukup wang. Jadi, saya sendiri hantar anak-anak, di samping itu, saya ambil upah hantar pelajar lain ke sekolah.

Iklan

Burgernita bantu ibu tunggal

“Selepas itu semua, saya akan bersiap untuk jual burger bermula jam 3 petang hingga 11.30 malam,” kata wanita itu yang merupakan salah seorang usahawan Burgernita ketika ditemui di Ampang, Selangor Rabu lalu.

Ujar Junainah, beliau teruja kerana menjadi salah seorang peniaga yang terpilih dalam program Burgernita sejak seminggu sebelum puasa lalu.

Iklan

Burgernita bantu ibu tunggal

“Menjadi sebahagian usahawan Burgernita telah membantu menambah pendapatan saya. Alhamdulillah, bisnes saya laris,“ katanya.

Beritahu Junainah lagi, keistimewaan produk Burgernita terletak pada Burger Sarang Burungnya ditambah dengan pilihan sos keluaran Mahsuri hingga membuatkan menu itu diminati.

“Saya juga tambah nanas bagi membangkitkan lagi rasa. Jika tidak hujan, saya boleh jual lebih kurang 100 biji burger sehari.

“Saya berharap momentum ini akan berkekalan. Kepada ibu tunggal di luar sana, jangan sesekali terus meratapi nasib dan menjadi lemah. Carilah peluang pekerjaan yang mampu kita lakukan,” katanya.