Oleh NAZRIN ZULKAFLI

BAGI memperkasakan golongan wanita yang terkesan akibat impak ekonomi yang tidak menentu, Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) memperkenalkan satu perniagaan jualan burger yang dikenali sebagai Burgernita.

Presiden KWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, Burgernita diwujudkan antara lain memberi peluang kepada wanita terutamanya daripada kumpulan B40 dan golongan terpinggir seperti bekas banduan bagi menjalankan bisnes mereka sendiri.

Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.

“Perniagaan ini berkonsepkan perkongsian sama rata iaitu antara geran daripada KWIM bersama peserta atau pinjaman daripada institusi kewangan yang telah dipilih.

Peserta akan dibimbing oleh mentor-mentor daripada KWIM yang akan turun padang di setiap kawasan seliaan mereka,“ katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Burgernita yang diadakan di Horu Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Komersil Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri), Mohd Jazri Ikmal Hijaz; Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Tekun Nasional, Yasir Salam; Ketua Pegawai Eksekutif Arispop Holdings Sdn Bhd, Datuk Haris Embong dan Zarina Zainuddin sebagai jurucakap projek.

Normaziah menambah, peserta akan menerima satu set gerai lengkap, pendaftaran perniagaan, suntikan tifoid, peruntukan modal pemasaran dalam talian untuk enam bulan pertama dan modal.

“Kami memilih perniagaan burger kerana kelestariannya, tahap kemampuan dan kesediaan peserta untuk menjana pendapatan secara berterusan,“ katanya.

Beliau berkata, Burgernita turut mempunyai burger yang tersendiri yang diberi nama Burger Sarang Burung.

Resipi dan sos burger ini dicipta khas dengan sos lada hitam Mahsuri dan bakal menjadi tarikan orang ramai untuk mencuba produk ini.

Iklan

“Setakat ini, kami mempunyai 15 cawangan di enam negeri. Kami menyasarkan sebanyak 700 gerai burger dalam tempoh tiga tahun akan datang,“ katanya.

Normaziah memberitahu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui laman https://ikhlas.com/sadaqah/en/kelab-wanita-ikon-malaysia atau burgernita.com.

Sementara itu, Mohd Jazri berkata, syarikatnya telah membantu dari segi dana permulaan dan juga produk untuk digunakan dalam penyediaan membuat burger tersebut.

Iklan

“Selain bekerjasama dengan KWIM melalui program Burgernita, kami ingin memperkasakan wanita dengan membantu mereka untuk menjana pendapatan melalui perniagaan kerana ia selari dengan jenama kami yang mengutamakan wanita di Malaysia.

“Kami menawarkan rangkaian kicap dan sos Mahsuri yang diperbuat khas untuk memudahkan wanita untuk menyediakan masakan kepada keluarga mereka. Penggunaan produk Mahsuri akan menambahkan lagi kelazatan dan kesedapan hasil masakan mereka,“ katanya.

Jazri turut mengharapkan perniagaan Burgernita mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sekali gus membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan.

“Saya berharap program Burgernita ini berjaya dan menjadi contoh serta akan berkembang pada masa akan datang,“ katanya.