WABAK Covid-19 menjangkiti tidak kira siapa. Semuanya berisiko terdedah dengan wabak virus korona itu tanpa kita sedari.

Lagi sedih, jika pesakit itu seorang kanak-kanak yang masih kecil.

Kasihan, si cilik itu terpaksa menguruskan diri dan terpisah daripada ibu bapa tersayang kerana ditempatkan di hospital.

Itulah yang dialami Zhafril Adam yang berusia 7 tahun yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Susulan itu, Zhafril dikehendaki menjalani kuarantin di Hospital Rembau, Negeri Sembilan pada 9 Januari lalu.

Perkongsian ibunya, Nazratul Adawiah Abdullah, ternyata mengundang emosi sedih dalam kalangan warganet yang turut terkesan dengan kecekalan wanita itu berdepan dugaan besar itu.

covid-19

Nazratul Adawiah yang menggunakan nama Nazra Azza dalam akaun Facebooknya berkongsi pengalaman yang diibaratkannya sebagai satu mimpi buruk selepas anak tunggalnya disahkan positif wabak itu.

“Genap sebulan ibarat mimpi buruk apabila anak saya, Zhafril Adam disahkan #covidfighter. Sekarang baru ada masa dan kekuatan untuk menulis sedikit pengalaman saya tentang pandemik ini.

“Sewaktu KKM hubungi maklumkan second swab test anak saya positif, waktu itu rasa nak terduduk, terus menangis. Tak sangka sebab calita pertama kami sama-sama negatif. Masa ini dah 10 hari kuarantin di rumah. Bayangkan dah elok-elok nak habis kuarantin, swab test kedua pula sangkut. Rasa lembik dunia berperang dengan perasaan,” katanya.

covid-19

Ujar ibu berusia 31 tahun itu lagi, dirinya berperang dengan pelbagai lantaran memikirkan keadaan anaknya yang tidak mengerti apa-apa, namun terpaksa berada di hospital bersendirian kerana perlu dikuarantin.

“Bengkak mata tak usah cakap masa ni. Adam adalah anak yang sejak lahir tak pernah sakit apa-apa, jadi bayangkan perasaan saya masa itu?

“Saya merayu dekat KKM supaya dapat temankan Adam. KKM benarkan dengan syarat harus swab sample semula dan bermula kiraan hari dengan kosong semula. Tak mengapa, saya buat demi anak,” tulisnya.

Bermula detik ambulans datang mengambil dua beranak itu pada jam 12.30 tengah hari, wanita itu sempat merakam beberapa keping foto anaknya yang kelihatan tenang.

covid-19

“Sepanjang sejam lebih perjalanan ke hospital, dalam ambulans saya lemah, lembik. Dari pagi tak makan apa-apa, tiada tenaga, tapi anak saya macam dah reda. Seolah-olah mengerti dia akan diambil ambulans dan dibawa ke hospital. Seolah-olah mengerti yang virus ni terlalu bahaya.

“Masa ni semua orang dah tau. Ada yang menyalahkan, ada juga yang simpati. Takpe saya paham. Mentaliti orang kita tak boleh nak halang. Lagipun Covid-19 ni penyakit baru. Masih dalam penyelidikan.

“Ada orang yang dah tahu, ada yang menyalahkan, ada juga yang simpati. Takpa saya paham. Mentaliti orang kita tak boleh nak halang. Lagipun Covid-19 ini penyakit baharu. Masih dalam penyelidikan,” katanya penuh optimis.

Pengalaman berkurung di dalam wad selama 10 hari kata Nazratul Adawiah, memberi momen yang tidak dapat dilupakan buatnya dan anak kesayangannya itu.

Ujarnya, selepas anaknya mengadu sakit tekak, doktor memantau keadaannya setiap hari.

Iklan

“Doktor datang check darah, pantau suhu dan semua progresif anak. Macam biasa, covid ini tiada ubat. 100 peratus bergantung kepada kekuatan sistem imuniti badan. Kalau demam, doktor akan bagi ubat demam atau tahan sakit. Itu sahaja.

covid-19

“Anak tiada lagi swab sebab dah memang positif, tapi saya dicalit untuk kali ketiga, takut positif kerana kebolehjangkitan untuk saya kena adalah sangat tinggi sebab jaga anak yang positif,” katanya.

Vitamin C, madu

Nazratul Adawiah turut berkongsi rutin harian menjaga anaknya yang sakit iaitu bermula dengan gosok gigi dan kumur air garam selama tiga minit, kemudian disuap madu.

Pada waktu tengah hari pula, wanita itu memberikan anaknya makan vitamin C, manakala sebelah malam iaitu sebelum tidur, air perahan lemon dan madu wajib diminum untuk menguatkan antibodi badan.

Iklan

Menurut ibu cekal itu, petua orang lama diamalkan memandangkan wabak Covid-19 masih belum ada penawarnya lagi.

“Alhamdulillah syukur Adam kuat, tetapi jaga orang positif Covid-19 ni sangat-sangat teliti kerana saya tidak dipakaikan pakaian PPE pun, semua tahukan PPE harganya sangat mahal dan hanya kakitangan hospital sahaja yang diberi.

covid-19

“Jadi risiko saya terdedah kepada virus adalah sangat besar dan tinggi. Maka, setiap 10 minit pegang sudu, kena basuh tangan, basuh tangan. Setiap kali dekat dengan anak, kena basuh atau sanitize tangan, bagi anak sesuatu, sanitize lagi. Jenuh,” akui ibu hebat itu.

Alhamdulillah, selepas bertarung dengan penuh kesabaran, akhirnya keputusan ujian calit bagi dua beranak itu negatif selepas hari ke-9.

Dengan pengalamannya itu, Nazratul Adawiah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjagaan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Semoga perkongsiaan wanita itu boleh dijadikan panduan kepada kita. Jangan pandang sebelah mata virus ini. #kitajagakita #kitapastimenang