SEMBILAN bulan tempoh yang agak panjang buat seorang wanita ini berhadapan dengan kanser serviks.

Serviks atau pangkal rahim adalah bahagian sempit yang terletak di bawah rahim. Rahim pula bertindak sebagai ruang tumbesaran janin. Pangkal rahim adalah bahagian yang menyambungkan rahim dengan faraj dan ia membentuk saluran kelahiran.

Individu yang menderita kanser serviks tidak selalunya mengalami gejala yang jelas pada awalnya.

Selalunya, pesakit kanser hanya akan mengalami simptom setelah penyakit menjadi lebih teruk.

Seperti kejadian yang berlaku kepada seorang wanita dikenali Ida Farina yang berkongsi kisah dirinya disahkan menghidap kanser serviks tahap 4 pada April 2021 lalu.

Menerusi aplikasi TikTok, wanita berkenaan tampil berkongsi tanda, perjalanan perubatan serta keadaan dirinya yang kini telah bebas terhadap kanser tersebut yang meraih perhatian ramai.

Ujarnya, pada mulanya dia mengalami keputihan yang banyak.

“Puncanya yang mula, ada keluar keputihan. Ia berwarna jernih, tidak ada bau dan gatal cuma ia keluar setiap hari. Doktor bagi ubat untuk makan, dalam seminggu masih tidak berhenti. Tukar pencuci wanita pun tidak berhenti.

“Pada Mac 2021 itu, saya keluar haid tapi tidak berhenti dalam lapan sehingga sembilan hari. Doktor scan dan mengatakan tiada apa-apa. Doktor bagi ubat dan darah berhenti dalam seminggu sahaja namun ia kembali keluar.

“Walaupun darah itu tidak banyak hanya keluar sedikit-sedikit, selepas sebulan, saya ke klinik dan doktor mengatakan mungkin itu hanya perubahan hormon badan.

“Namun waktu itu juga saya merasakan ada sesuatu ‘blocking’ dalam perut sebelah kiri dan saya ke klinik untuk scan. Masa tu doktor klinik swasta itu mengatakan ada ketulan. Justeru doktor membuat surat refer ke hospital besar,” ujarnya.

Wanita berkenaan terus mendapatkan rawatan ke hospital besar bagi memastikan ketulan berkenaan.

“Di hospital besar, doktor menjalankan scan dan mengesahkan ada ketulan tersebut bersaiz 6-7cm. Doktor sarankan untuk buat pepsmear.

“Dalam seminggu selepas itu, doktor telefon mengesahkan sampel itu mengandungi sel kanser. Selepas itu saya menjalani biopsi dan CT scan untuk mengambil detail kanser,” katanya.

Baca juga Rahsia jaga badan, Tun M pastikan berat tidak lebih 62kg, elak terlalu gemuk

Dalam pada itu, Ida Farina turut berkongsi perjalanan dirinya membuat rawatan.

“Pada April 2021, saya disahkan. Saya diberi pilihan membuang rahim dan rawatan radioterapi. Saya memilih untuk buang rahim.

“Bermula Jun saya menjalani kemoterapi sebanyak sembilan kali dan pembedahan. Pada Januari saya telah disahkan bebas daripada kanser berkenaan,” ceritanya.

Ujarnya lanjut, dia bersyukur selama sembilan bulan berjuang akhirnya dirinya bebas kanser.

“Alhamdulillah, tak sampai setahun saya disahkan bebas. Walaupun dah tahap 4, kita kuat, nekad, niat dan mohon kepada ALLAH, kita nak sembuh. Semua itu milik ALLAH, kita mohon dengannya.

“Insya-ALLAH, kesembuhan milik ALLAH, jangan risau tahap 1, 2 atau 3 mahupun 4, jika ALLAH nak bagi kesembuhan buat kita, tiada yang mustahil.

“Semua pejuang kanser, jangan takut. Kuat semangat, insya-ALLAH kesembuhan milik kita,” pesannya.

@idafarina213 Reply to @sheebaizzat ♬ original sound – Ida Farina

TANDA, GEJALA KANSER SERVIKS

Sementara itu, menurut portal myhealth, kebanyakan wanita tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala pada peringkat awal kanser serviks.

Iklan

Gejala kanser selalunya tidak dirasai oleh pesakit sehinggalah sel telah merebak ke tisu dan organ lain.

Berikut kemungkinan tanda atau gejala;

  • Tompokan darah atau sedikit pendarahan antara tempoh kering haid atau selepas haid.
  • Pendarahan haid berpanjangan dan banyak daripada biasa.
  • Pendarahan selepas putus haid.
  • Sakit semasa hubungan seksual.
  • Penambahan lelehan dari faraj.

RAWATAN KANSER SERVIKS

Rawatan barah pangkal rahim bergantung kepada saiz dan lokasi ketumbuhan, tahap rebakan barah dan tahap kesihatan wanita tersebut. Rawatan utama untuk barah adalah pembedahan, terapi radiasi dan kemoterapi.

  • Pembedahan
    Dalam pembedahan, doktor membuang barah tisu. Untuk barah pangkal rahim yang tidak merebak melepasi pangkal rahim, prosedur ini kerap digunakan:

1. Conization menggunakan teknik yang serupa seperti cone biopsy untuk membuang tisu yang luar biasa. Ia boleh digunakan untuk membuang microinvasive barah pangkal rahim

2. LEEP menggunakan elektrik melalui cangkuk dawai yang halus. Tisu dibuang menggunakan cangkuk, ia boleh digunakan untuk membuang microinvasive barah pangkal rahim.

3. Hysterectomy – pembedahan untuk membuang rahim dan pangkal rahim. Hysterectomy boleh jadi simple hysterectomy, di mana pembuangan rahim dan pangkal rahim atau radical hysterectomy yang mana pembedahan melibatkan pembuangan rahim, pangkal rahim, bahagian atas faraj dan tisu di sekeliling pangkal rahim. Radical hysterectomy turut termasuk pembuangan kelenjar di pelvis. Jika perlu, bilateral salpingo-oophorectomy (pembuangan kedua-dua salor falopian dan kedua-dua ovari) dilakukan pada masa yang sama.

  • Radioterapi

Menggunakan radiasi untuk memusnahkan sel barah. Radioterapi mungkin disarankan sekiranya pesakit tidak sesuai untuk pembedahan. Ia mungkin juga untuk ketumbuhan yang telah merebak ke dalam tisu sekeliling pangkal rahim yang menyukarkannya untuk dibedah. Radioterapi mungkin juga digunakan selepas pembedahan atau digabung dengan kemoterapi.

Iklan

Kesan sampingan daripada terapi radiasi bergantung kepada dos dan bahagian badan yang dirawat. Kesan sampingan yang kerap terjadi termasuk letih dan lesu, reaksi pada kulit (kering atau kemerahan pada kawasan rawatan radiasi), hilang selera makan, loya, muntah, ketidakselesaan semasa buang air kecil dan cirit birit. Antara kesan sampingan radiasi terapi dalaman (internal radiation therapy) adalah termasuk sakit perut dan usus tersumbat. Kebanyakan kesan sampingan akan hilang selepas rawatan tamat.

Baca juga Sakit mengalahkan Covid-19, pemuda kongsi sekeluarga positif Influenza A

  • Kimoterapi

Rawatan barah menggunakan ubat anti-barah. Tujuannya adalah untuk membunuh sel barah dengan menghalang sel barah daripada bertambah. Kesan sampingan yang kerap berlaku loya dan muntah, hilang selera makan, cirit birit, letih lesu, bilangan sel darah rendah, perdarahan atau lebam selepas luka kecil atau cedera, kebas dan rasa mencucuk-cucuk di tangan atau kaki, sakit kepala, rambut gugur dan kehitaman pada kulit dan kuku. Kesan sampingan selalunya hilang selepas rawatan lengkap.

  • Rawatan paliatif

Rawatan mengurangkan sakit dan gejala penyakit yang lain. Penjagaan paliatif boleh diperolehi oleh semua pesakit barah yang mengalami kesakitan dan tekanan tanpa mengira tahap rawatan. Ia amat penting bagi penghidap barah di peringkat akhir yang mengharapkan kehidupan yang selesa tanpa kesakitan dan tekanan.

Oleh itu, penting untuk para wanita melakukan ujian saringan bagi kanser serviks supaya kanser boleh dikesan pada peringkat yang lebih awal.

Jika anda alami gejala serviks di bawah dalam jangka masa yang berpanjangan, anda perlu berjumpa doktor dalam kadar yang segera.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.