AWAK tidak cukup besar.“ Kata-kata itu bagaikan panahan halilintar menusuk hatinya apabila hasrat untuk menyertai pasukan bola sepak atau badan beruniform ditolak mentah-mentah.

Dek tubuhnya kecil, Chuari Selamat ketika zaman sekolah rendah sering dipinggirkan daripada menyertai aktiviti sukan dan badan beruniform yang memerlukan fizikal mantap yang cukup diminatinya.

Sungguhpun begitu, juruhebah, penerbit dan pencipta lagu terkemuka ini tidak pernah mengenal erti putus asa. Berbekalkan kata-kata sinis itu, beliau lebih berani dan terampil dalam bidang sastera.

“Bila tawarkan diri masuk pasukan bola sepak, mereka kata tak boleh sebab badan kecil sangat. Nak masuk kadet polis pun alasan sama diberi.

“Memang tak dinafikan masa kecil-kecil dulu, badan pun kurus tak cukup makan sebab anak orang miskin. Tapi saya ubah minda dan cuba dalam bidang sastera pula,“ ujarnya ketika ditemui Sinar Plus di Taman Tasik Ampang Hilir, di ibu negara baru-baru ini.

Melihat perkembangan dunia penulisan yang semakin mendapat tempat dalam industri pada ketika itu, bapa kepada tujuh anak ini percaya rezekinya ada dalam bidang tersebut.

“Siapa sangka, masa darjah lima lagi saya sudah berada di konti radio sebagai pelakon kanak-kanak untuk program radio. Sekali sahaja hadir uji bakat terus dapat tawaran berlakon. Punyalah seronok hanya ALLAH yang tahu.

chuari
CHUARI tetap aktif berkongsi ilmu pengacaraan kepada penjawat awam dan kakitangan RTM.

“Bila sudah jatuh cinta dengan bidang penyiaran, saya banyak menelaah sendiri. Saya baca buku di perpustakaan sekolah setiap kali waktu rehat untuk dapatkan idea penulisan skrip walaupun masa tu baru darjah enam,“ ceritanya.

Suka cabar diri

Mengagumkan, tatkala masih ‘hijau‘, hasil karyanya termasuk skrip drama mendapat tempat di radio tempatan.

Apa tidaknya, gejolak jiwa mudanya ketika itu menghambur semangat buatnya untuk berkarya termasuk mengkaji gaya penyampaian dan kekuatan bahasa juruhebah terkenal seperti Allahyarham Karim Mohamad.

“Saya amat kagum dengan keunikan bahasa dan gaya penyampaian DJ otai dan menimba ilmu dengan Allahyarham Tan Sri SM Salim,“ kongsinya yang telah berkhidmat lebih 40 tahun.

Menyifatkan tugas seorang DJ radio konvensional satu ketika dahulu amat ‘berat‘ berbanding dunia digital, anak jati Kuala Lumpur ini tidak dapat melupakan kenangan memikul mesin perakam di bahu untuk rakaman suara.

“Masa dulu mana ada alat rakaman yang kecil molek macam telefon, saya kena pikul mesin perakam yang berat di bahu dan usung ke sana ke mari untuk dapatkan rakaman suara orang.

CHUARI
MOMEN terindah sepanjang berkhidmat dalam RTM.

“Bila balik konti, baru edit dan masukkan dalam rancangan radio. Dulu masa raya sahaja boleh buat panggilan telefon. Tidak seperti sekarang boleh call bila-bila masa,“ katanya.

Sentiasa suka mencabar diri dengan bidang baharu, Chuari yang terkenal dengan nama Rahmat Zaki itu mula berjinak-jinak dengan penciptaan lagu bersama Datuk Seri Dr Ahmad Nawab.

“Masih ingat lagi, saya belajar menulis lagu bersama beliau. Paling menggembirakan, nukilan pertama iaitu lagu Semakin Lama Semakin Sayang dendangan Uji Rashid berjaya dirakam.

“Kini lebih 500 lagu yang saya buat dan sedang memilih 100 lagu terbaik pelbagai genre untuk dijadikan kompilasi album dan diselitkan kisah di sebalik pembikinan lagu terbabit,“ katanya.

Iklan

Tatkala ditanya mengenai ‘persaraan‘ dalam bidang itu, Profesor Adjung Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini tidak menyangka khidmatnya masih diperlukan lagi.

“Dulu ingatkan selepas bersara, bolehlah rehat-rehat di rumah. Tetapi disebabkan jiwa saya pun masih sayangkan bidang penyiaran, saya sering memenuhi undangan sebagai penceramah dan tenaga pengajar.

“Sekarang ini aktif mengumpulkan pantun untuk dijadikan sejuta koleksi selain sibuk menyiapkan beberapa buku dan kompilasi lagu,“ ungkapnya.

PROFIL

Nama: Chuari Selamat

Iklan

Nama komersial: Rahmat Zaki

Umur: 66 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pencapaian:

  • Pingat Jasa Bakti (PJK) 2002
  • Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) 2006
  • Bintang Khidmat Terpuji (BKT) 2006

Anugerah:

  • Anugerah Seri Angkasa
  • Anugerah Mencipta Lagu sempena Hari Kebangsaan
  • Penyampai Terbaik Radio 1984
  • Anugerah Seri Angkasa DJ Terbaik Radio 1991
  • Anugerah Q Produk Radio Terbaik 2003
  • Anugerah Khas Angkasa­puri 2005
  • Anugerah MACP 2007
  • Anugerah Tinta GAFIM 2008
  • Anugerah Khas Ketua Pengarah sempena hari RTM 2008
  • Anugerah Khidmat Cemerlang 2008.
  • Anugerah Seri Temasik Radio Klasik 2011