TIDAK membataskan rezeki sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), Abdul Ghafur Hanafiah bijak mengembangkan perkhidmatan membaiki pelbagai jenis kasut secara atas talian.

Masakan tidak, mengenangkan tempoh PKP barangkali berlanjutan mendorong jejaka berusia 25 tahun itu berfikiran luar kotak demi kelangsungan hidup dan menyara keluarganya.

Menurut anak kelahiran Perlis itu, dia sudah membayangkan PKP akan berlanjutan memandangkan inisiatif negara yang terus komited membendung wabak Covid-19.

“Asalnya saya anggap mungkin PKP berakhir hanya dalam tempoh dua minggu sahaja dan selepas itu boleh buka kedai kasut seperti biasa namun melihat keadaan sekarang ini, mungkin akan berlanjutan.

tukang kasut
PREMIS kedai di Dataran Pahlawan Mall tidak dapat dibuka seperti biasa gara-gara wabak Covid-19 mendorong Abdul Ghafur buka perkhidmatan baiki kasut atas talian.

“Saya dah terfikir untuk buat perkhidmatan baiki kasut secara online dan bermula awal April, saya buka tempahan secara meluas di media sosial,” ujarnya yang memiliki premis di Dataran Pahlawan Mall, Melaka.

Mengenangkan sewa rumah dan premis masih perlu dilangsaikan meskipun dalam tempoh PKP, pemilik akaun instagram @kelinikkasot itu tidak mahu berputus asa.

baiki kasut
ANTARA kasut milik pelanggan yang dibaiki.

“Saya ambil pendekatan positif dan buat promosi dalam media sosial. Alhamdulillah sambutan setakat ini ok walaupun baru sahaja war-war pada awal April lalu.

Iklan

“Ini kerana, secara tak langsung membantu mereka yang mahu baiki kasut hanya menggunakan khidmat pos terus ke rumah,” katanya yang beroperasi di Batu Hampar Peringgit, Melaka.

baiki kasut
KEMAHIRAN membaiki pelbagai jenis kasut menjadi kelebihan buat Abdul Ghafur.

Jika sebelum ini hanya berfokuskan kepada keperluan orang Melaka, kini Abdul Ghafur mahu memperluaskan perkhidmatan ke seluruh negeri bagi yang berminat.

Iklan

“Media sosial sangat luas dan boleh berkomunikasi dengan sesiapa juga termasuk pelanggan di dalam dan luar Melaka. Jadi, tidak salah jika guna peluang ini sebaiknya.

“Memandangkan kini perlu duduk di rumah untuk mematahkan rantaian Covid-19, jadi saya gunakan khidmat pos untuk mereka yang mahu baiki kasut tanpa perlu keluar,” bicaranya.