BERSAMA Pakar Motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

SOALAN

Sebelum ini, saya pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, namun dibantah oleh anak-anak atas alasan mereka tidak sanggup kehilangan saya selepas bernikah nanti.

Sebenarnya, saya sudah menduda lebih lima tahun dan ingin hidup berteman, memandangkan anak-anak semuanya duduk jauh.

Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, kehidupan saya menjadi bertambah sunyi. Bagaimana caranya saya mahu memujuk hati anak-anak agar membenarkan saya meneruskan niat ini?

DUDA KESUNYIAN, 60
Pontian Kecil, Johor

JAWAPAN

PADA pandangan saya, situasi yang dihadapi oleh pengadu sebenarnya lebih mudah memandangkan dia sudah menduda lebih lima tahun, berbanding seorang suami yang mempunyai isteri lagi.

Bagi menjawab isu ini, anak-anak perlu memahami kehendak dan keadaan si ayah kerana dia semakin hari, semakin berusia.

Pada masa sama, pengadu memerlukan insan sebagai peneman yang boleh menjaganya dengan baik.

Sebenarnya si ayah memerlukan individu yang boleh membantunya menguruskan hal rumah dan sebagainya. Justeru, kalau boleh, anak-anak perlulah bertimbang rasa dan memberi restu untuk ayah berkahwin lagi.

duda buntu anak bantah hasrat bernikah

Si ayah juga perlu faham bahawa hak berkahwin sebenarnya bukan terletak kepada keizinan anak-anak.

Iklan

Jika anak-anak tidak bersetuju, sila berterus terang dan memberi penjelasan kukuh mengapa perkahwinan itu tidak boleh diteruskan?

Mungkin terdapat beberapa faktor yang menjadi kebimbangan mereka yang perlu diselami dengan lebih mendalam.

Kadang-kadang anak-anak ini takut ibu baharu terlalu mengongkong sehingga kediaman si ayah sudah menjadi rumah orang lain ataupun bimbang harta pusaka dikikis.

Sebagai bapa, kita perlu memahami maksud tersirat yang tidak dijelaskan oleh anak-anak demi menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

duda buntu anak bantah hasrat bernikah

Iklan

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Antara nasihat yang boleh saya kongsikan, carilah bakal isteri yang boleh ‘masuk’ dengan anak-anak ataupun sebelum berkahwin, perkenalkan kepada mereka terlebih dahulu supaya masing-masing boleh memberi pandangan.

Jika masalah ini boleh diselesaikan dengan baik, insya-ALLAH hasrat si ayah untuk berkahwin lagi boleh direalisasikan.

Pun begitu, jika si anak masih menghalang tanpa alasan kukuh, itu mengada-ngada namanya.

Justeru, si ayah yang mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin lagi, buktikan bahawa sangkaan anak-anak tidak berasas dan anda boleh hidup bahagia bersama insan tersayang. Insya-ALLAH.