SEJAK kecil, Siti Sarah Ishak, 30, diulit kebimbangan. Masakan, tidak beliau adalah seorang pesakit jantung (Tetralogy of fallot) sejak dilahirkan lagi.

Natijahnya, anak kedua daripada tiga beradik itu sering berulang-alik ke Institut Jantung Negara untuk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat.

Pada usia yang masih mentah iaitu lapan tahun lagi, beliau diminta menjalani pembedahan memperbetulkan saluran injap pulmonari ke paru-paru.

sarah pesakit jantung

“Saya masih ingat, ibu dan ayahlah kerap bawa saya ke hospital. Namun, pada usia enam tahun, ayah meninggal dunia, dia tak sempat tengok saya dibedah, memang sedih dibuatnya,” katanya membuka plot kehidupannya kepada SinarPlus.

Cerita Siti Sarah lagi, pada zaman kanak-kanak, beliau seorang yang pasif lantaran penyakit yang dideritainya.

“Ibu pernah cerita yang saya pernah jadi biru sebab menangis tak cukup nafas. Alhamdulillah, selepas pembedahan, saya bagaikan dapat satu sinar baharu,” katanya.

sarah pesakit jantung

Berkat kesabaran dan tidak pernah melanggar nasihat pakar, anak kelahiran Raub, Pahang itu berkata, dirinya mampu menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa sebarang komplikasi jantung lagi.

“Seperti tak percaya saya telah berjaya menawan tiga gunung di Semenanjung Malaysia. Saya juga berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada tahun 2016 dan memiliki kerjaya juruuji sistem pengkomputeran,” katanya.

Sakit selepas 20 tahun

Pun demikian, pada tahun 2017 sesuatu yang tidak diingini telah berlaku.

Tahap kesihatan graduan Universiti Malaysia Pahang itu tiba-tiba merudum dan tidak ubah seperti situasi kesakitan yang dialaminya pada zaman kanak-kanaknya.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki bas dan berdiri kerana tiada kekosongan tempat duduk. Tiba-tiba saya gelap mata dan susah untuk bernafas. Selalunya memang saya pitam, tetapi tidak sampai tahap sesak nafas.

sarah pesakit jantung

“Selepas kerja, saya terus ke klinik dan mereka terus meminta saya ke hospital kerana graf jantung saya ketika itu tidak cantik. Bila dimaklumkan jantung sudah bengkak kerana injap pulmonari tidak lagi berfungsi, saya terus terduduk,” kongsinya dengan suara sebak.

Sebenarnya, beritahu Siti Sarah, sepatutnya selepas pembedahan, risiko masalah jantung akan berulang selepas 10 tahun. Namun, tanpa disangka-sangka, ia kembali selepas 20 tahun.

“Ingatkan selepas tak tunjukkan tanda-tanda buruk selepas 10 tahun, saya dah okey. Rupa-rupanya saya belum pulih sepenuhnya. Saya agak terkejut kerana kesannya berlaku selepas 20 tahun.

“Memang perit untuk dihadam, namun saya reda dengan ketentuan-NYA,” katanya yang berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur selama setahun untuk menjalani rawatan susulan.

Sejak itu, Siti Sarah memaklumkan, tubuh badannya mulai lemah, sering sesak nafas dan pitam. Paling menakutkan, adakalanya degupan jantungnya tidak menentu.

Iklan

sarah pesakit jantung

Disebabkan itu, beliau kemudian dirujuk ke Hospital Serdang (pada November 2018).

Dengan rasa sedih, wanita bertubuh genit itu memberitahu, dirinya disahkan mengalami masalah saluran aliran keluar ventrikel kanan, Severe Right Ventricular Outflow Tract (RVOT) Dilatation dan Branch Pulmonary Artery Stenosis.

Kata Siti Sarah, beliau telah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan kerana itu sebaik-baiknya penyelesaian.

Namun, menjadi kekhuatirannya kini adalah kos rawatan dan pembedahan mencecah RM80,000. Satu jumlah yang sukar untuk dipenuhi dalam masa singkat, akui wanita itu.

“Saya terkedu dan tidak mampu berkata apa-apa. Bukan sedikit nilai yang diperlukan. Ketika ini, saya hanya hidup bergantung dengan ubat selain rawatan susulan setiap tiga dan enam bulan,” katanya.

sarah pesakit jantung

Iklan

Wanita itu dijadualkan menjalani prosedur pembedahan membaiki saluran aliran keluar ventrikel kanan dan pemasangan Pulmonary Valve Implantation di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur pada 5 April ini.

Siti Sarah nampaknya tidak berputus untuk mencari dana.

Bagi memastikan beliau boleh menjalani pembedahan seperti yang disyorkan, wanita itu berusaha dengan membuat hantaran menerusi media sosial untuk memohon sumbangan daripada orang ramai.

“Kawan-kawan pun ada bantu termasuk pihak universiti, saya juga ada memohon dengan MyHeart-MyFundation untuk mewujudkan tabung bagi membantu meringankan beban saya,” katanya dengan penuh harapan.

Justeru, bagi menyelamatkan satu nyawa, rakyat Malaysia yang bermurah hati boleh memberi sumbang kepada Siti Sarah menerusi akaun CIMB Bank 7035937408 atas nama Siti Sarah Binti Ishak atau tabung MyHeart-MyFundation.