USIANYA baharu mencecah setahun lapan bulan, namun dugaan yang ditanggung anak kecil ini cukup berat.

Adik Nur Aqilah Adawiyah dikesan menghidapi ketumbuhan pada mata kiri sehingga terpaksa dibuang berikutan risiko merebak kepada organ lain.

Tular kisah adik comel ini yang sebelum ini mengharapkan bantuan orang ramai untuk meringankan beban kos rawatan pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Bapanya, Muhammad Shazuli Zaini, 31, ketika dihubungi SinarPlus menarik nafas lega apabila anak keduanya itu selamat menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.

adawiyah kanser mata

“Sekarang ini matanya masih dijahit. Mungkin dalam tempoh dua minggu lagi doktor akan letak ‘mata batu’ buat sementara waktu.

“Saya mohon doa orang ramai supaya dapat mendoakan Adawiyah cepat sembuh dan kembali aktif,” ujarnya yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di Shah Alam, Selangor.

Berkongsi mengenai kutipan dana sebelum ini, bapa kepada dua cahaya mata itu terpaksa meminjam duit dengan adik-beradik bagi menampung kos pembedahan yang perlu disegerakan sebelum permohonan bantuan kewangan dengan agensi berkaitan.

“Sebenarnya, kami tidak tahu sinar pada mata hitamnya itu adalah kanser. Adawiyah pun tidak tunjuk sebarang kelainan. Bila periksa mata dengan doktor pakar, barulah kami tahu.

adawiyah kanser mata

“Bila doktor cakap agak terlewat kerana mata kirinya sudah terjejas dan terpaksa dibuang, kami reda dengan ketentuan takdir,” katanya penuh sebak.

Iklan

Namun begitu, jauh di sudut hati Muhammad Shazuli mendoakan anaknya terus sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain meskipun hanya bergantung kepada satu mata sahaja.

“Bapa manalah nak yang buruk-buruk untuk anak sendiri, kan? Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan Adawiyah bahagia dan sayangi dirinya.

“Kekurangan yang ada bukan halangan untuknya berjaya dan doa kami akan mengiringinya sehingga berjaya nanti…insya-ALLAH,” tuturnya penuh harapan.

Iklan

Apapun, panjatkan doa yang baik-baik untuk adik Adawiyah ini supaya cepat sembuh dan cute selalu. #janganputusasamalaysia