TIDAK hanya di Malaysia, hampir seluruh negara di dunia masih buntu dengan virus Covid-19 yang terus-menerus menyerang manusia tanpa henti. Seramai 1.4 juta nyawa sudah melayang.

Bahang ketakutan turut dirasai oleh seorang anak Malaysia, Siti Safuraa Hamzah yang kini menetap di Stockholm, Sweden.

Kata wanita itu, beliau sentiasa memastikan dua anak kecilnya, Dhuhaa Sophea Stumbrys, 4, dan Amirah Al-Imaan Stumbrys yang berusia 20 bulan sentiasa berada di dalam zon selamat di negara mereka mencari rezeki itu.

Masakan tidak, setakat artikel ini ditulis, Sweden merupakan negara ke-37 dunia yang mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 208,295 dengan 6,406 kematian.

ct safuraa

Menerusi wawancara secara maya, anak jati Besut, Terengganu yang berusia 36 tahun itu berkongsi cerita bagaimana senario rakyat Sweden berdepan virus berkenaan.

“Apa yang saya boleh katakan, komuniti sekeliling di sini agak tenang, namun sentiasa peka dengan tahap kesihatan diri. Kami banyak duduk di rumah.

“Perubahan musim biasanya menyebabkan kanak-kanak demam atau batuk. Jika anak-anak tak sihat, saya akan pastikan mereka berada di rumah sehingga sembuh,” katanya.

ct safuraa

Pendekatan Sweden dalam membendung wabak koronavirus adalah sama seperti di Malaysia, kata Siti Safuraa.

Selain melakukan sekatan rentas negara, pihak berkuasa turut mengesyorkan rakyatnya bekerja dari rumah, larangan perjumpaan secara besar-besaran dan mengamalkan penjarakkan fizikal.

Artikal berkaitan: Pengusaha bas sekolah kini jadi pemandu lori, terkesan akibat Covid-19

“Kami juga disarankan untuk mengelak menaiki kenderaan awam kerana bimbang wabak koronavirus dijangkiti dengan mudah,” ujar graduan Diploma Seni Kulinari yang turut membantu syarikat suaminya yang menguruskan hostel, hartanah, logistik dan pembinaan di Sweden.

Penerapan ilmu agama

Perbualan kami kemudian beralih ke satu topik lain. Penulis tanyakan bagaimana penghijrahannya dari Besut ke Sweden bermula?

ct safuraa

Jelas Siti Safuraa, sebelum menetap di negara Scandavania itu, suaminya, Paulius Stumbrys atau nama Islam, Asadullah menetap di Kanada.

“Selepas rezeki membuka perniagaan di Sweden dipermudahkan, kami berhijrah ke sini sehingga saya dikurniakan anak pertama dan kedua. Ahli keluarga saya yang lain masih ada di Terengganu, Sarawak, Kuala Lumpur dan Kelantan. Saya seorang diri di sini, namun alhamdulillah, suami yang juga warganegara Sweden banyak membantu,” katanya yang berkenalan dengan imamnya itu melalui kenalan terdekat.

Wanita cantik manis itu mengakui, menetap di bumi asing memberi banyak pengalaman baharu dan bermakna buatnya.

ct safuraa

Iklan

“Apa yang boleh saya simpulkan, saya sangat bersyukur kerana masyarakat setempat tidak pernah rasis, saling menghormati dan menjaga privasi,” tuturnya.

Bersembang dengan ibu muda ini secara maya pastinya tidak sah kalau tidak bertanya tentang kisah dua cahaya matanya yang menjadi sensasi menerusi media sosial. Anak sulungnya, Dhuhaa Sophea pernah dilabelkan netizen sebagai bayi paling cantik di dunia beberapa tahun lalu.

Artikal berkaitan: Cabaran jururawat kawalan infeksi, Noor Azreen pastikan frontliners lengkap sebelum berjuang   

Ditebak bagaimana beliau menerapkan ilmu agama dalam diri dua anaknya yang membesar di negara yang bukan mesra Islam, Siti Safuraa lantas berkata: “Sejak kecil lagi, dua anak saya sudah didedahkan dengan solat lima waktu dan mengaji al-Quran. Alhamdulillah, mereka dapat belajar dengan baik. Saya juga bertuah kerana dapat keluarga mertua yang baik dan memahami walaupun berlainan agama serta budaya.”

ct safuraa

Sejak menetap di negara itu sejak enam tahun lalu, sistem pendidikan di Sweden lebih komprehensif apabila kanak-kanak seawal usia setahun sudah memasuki prasekolah.

Iklan

“Ia tidak banyak beza dengan di negara kita, cuma cara mereka mendedahkan kanak-kanak dari peringkat awal dengan aktiviti luar yang lebih dominan berbanding masa di dalam kelas. Anak-anak pun seronok belajar.

ct safuraa

“Waktu sekolah anak-anak bermula jam 9 pagi hingga 3 petang. Pada hujung minggu, kami selalu habiskan masa bersama termasuk aktiviti luar, namun disebabkan ketika ini cuaca semakin sejuk, kami banyak buat aktiviti dalam rumah,” katanya yang turut mempraktikkan budaya menghormati jirannya yang bukan Muslim dan menonjolkan adab ketimuran yang menjadi jati dirinya sejak dahulu.

Sudah sekian lama nampaknya Siti Safuraa belum mempunyai rezeki pulang ke tanah air. SinarPlus mengusik dirinya, apakah yang paling dirindui beliau tentang tanah air sendiri?

“Saya teringin mahu menjamah masakan Malaysia dan lepak gerai makan. Di sini memang tiada gerai-gerai macam di Malaysia.  Untuk makanan halal, kena dapatkan stok di kedai Arab yang agak jauh,” katanya.

Sumber foto: Instagram @ctsafuraa_ dan Unsplash