SITKOM Cili Padi yang menampilkan empat pelakon kanak-kanak sebagai watak utama menjadi antara drama komedi paling hit 27 tahun lalu.

Selain watak Cikgu Jaafar yang sering penasaran dek ‘diganggu‘ gelagat Syafiq lakonan Nik Fariz, Maria (Melissa Saila), Lili (Anne Ngasri) dan Salim (Tam Suhaimi), rancangan itu mempunyai peminat tersendiri.

Apa yang mencuit hati, tagline Cikgu Jaafar ‘Tolonglah…‘ menjadikan anak jati Muar, Johor itu terus diingati. Beliau kemudian turut mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

Siapa sangka, hanya bermula daripada aktiviti memasak di kuarters yang didiami saudaranya, bakat terpendam Jaafar Onn atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang dihidu seorang penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1973.

jaafar onn
SITKOM drama Cili Padi antara rancangan yang menaikkan nama Jaafar Onn.

Rancangan masakan berjudul Dunia Wanita yang disertai Jaafar Onn sedikit sebanyak membuka peluang baharu buatnya. Sempat juga beliau aktif dengan kumpulan tarian, Maya Studio yang cukup popular ketika itu.

Mengimbau liku kehidupannya sebelum bergelar artis, anak bongsu daripada tiga beradik itu rupa-rupanya menyimpan kenangan tidak dapat dilupakan seumur hidupnya.

“Hasrat untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur memang dibantah ibu bapa. Tapi saya nekad pecah tabung dan bawa diri dengan duit cuma RM18 saja masa itu.

“Saya naik bas dari Muar hingga sampai ke ibu kota dan tumpang kuarters saudara sementara dapat kerja. Disebabkan saya pandai masak, saya ikut program masak-masak di kuarters dan sampailah keluar televisyen (TV).

jaafar onn
AKTIF menerima jemputan nyanyian dan pengacaraan program masakan sebelum ini.

Rindu berlakon

“Masa itu, dapat peluang masuk rakaman RTM memang seronok. Bukan senang nak masuk TV, berkat belajar masak dengan mak, dapatlah kongsi pengalaman,“ katanya ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.

Sekarang, selain aktif menjadi tetamu jemputan untuk program masakan, bekas murid Sekolah Rendah Abdullah Sungai Mati, Muar itu turut menjadi jurucakap dan duta produk makanan serta kesihatan.

Mengulas lanjut mengenai hasrat untuk kembali ke set penggambaran, Jaafar Onn yang mesra dengan panggilan ‘Papa‘ itu berkata, bakat dan rindunya terhadap bidang lakonan tidak pernah pudar.

“Akhir sekali, saya bawa watak utama dalam drama cetusan idea sendiri iaitu Rendang Krispe.

Iklan

“Minat berlakon itu ada, kalau ada rezeki penerbit drama panggil, saya akan kembali. Untuk meminta-minta watak nak berlakon memang tidaklah,“ kongsinya yang ‘turun‘ 10 kilogram berat badan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak betah duduk diam, bekas pelajar Sekolah Lanjutan St. Andrew Jalan Saleh, Muar itu suka berkongsi resipi juadah sahur dan berbuka sempena Ramadan dalam rancangan radio tempatan selain memberi sumbangan makanan tidak kira kaum.

jaafar onn
KEK pandan gula melaka yang dijual dengan harga kasih sayang sempena Ramadan.

Tidak tertumpu kepada anggota polis dan petugas pejabat pos, beliau juga gemar memberi sumbangan makanan kepada pengawal keselamatan.

“Saya pernah rasa pahit manis hidup sebelum bergelar artis dan percaya berkat bersedekah dalam hidup. Sudah menjadi prinsip hidup, kena ikhlas dan bersedekah walaupun secawan kopi.

Iklan

“Kalau sebelum PKP memang selalu lepak dengan kawan makan di kedai, bila nampak budak-budak, saya akan belanja mereka makan,“ ujarnya yang sentiasa bertutur dengan merendah diri.

Pengacara yang pernah menggemparkan media tempatan apabila mendakwa menerima lebih 1,000 lamaran wanita itu tidak menolak wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatan golongan artis.

“Namun, kita hendaklah selalu beristighfar dan selawat atas Nabi Muhammad SAW setiap hari. Jangan lupa solat dan berdoa moga-moga wabak ini cepat hilang dan keadaan kembali normal.

“Pada usia mencecah 69 tahun ini, saya tidak mengharapkan apa-apa. Jika ada rezeki berlakon lagi syukur alhamdulillah. Saya percaya rezeki yang ALLAH tentukan tidak pernah salah alamat,“ bicaranya penuh positif.