SIAPA tidak mengenali hos Detik 12 Malam yang seorang ini. Beberapa tahun lalu, Saiful Azmi Jamsari cukup sinonim dengan rancangan televisyen itu sehingga mencapai lebih sejuta tontonan.

Terserempak dengan bayangan mistik di depan mata ketika penggambaran sebuah program televisyen adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pemuda ini sampai bila-bila.

Bagi bekas wartawan rancangan hiburan itu, peristiwa misteri bagaikan sudah sebati sebaik sahaja menjadi hos rancangan 30 minit itu sejak tahun 2013 lagi.

“Pengalaman paling tak dapat dilupakan adalah ketika musim keempat apabila saya berdepan dengan satu bayangan di depan mata. Masa itu saya memang takut dan dah terfikir nak lari.

orang kita
SAIFUL AZMI ketika menjadi hos Detik 12 Malam musim pertama.

“Tapi bila mengenangkan komen pembaca sebelum ini yang sering mengatakan kenapa saya harus lari, membuatkan saya agak berani ketika itu. Entah macam mana saya boleh pegang bayangan itu dan dapat rasa bentuknya seperti kepala manusia,” ceritanya.

Kisah itu tidak terhenti begitu sahaja. Anak jati Kuala Lumpur berkenaan sempat menarik segumpal rambut daripada bayangan itu sebelum berlari keluar dari stor misteri yang menjadi lokasi penggambaran tersebut.

“Masa itu memang dah kecoh dan suasana kelam-kabut. Bila saya berjaya keluar dari stor itu, saya terus tunjukkan gumpalan rambut kepada kru yang masih panik.

“Tapi tak lama kemudian rambut itu ghaib dengan sendirinya. Memang seram sejuk dibuatnya. Peristiwa itu saya rasakan paling misteri setakat ini,” katanya yang kini hanya bekerja secara sambilan dalam dunia penyiaran.

Meskipun sudah tidak bersama dengan rangkaian televisyen terbabit, namun menurutnya, program seumpama itu mungkin akan disambung.

orang kita
SAIFUL AZMI menjalankan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah pelanggan di sekitar Lembah Klang sepanjang PKP.

“Jadi atau tidak, saya masih menunggu memandangkan sekarang negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujarnya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Bercakap mengenai perkembangan sepanjang PKPB, kini anak kedua daripada lima beradik itu aktif menjalankan aktiviti penternakan dan pertanian di Beranang dan Ampang, Selangor untuk jualan dan makan sendiri.

Artikel berkaitan: Bossku buat comeback, jadi model baju Melayu

“Sebenarnya, saya sudah aktif dalam bidang ini sejak 2000 lagi. Cuma masa itu tak nampak sangat sebab sibuk dengan program penyiaran selain menjadi pegawai perhubungan awam untuk syarikat rakaman.

Iklan

“Sekarang nampak agak menonjol apabila saya post dalam Facebook dan jual secara penghantaran terus ke rumah-rumah disebabkan kekangan PKP sebelum ini,” tuturnya.

orang kita
STOK ayam kampung kini menunggu musim kedua untuk jualan kepada pelanggannya.

Pemilik syarikat Saudagar Seni itu sebenarnya sudah dididik sejak kecil dengan dunia pertanian dan penternakan. Bapanya rajin menghabiskan masa menanam sayuran selain membela arnab untuk kegunaan sekeluarga.

“Dari situlah saya mula minat sehingga buka kandang bela lembu, kambing, lebah madu dan kelulut.

“Pada masa sama pun ada tanam cili, cendawan dan lain-lain. Semua itu saya belajar sendiri dan ambil kursus kerana mahu serius dalam bidang ini,” kongsinya yang mula menjalankan aktiviti komersial sejak 2005.

Iklan

Meskipun hanya promosi melalui media sosial dan perkongsian kawan-kawan, namun sambutan jualan daging, bongkah cendawan dan madunya cukup memberangsangkan.

Bongkah cendawan diusahakannya paling dapat sambutan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan ramai yang tidak keluar rumah.

orang kita
ARNAB antara ternakan yang dijalankan di kawasan rumahnya turut mendapat sambutan.

“Aktiviti bertanam di rumah juga menjadi terapi dan mengisi masa lapang. Agak menyeronokkan apabila tanaman cendawan menjadi bagi yang belum pernah bercucuk tanam.

“Untuk stok raya nanti, saya ada tiga lagi lembu untuk disembelih dan dijual kepada orang ramai. Nantikan post mengenai jualan terus ke rumah-rumah di kawasan Lembah Klang,” ungkap bekas pelajar Sekolah Vokasional Sungai Buloh itu.