BELUKAR, lorong gelap dan rumah terbiar sering menjadi port penagih dadah. Tidak kurang juga menjadi tempat-tempat seperti itu sebagai lokasi melampiaskan nafsu serakah.

Tanpa sikap prihatin pihak berkuasa, pemimpin dan masyarakat setempat, lokasi seumpama itu boleh mengundang ancaman jika tiada tindakan pembanterasan.

Seperti yang berlaku di sebuah hutan di Kampung Gombak Utara, Selangor, ia telah menjadi ‘zon panas’ kerana menjadi tumpuan ‘mat pit’ menagih.

Lorong tikus yang ditemui membawa kepada port penagihan yang lengkap dengan port lepak. Tidak kurang juga, sisa jarum, sampah dan sebagainya ditemui di kawasan yang agak tersembungi daripada pandangan orang ramai.

kes dadah

Lebih memeranjatkan, port rahsia berhampiran jalan menghala ke sebuah institusi pendidikan terkemuka itu juga menjadi tempat pembuangan barang ragut. Masya-ALLAH.

Penghulu Mukim Setapak, Mohd Fazli Abdul Latif yang berkongsi tentang ‘penemuan’ itu berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan agensi kerajaan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk bersama membendung aktiviti tidak sihat berkenaan.

kes dadah

“Sebagai penghulu mukim, saya terpanggil untuk membantu kerana tidak mahu kawasan hutan dijadikan port tidak sihat oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Ops pembersihan dan musnah kawasan penagihan dadah ini salah satu peranan kami bersama komuniti setempat menangani masalah gejala sosial,” kongsinya kepada SinarPlus.

SinarPlus difahamkan, port panas itu dikesan hasil aduan orang ramai.

Iklan

kes dadah

Tidak mahu mukim Setapak berdepan peningkatan masalah sosial seperti dadah dan jenayah, Mohd Fazli turut mengaktifkan kumpulan Community Empowerment bagi memperkasakan usaha pembasmian penagihan dadah.

Tambahnya, pihaknya bersama AADK mahu melaksanakan pencegahan dadah di peringkat komuniti bagi tujuan pembersihan dan pemusnahan sarang penagih yang dikenal pasti.

kes dadah

Iklan

“Sebagai usaha berterusan, pihak kami akan memimpin gabungan gerak kerja turun padang menyantuni akar umbi khususnya golongan belia berisiko dan pada masa sama, meninjau permasalahan dan keadaan tempat tinggal mereka.

“Besar harapan saya supaya usaha ini dapat digerakkan dalam kalangan komuniti lain kerana sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membanteras isu sosial di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Apa peranan kita? Salurkan maklumat dan info berkaitan kepada pihak berwajib demi bersama membanteras isu dadah.