ANAK-ANAK selalu teringin nak makan ayam goreng KFC, namun tak cukup duit. (Duit) yang dalam tangan hanya cukup-cukup sahaja. Ada ketikanya, disebabkan kesempitan, kami hanya makan nasi kosong berlaukkan budu dan mungkin menjadi menu sahur dan berbuka puasa juga.”

Demikian luahan pilu seorang suri rumah, Intan Maszura Nordin yang hidup dalam kemiskinan bersama suami dan empat zuriatnya.

Namun, yang membuatkan SinarPlus sayu sebaik mengetahui anak bongsunya, Muhammad Hairie Haikal Mohd Azizi, 13, atau Hairie mengalami kecacatan akibat Cerebral palsy dan tidak mampu berjalan sejak dilahirkan.

anak oku Hairie

Sementara anaknya yang ketiganya, Nurrul Aleaya Aqiela, 14, atau mesra dipanggil Yaya pula disahkan penghidap autisme.

Dua lagi cahaya matanya Nurrul Aqirah Mohd Azizi, 18, dan Muhammad Haris Haikal Mohd Azizi, 16, dilahirkan normal.

Kehidupan keluarga itu semakin mencabar selepas suaminya, Mohd Azizi Zakaria, 40, yang bergantung kepada upah mengendalikan jentera berat tidak dapat bekerja seperti biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

”Memang benar, kadang-kadang saya rasa tertekan. Sebelum PKP pun susah, apatah lagi masa PKP. Suami seorang sahaja yang bekerja, sekarang ini pun kerja tak menentu dan kadang-kadang tiada kerja langsung.

anak oku Hairie

”Bagi saya, tak kisahlah kami suami isteri yang terpaksa ikat perut, namun bukan anak-anak. Fikiran saya runsing lebih-lebih memikirkan bagaimana untuk membiayai kos rawatan Hairie,” ceritanya yang menghuni rumah sewa di Taman Sentosa, Gemas, Negeri Sembilan.

Perlu bantuan

Bercerita mengenai dua anak istimewanya, membuatkan wanita berusia 39 tahun itu tidak dapat menahan sebak.

Imbasnya, beliau pada awalnya tidak sedar mengandungkan Hairie kerana ketika itu Yaya masih kecil lagi.

”Sepanjang tempoh hamil, saya tidak mengalami masalah, cuma Hairie lahir tidak cukup bulan sebab tumpah darah.

”Ketika usia Hairie empat bulan, saya hairan dengan perkembangannya tidak seperti anak lain. Sebaik jumpa pakar, pada saat itulah, saya baru tahu Hairie ada masalah saraf,” ujarnya.

Setakat artikel ini ditulis, si cilik itu sudah berdepan dengan dua pembedahan bagi memperbetulkan keadaan kakinya yang bersilang, kejang dan tidak boleh diluruskan.

anak oku Hairie

Iklan

”Pembedahan pada celah kangkang dibuat di hospital kerajaan pada tahun 2017 lalu dan alhamdulillah, masalah kaki bersilang tidak berlaku lagi. Kini, Hairie perlu menjalani rawatan fisioterapi selain bergantung ubat pam dan sawan setiap tiga bulan,” katanya kepada SinarPlus.

Selain Hairie, Yaya juga memerlukan perhatian serius daripada ibu dan ayahnya.

”Sebenarnya selepas Yaya dilahirkan, dia dikatakan tidak mampu hidup lama kerana berdepan komplikasi pada paru-paru dan sukar bernafas, namun kuasa ALLAH, tiada siapapun mampu menyangkalnya.

”Kemudian, ketika di prasekolah, cikgu mengadu yang Yaya suka bermain, berada dalam dunianya sendiri dan tak mahu buat kerja sekolah. Apabila dirujuk pakar, rupa-rupanya Yaya disahkan autisme.

”Saya dan suami memang terperanjat. Bukan mudah sebenarnya dan ditambah dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil,” ujar anak kelahiran Pahang itu.

anak oku Hairie

Iklan

Menurut Intan Maszura, beliau tidak segan untuk memberitahu bahawa familinya sangat memerlukan bantuan daripada orang ramai lebih-lebih lagi mereka pernah berdepan dengan tunggakan bayaran sewa rumah.

Ujarnya, duit bantuan bulanan yang diterima digunakan untuk membeli keperluan makanan, ubat-ubatan anak, kos ulang alik ke hospital setiap tiga bulan untuk Hairie.

”Duit yang ada kadang-kadang cukup-cukup untuk beli telur buat anak-anak makan. Nasib baiklah mereka jenis memahami dan boleh makan dengan budu.

“Kasihan mereka teringin nak makan sedap-sedap, saya tak mampu tunaikannya. Kalau tanya bagaimana keadaan bulan puasa nanti, mungkin ia tetap sama. Saya juga rasa gementar bila fikir soal baju raya anak-anak.”

Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut, bolehlah salurkan dana terus ke akaun Maybank 155078501263 atas nama Intan Maszura Nordin.