NASI beriani kambing, kuah dal dan ayam varuval adalah antara menu yang dijanjikan akan dimasak oleh pasangan YouTuber ‘Sugu Pavithra’ jika Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke rumah mereka.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan dalam satu sesi temu bual, S. Pavithra berkata, menu itu dipilih kerana nasi beriani merupakan antara sajian istimewa lebih-lebih lagi jika dimasak bersama kambing khas untuk tetamu istimewa.

Wanita berusia 28 itu berkata, ayam varuval adalah antara masakan popular masyarakat India dan ia merupakan ayam yang digoreng garing sebelum dimasak dengan bahan-bahan tertentu untuk kuah kering.

“Jika Perdana Menteri datang ke rumah saya, itulah yang saya akan masak walaupun agak mudah dan ringkas, tetapi rasanya sangat lazat,” katanya.

Suami Pavithra, M. Sugu pula berkata, mereka sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri akan menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di seluruh negara petang semalam.

“Kenapa kami, memang tidak percaya kerana kami hanya orang biasa sahaja?” soal Pavithra yang seolah-olah tidak percaya namanya dan suami akan kedengaran di kaca televisyen dan corong radio semalam.

Menghargai keprihatinan Perdana Menteri kepada mereka, Pavithra berkata, mereka akan meningkatkan usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan, seterusnya memperbaiki kehidupan.

“Kalau ada kemampuan, kami nak buka kedai makan seperti mana saranan Perdana Menteri,” kata ibu kepada dua anak itu.

Muhyiddin, semasa mengumumkan PENJANA berkata, beliau mendoakan agar Sugu dan Pavithra dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan satu hari nanti.

“Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka,” kata Muhyiddin, yang telah memberikan beberapa hadiah kepada suami isteri itu termasuk tripod pada bulan lalu.

Terdahulu, kisah Pavithra dan suaminya tular apabila beliau dilihat berjaya menambat hari rakyat pelbagai kaum kerana memuat naik video masakan dalam bahasa Melayu walaupun mereka berbangsa India.

Ingin tahu cara masakan ayam varuval? Jom SinarPlus kongsikan

Bahan-bahan :

1 ekor ayam (potong kecil & dibersihkan)

Serbuk kunyit

Rempah kari Babas

Garam

1 inci halia (ditumbuk halus)

5 ulas bawang putih (ditumbuk halus)

-gaul rata semua bahan di atas, perap 1 jam dan kemudian digoreng garing. Ketepikan.

Bahan A (goreng sekejap)

4 sudu sedikit jintan manis

10 tangkai cili kering (di potong tiga)

Iklan

5 tangkai daun kari

1 labu bawang putih dihiris

Minyak secukupnya

-panaskan minyak, goreng jintan manis sekejap, angkat.

-dengan minyak yang sama, goreng pula cili kering, bawang putih hiris dan daun kari hingga wangi. Angkat dan ketepikan.

Bahan B (untuk tumis)

2 atau 3 biji bawang besar dihiris

Iklan

2 biji tomato dipotong 8 (kalau besar guna 1 biji)

1/2 inci halia ditumbuk halus

2 ulas bawang putih ditumbuk halus

2 sudu serbuk cili Babas Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan :

  1. Panaskan minyak, tumiskan bawang besar, halia dan bawang putih yang tumbuk halus dan buah tomato hingga layu.
  2. Masukkan cili serbuk (pesan dari tuan punya resepi asal supaya jangan letak air kerana ada air dari bawang). Tambahkan garam serta gula secukup rasa. Masak hingga garing dan pecah minyak.
  3. Masukkan bahan A iaitu bahan yang kita goreng sekejap tadi. Masukkan ayam dan kacau rata hingga sebati. Boleh ditabur daun pudina atau daun ketumbar. Ayam varuval rasanya seimbang pedas, manis dan masam.

Sedia untung dihidang. Selamat mencuba!