SANGGUP berpanas dan berhujan demi mencari rezeki halal.

Itu yang dilakukan oleh tiga beradik yang bersungguh-sungguh mahu membantu ibunya yang hilang punca pendapatan gara-gara penangan Covid-19.

Menurut salah seorang anak wanita itu, Noor Adila Zuhaimi, 16, wabak virus korona yang bermaharajalela hampir setahun lamanya telah membuatkan ibunya tidak dapat berniaga di kantin sekolah sejak Mac tahun lalu.

Melihat situasi itu, tanpa berfikir panjang, beliau mengambil inisiatif sendiri bersama dua kakaknya iaitu Noor Arysha, 21, dan Noor Adriana, 20, berniaga sushi di tepi jalan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor sejak awal Januari lalu.

sushi

“Sebenarnya, sebelum mula berniaga, kami ada bincang nak tambah duit poket, pada masa sama nak bantu mama yang tidak dapat berjualan di kantin sekolah.

“Dua kakak pun terjejas akibat Covid-19 dan pendapatannya tak macam dulu. Jadi, kami pakat sama-sama nak berniaga sushi memandangkan makanan ini kegemaran kami,” ceritanya ketika dihubungi SinarPlus sebentar tadi.

CABARAN

Sanggup berulang-alik dari kawasan penempatan rumah di Cheras ke Bandar Baru Bangi setiap hari, tiga beradik itu rela bersusah payah demi membuka rezeki keluarga.

“Mula-mula berniaga itu, memang sushi tak banyak habis, tetapi selepas belajar buat iklan di Facebook dan Instagram, barulah kami dapat tempahan.

sushi

“Sambil-sambil tunggu pelanggan, saya tak akan lupa sertai kelas dalam talian. Itu janji saya dengan mama, sesibuk manapun berniaga, belajar tetap belajar,” katanya yang menjadi ejen Sushi Ninja.

Harga jualan sushi bermula RM1 hingga RM2.50. Terdapat lebih 500 sushi pelbagai perisa dijual bermula jam 11 pagi sehingga habis.

Ada ketikanya, ujar gadis muda itu, jualan boleh habis dalam sejam sahaja. Semua bergantung pada rezeki.

INTAI ANAK

Sementara itu, ibunya, Yusnita Mohd Halip, 45, ketika dihubungi SinarPlus turut berkongsi cerita.

Ujar beliau, pada mulanya dirinya susah hati melihat tiga anak perempuannya berniaga di tempat asing.

sushi

Iklan

“Sebelum ini, mereka tidak pernah hidup susah ketika bapanya masih hidup, hati ini sebenarnya berat nak lepaskan mereka kerana masing-masing perempuan.

“Namun, saya kuatkan hati dan intai mereka dari jauh. Ada ketika itu, saya intai dari celah pokok, tetapi anak nampak dan mereka call suruh saya balik,” ceritanya sambil tertawa.

Ceritanya lagi, ketika mula berniaga, anaknya pernah disindir pelanggan disebabkan terkial-kial mengingati nama sushi dijual.

“Ya lah, mula-mula buka gerai anak-anak pun tak hafal sangat nama sushi dan kalau lambat, pelanggan akan marah.

sushi

Iklan

“Cuma satu saya pesan dekat anak-anak, tunduk, senyum dan ucapkan maaf kepada pelanggan. Jangan pernah putus asa layan karenah pelanggan yang pelbagai jika mahu lama dalam bidang jualan,” katanya.

Apa yang SinarPlus boleh katakan, didikan ibu tunggal kepada anak-anaknya memang boleh dicontohi.

Meskipun kehilangan suami tersayang, namun mereka sekeluarga tetap meneruskan kehidupan dengan baik.

Prinsip yang dipegang wanita itu diterapkan kepada anak-anaknya memang mencetuskan inspirasi. Walau zuriatnya kesemua masih muda, tetapi sudah pandai cari duit poket sendiri.

Bagi mereka yang juga peminat sushi, bolehlah usha ke gerai tiga beradik ini sebagai tanda sokongan. Datang awal ya takut kehabisan stok.

Untuk tempahan, bolehlah jenguk Facebook Noor Arysha dan Instagram @ninjasushi.bbb ya!