JIKA wanita lain sibuk menyiapkan stok kuih raya sebagai juadah pagi Syawal, namun bagi Wee Nur Ailin Farissa Mohammad Nawi Cheng, semua itu terpaksa dilupakan buat seketika.

Matlamatnya hanya satu. Biskut coklat cip yang disiapkan berbotol-botol tanpa mengira siang dan malam itu demi mengumpul dana kos pembedahan transplant yang dianggarkan berjumlah RM10,000.

Ya! Wanita kacukan Cina berusia 24 tahun itu sebenarnya sedang bertarung nyawa selepas disahkan menghidap kanser darah, limfoma tahap empat pada awal Januari setahun lalu.

pesakit limfoma jual biskut

Menyingkap kisah ibu kepada seorang cahaya mata itu agak mudah apabila Wee Nur Ailin Farissa atau mesra disapa Ailin tidak keberatan untuk bercerita mengenai dugaan hidupnya kepada SinarPlus.

Ketika dihubungi baru-baru ini, suara bekas kerani kaunter tiket ini ceria menyambut salam penulis dan sekali dengar, mungkin tidak percaya bahawa wanita itu sudah menjalani rawatan kemoterapi.

“Alhamdulillah, Ramadan kali ini saya bersyukur sangat dapat berpuasa. Jika dibandingkan tahun lepas, memang saya tidak berdaya kerana badan lemah, malahan mahu bangun berjalan pun kena orang bantu.

pesakit limfoma jual biskut

“Habis semua rambut gugur dan saya bukannya saya yang dulu. Anak selalu tegur, kenapa umi tiada rambut, tak cantiklah tak ada rambut. Saya hanya mampu tersenyum,” katanya menahan perasaan sebak.

Ujar suri hati kepada Mohamad Amir Aizad Mohd Zin, 24, itu, meskipun badan lemah akibat sisa rawatan kemoterapi, namun dirinya tetap optimis untuk mencuba pembedahan transplant.

Iklan

“Doktor kata, prosedur itu menjadi opsyen terakhir buat saya untuk kembali sihat seperti dulu. Buntu sebenarnya mahu cari duit untuk membiayai kos, namun saya percaya dengan rezeki ALLAH.

pesakit limfoma jual biskut

“Insya-ALLAH, jualan biskut raya ini dapat membantu saya untuk mencukupkan kos pembedahan yang sepatutnya dijalankan esok, namun ditangguh kerana duit masih belum cukup,” kata Ailin yang berjaya mengumpulkan RM3,000 setakat ini.

Iklan

Bukan sahaja biskut raya yang dibuat sendiri menjadi sumber pendapatan selain sokongan suami dan keluarga tercinta, anak kelahiran Kelantan itu juga ligat menjual beg secara dalam talian menerusi TikTok, Facebook dan Instagram.

pesakit limfoma jual biskut

Kepada orang ramai yang ingin membantu dengan membeli produk biskut yang dijual, boleh terus menyumbang dana ke akaun Bank Islam 14032021639372 atas nama Wee Nurailin Farissa.