BAYANGKAN kita tiba-tiba terjumpa sebungkus plastik penuh dengan duit, apa yang akan kita lakukan? Bawa balik atau pulangkan semula kepada pemilik?

Pasti pada ketika itu, hati kita akan berbolak-balik, bukan?

Ini ada satu kisah yang dikongsikan seorang pemuda, Zainuddin Azman Jamhari yang merupakan pemilik akaun Facebook, Karya Azman dan ceritanya yang dimuat naik dalam media sosial itu merupakan pengalamannya sendiri.

Menurut Zainuddin Azman,  ketika merentas peristiwa berkenaan iaitu ketika beliau menemui sebungkus plastik berisi wang itu, dirinya mengambil keputusan untuk menunggu dalam keadaan hujan di tepi jalan.

Ia demi memastikan wang yang ditemuinya dapat dipulangkan dengan selamat kepada pemilik sebenarnya yang mungkin keciciran duit berkenaan.

Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, peristiwa mendebarkan tersebut semuanya bermula ketika beliau selesai mengisi minyak motor di sebuah stesen minyak.

jumpa duit

Tanpa disangka, beliau secara spontan tertoleh  sejumlah wang yang banyak yang diikat dalam satu plastik di tepi jalan.

“Hal ini membuatkan saya tertanya-tanya milik siapakah wang itu? ,” tulisnya dalam Facebooknya.

Beliau memberitahu, kejadian itu bukan yang pertama beliau lalui sebenarnya.

Ini kerana sebelum ini, ‘ujian’ (jumpa wang) sama berlaku apabila beliau menemui wang di hadapan sebuah bank.

“Ya ALLAH..duit siapa yang jatuh ni, banyak ni, satu plastik penuh duit RM100 dengan RM50. Ni bukan kali pertama jumpa duit beribu…masa aku tengah buat rumah sendiri dulu pun, pernah ujian macam ni aku dapat, jumpa depan bank.

“Alhamdulillah, hal itu pun selesai, lepas jumpa tuannya…kali ni, aku jumpa tepi jalan, ngam pulak lepas orang habis azan Zohor.. aku pula baru lepas isi minyak motor, sebab nak masuk ladang belah petangnya,” kongsinya.

Meneruskan penceritaannya, selepas menunggu setengah jam dalam keadaan basah, beliau kemudian didatangi sebuah keluarga yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang sedang tercari-cari sesuatu di tepi jalan.

jumpa duit

“Nampak ada dua orang remaja berjalan tepi jalan mencari sesuatu, kemudiannya seorang wanita pun keluar, juga buat perkara yang sama sampailah pemandu kenderaan tersebut keluar dan memeriksa sesuatu di tepi jalan.

“Sempat lagi aku tanya pakcik cari apa? Mungkin berat hati nak beri tahu perkara sebenar tetapi sedih juga bila dengar pakcik itu cakap, kalau ada rezeki, adalah. Kalau tiada, nak kata apa lagi, bukan rezeki agaknya,” tulisnya lagi.

Pemuda berusia 38 tahun itu bertanyakan lagi adakah barang yang hilang itu duit?

Iklan

Tanpa berselindung, katanya, pakcik tersebut mengakui duitnya yang disimpan di dalam poket tercicir ketika membetulkan viper yang tersangkut. Betul-betul di tempat pemuda itu berhenti.

Artikal berkaitan: Semangat juang Dr Ruzimi ini wajar dicontohi, tiada kaki dan tangan kiri tidak halang cipta aplikasi khas OKU

Selepas berpuas hati dengan ‘soal siasat’  yang diberikan demi memastikan pak cik itu merupakan pemilik sebenar, lelaki budiman itu berterus-terang bahawa duit yang tercicir itu ada di dalam raga motosikalnya.

Terkejut mengetahui wangnya selamat, pakcik tersebut terus memeluknya dan tidak putus-putus mengucapkan syukur.

Bukan itu sahaja, lelaki itu mahu menghadiahkan sejumlah wang kepada Zainuddin Azman, namun ditolak dengan baik.

“Masa nak gerak, isteri pakcik itu tahan motosikal dan pujuk ambillah hadiah itu. Niat tak mahu ambil sebab memikirkan hilang pahala nanti, rasa pertolongan berbayar pula, tetapi selepas didesak, aku ambil beberapa keping saja sebagai tanda tidak menolak pemberian orang.

Iklan

“Lepas aku ambil, aku terus singgah kedai kawan aku beli ayam golek seekor, bagi makan anak bini aku. Pada aku, inilah rezeki aku yang sebenarnya. Itulah rezeki aturan Allah yang sebenarnya, bukan duit satu beg plastik yang aku jumpa,” kongsinya kepada SinarPlus.

jumpa duit

Zainuddin Azman mengakui, memang tidak dapat dinafikan, banyak benda boleh dilakukannya jika mengambil wang yang ditemui itu termasuk boleh membeli mozek dan siling rumah baharu ataupun dijadikan modal untuk membeli motosikal baharu.

“Memang kuat hasutan syaitan tetapi mujurlah hati ini aku sudah ajar, jangan ambik hak bukan milik kita..biar miskin macam manapun, jangan sesekali ambik hak bukan kita punya.

“Syukur pada Allah, ujian-ujian yang selama ni hadir satu persatu aku dapat hadapi dengan tabah walaupun bukan yang terbaik tetapi aku tetap berusaha sebaik mungkin,” tulis pemuda itu lagi.

Alhamdulillah, masih wujud orang yang berhati mulia dan jujur. Bersangka baiklah dengan orang yang ingin membantu kerana ALLAH. SinarPlus mendoakan Zainuddin Azman diberikan rezeki melimpah-ruah dan kesihatan yang baik.