PERJALANAN hidup adik Mifthahul Cyra Nur Khairul Nizam penuh liku. Bukan sahaja beliau, malah ibu dan bapanya turut mengharungi detik-detik mencabar menjaga si cilik yang berusia lima tahun itu.

Menurut ibunya, Elmei Salleh, 34, cahaya matanya, Mifthahul Cyra Nur atau mesra disapa Cyra menderita penyakit jarang dijumpai iaitu sindrom Moyamoya sejak tahun tahun lalu.

Penyakit itu antara lain mendedahkan Cyra mudah terkena serangan strok ekoran saluran darah yang membekalkan darah dan oksigen ke otaknya menjadi sempit. Keadaan itu menyebabkan diri si cilik tersebut sering lemah dan tidak berdaya.

moyamoya

Sekiranya kanak-kanak lain seusianya girang bermain sehingga peluh membasahi dahi, namun ia tidak pernah dilalui olehnya.

Kata ibunya, Elmei Salleh, 34, selain terdedah kepada strok, kepala anaknya sentiasa rasa nyeri dan berdenyut-denyut, selain tidak mampu mengangkat tangannya sejak November 2019.

“Bayangkan dalam tempoh itu, Cyra sudah diserang strok lebih 20 kali. Paling teruk, (serangan strok) berlaku ketika kami berada di tandas di hentian rehat dan rawat. Secara kebetulan, insiden itu berlaku semasa kami dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pembedahan

Menceritakan kembali bagaimana si kecil itu mendapat sindrom Moyamoya, Elmei berkata, semuanya bermula apabila beliau membawa anaknya melakukan pemeriksaan darah.

moyamoya

Pun demikian, pihak klinik memaklumkan, tiada perkara yang perlu dirisaukan tentang anak itu.

“Namun, peliknya keadaan Cyra bertambah teruk apabila kerap mengadu sakit kepala selain muntah-muntah tanpa henti selama tiga hari. Ketika itulah, kami membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Langkawi pada 21 Mei lalu.

“Apabila doktor melakukan pemeriksaan imbasan CT (Computed Tomography), barulah kami tahu penyakit yang ditanggung Cyra, masa itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami mengenangkan nasib Cyra.

moyamoya

“Selepas hari raya lalu, Cyra menjalani proses MRI (Magnetic Resonance Imaging) di Hospital Kangar, Perlis untuk pengesahan sekali lagi, tetapi keputusannya tetap sama iaitu beliau menghidap penyakit Moyamoya,” ceritanya dengan nada sayu.

Tidak mahu Cyra terus menanggung risiko yang lebih teruk, Elmei dan suaminya, Khairul Nizam Abdullah, 44,  akur dengan saranan doktor supaya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk prosedur angiogram pada Jun lalu.

moyamoya

“Hasil ujian yang dijalankan menunjukkan saluran darah pada bahagian kiri dan kanan kepalanya sempit dan perlu dibedah secara Encephalo Duro Arterio Synangiosis (EDAS). Cyra selamat dibedah (pada bahagian kanan kepala) pada 22 Oktober lalu.

“Alhamdulillah keadaan Cyra positif dan tidaklah kerap diserang strok seperti dulu. Kami pun sedang menunggu untuk pemeriksaan buat pembedahan kedua pada kiri kepala yang dijadualkan pada Februari depan,” katanya.

Iklan

Dana

Menyentuh soal dana, Elmei terdiam seketika. Jujur katanya, hampir kesemua duit simpanan ditambah dengan wang sumbangan kariah masjid digunakan untuk membiayai kos pembedahan.

moyamoya

“Saya bekerja sebagai kerani di sebuah pasaraya dan suami pun hilang kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan lalu selepas hotel ditutup gara-gara wabak Covid-19. Sekarang ini sedang cari kerja sambilan sementara waktu,” katanya berterus-terangnya.

Elmei memberitahu, kos pembedahan Cyra mencecah RM5,000 dan itu tidak termasuk perbelanjaan dari Langkawi ke Kuala Lumpur.

Sebagai langkah alternatif, ibu kepada dua cahaya mata itu turut memohon sumbangan melalui saluran MyHeart.

Iklan

Namun, besar harapanya agar orang ramai dapat membantu meringankan beban yang ditanggung supaya prosedur pembedahan kedua dapat dijalankan seperti dijadualkan.

moyamoya

“Kami bukannya jenis yang meminta-minta, namun untuk mengumpulkan dana dalam tempoh dua bulan ini bukannya mudah. Cuma kami kena kuat untuk Cyra supaya dia bersemangat lawan penyakitnya yang tidak mungkin akan hilang buat selama-lamanya.

“Cyra seorang anak yang bijak, aktif dan pandai berdikari. Sudah menjadi impian saya untuk melihat Cyra seperti kanak-kanak lain hidup bahagia dan sihat. Hanya pembedahan ini cara terakhir untuk mencegah keadaaannya menjadi lebih teruk,” ungkapnya penuh sebak.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga ini, boleh salurkan dana kewangan ke akaun Maybank 152077401133 atas nama Elmei Binti Salleh.