MASIH ingat lagi pelantun lagu Dingin dendangan Alina Hassan? Bekas juara program realiti ‘Sinaran Pasport Kegemilangan’ 1996 itu kini mencari rezeki sebagai runner demi sesuap nasi.

Terputus punca pendapatan gara-gara wabak Covid-19 berikutan tawaran menyanyi terpaksa dibatalkan namun peserta Kilauan Emas musim ketiga tersebut tidak patah semangat.

Kegigihan meneruskan hidup dengan mengambil upah menghantar makanan dan barangan di kawasan terdekat sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) mendapat perhatian rakan artis prihatin.

Sebak ketika menerima sumbangan tersebut, Alina yang masih aktif membuat kerja sambilan sepanjang PKP itu tidak dapat menahan perasan sedih dan menitiskan air mata.

“Tolong doakan saya sihat supaya dapat terus bekerja dan insya-ALLAH jika ada rezeki, saya akan terus menyanyi.

“Jangan lupakan saya. Tolong duduk di rumah dan dengar arahan sepanjang PKP ini dan kalau boleh, jangan keluar rumah,” nasihatnya yang sempat dititipkan kepada orang ramai.

Simpati dengan nasib Alina Hassan, pasukan IFARAZIAHDIVAS tampil menghulurkan bantuan keperluan harian bagi meringankan beban.

Seperti misi sebelum ini, pemilik Anugerah Artis Versatil Popular 2017 itu berkongsi rezeki menyumbangkan sumbangan makanan kepada rakan artis memerlukan.

Iklan
bantuan
PROGRAM Tautan Kasih Sumbangan Amal yang dilaksanakan demi membantu golongan artis memerlukan.

Program Tautan Kasih Sumbangan Amal yang dilaksanakan bersama rakan artis prihatin itu tertumpu kepada mereka yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

Berkongsi dalam media sosial miliknya, sumbangan berupa beras, milo, gula, biskut, kicap dan sanitiser turut dihulurkan kepada rakan artis, petugas barisan hadapan, jurusolek, ahli kelab peminat dan saudara yang terputus bekalan makanan.

Iklan

“Walaupun dalam keadaan hujan lebat, Ifa tetap turun padang untuk hulurkan sumbangan kepada rakan seangkatan yang merupakan juara realiti ‘Sinaran Pasport Kegemilangan’ 1996.

“Suaranya tetap tak berubah dan alhamdulillah Alina masih sihat. Last jumpa masa di Johor dan buat kerja delivery di kawasan terdekat untuk tampung duit poket,” ujarnya ketika mengunjungi Alina baru-baru ini.

bantuan
SUMBANGAN berupa beras, milo, gula, biskut, kicap dan sanitiser turut dihulurkan kepada mereka yang terputus bekalan makanan.