Nampak kepala ular di bawah mesin basuh tapi rupa-rupanya…

June 30, 2020
Arziana Mohmad Azaman

TIDAK kira apa pun kes, panggilan kecemasan yang diterima daripada orang awam pasti menjadi keutamaan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Waima kes kucing tersangkut pada bumbung rumah pun, abang dan kakak APM ini sanggup datang menghulurkan bantuan segera.

Tidak dinafikan tugas dan tanggungjawab APM ini tidak ubah seperti pasukan bomba yang sentiasa berdepan kes bahaya seperti tangkapan ular berbisa, memusnahkan sarang tebuan dan pelbagai lagi.

Senang cerita, setiap panggilan yang diterima dianggap kes serius yang perlu dibantu segera demi keselamatan pemanggil.

Namun lain pula cerita mengenai satu panggilan kecemasan yang diterima APM Daerah Kuala Selangor yang panik memberitahu ada ‘ular’ di bawah mesin basuhnya.

Perkongsian pemilik akaun Facebook, Suzaini Sulaiman yang juga berpangkat Leftenan Muda (PA) APM Daerah Kuala Selangor itu mengenai satu kes di Ijok, Kuala Selangor baru-baru ini.

apm

Pemanggil dari Ijok bagitahu nampak kepala ular dekat salur air mesin basuh, mula-mula pelik pulak ular sawa apa jenis warna kuning-kuning, biasa corak kelabu je, tarik pelan pelan salur paip terkejut dan ketawa besar bila katak yang muncul.

Takpela kalau camtu tapi jadi bahan kelakar la, pemanggil minta maaf tapi takpe eloklah berhati-hati jika bimbang ular atau haiwan berbisa… sempat jugak la kena kencing dengan katak. Semalam kucing kencing, harini katak pulak, esok sapa pulak nak kencingkan aku ni he he. @ Batu 28 Ijok, Kuala Selangor.”

Disangkakan ular tetapi rupa-rupanya katak. Agak melucukan apabila video berdurasi dua minit 49 saat itu memaparkan tindakan pegawai dan anggota APM siap dengan kelengkapan menangkap ular namun apa yang ditangkap adalah katak.

apm

Katak itu pun sekali pandang seperti ular. Barangkali dek panik, pemanggil tidak dapat membezakan haiwan itu jika dipandang daripada jauh.

Namun apa yang penting, kepantasan APM menghulurkan bantuan wajar dipuji. Bahkan Suzaini suka merakam setiap operasi APM untuk dikongsi kepada rakan Facebook membolehkan warganet tahu peranan APM dalam masyarakat.

Apa pun #janganputusasamalaysia

Komen

About Arziana Mohmad Azaman

Biodata Penulis