Otak Adam di luar tempurung, si kecil berusia dua bulan ini juga menanggung derita sakit saraf

Fatin Hazlin Dahlia Mazlam
March 14, 2021
Oleh Arziana Mohmad Azaman

DUNIA ini penuh dengan cerita. Hal yang menyenangkan hati, pasti membuatkan kita berasa tenang dan selesa. Namun, jika sebaliknya, jangan pula kita cepat kecewa atau putus harapan.

Bagi seorang wanita yang hilang upaya, beliau tidak pernah mempunyai perasaan negatif walaupun ujian yang sedang dipikulnya sangat berat.

Ibu muda bernama Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, cahaya mata bongsunya yang dinamakan Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman berusia dua bulan sedang menanggung derita yang cukup perit bagi seorang bayi apabila menghidap sakit saraf.

UWAIS

“Selain sakit saraf yang dikenali sebagai myelomeningocele with encephalocoele, kedudukan otak Uwais atau nama manjanya Adam berada di luar tempurung.

“Seawal usia tujuh hari, anak saya menjalani pembedahan pada bahagian tulang belakang. Insya-ALLAH pada hari esok, Adam bakal berdepan satu lagi operasi pemasangan shunt pada kepalanya,” katanya.

Menjaga bayi yang masih kecil memang tidak mudah, apatah menghidap pelbagai penyakit. Ketika mendengar pernyataan itu, Fatin Hazlin mengiyakannya.

“Benar, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Namun, dari sudut hati yang terdalam, hati saya sangat sedih bila melihat Adam menanggung sakit, lukanya (ketika pembedahan lalu) masih belum kering dan dia pun nampaknya tak boleh tidur dengan selesa. Minum pun masih guna tiub lagi,” katanya sebak.

Doa

Kepada SinarPlus, wanita itu berterus-terang, beliau tiada jari kelingking pada tangan kiri dan tiada jari tengah pada tangan kanan.

Barangkali ramai terfikir ibu kepada tiga anak itu tidak mampu menjaga anaknya dengan baik.

Iklan

“Pada mulanya, doktor tidak yakin dengan keupayaan saya untuk mencuci luka, tukar tiub makanan dan air kencing, namun alhamdulillah saya buktikan kepada mereka yang saya boleh jadi ‘jururawat‘ kepada buah hati saya ini,” katanya.

UWAIS

Beliau juga menumpang teduh di rumah keluarganya di Kampung Batu Hampar, Manir, Terengganu bersama suaminya Mohd Lekman Zakaria, 35, dan dua lagi anak mereka iaitu Sayyid Luthfi, 6, dan Nur Qairi Luthfia, 4.

Tatkala ditanya tentang proses pembedahan kedua Adam, Fatin Hazlin terdiam sejenak.

Iklan

Penulis seolah dapat memahami gejolak perasaannya. Seawal perbualan, wanita itu memberitahu yang beliau dan suaminya hanya melakukan kerja-kerja kampung.

Mereka mengutip daun herba di hutan untuk dijadikan set mandian orang berpantang dan set bunjut daun serom yang dijual pada harga RM5 sahaja.

Sebelum itu, suami Fatin Hazlin pernah mengambil upah mengangkat buah kelapa sawit, tetapi pekerjaan itu terpaksa ditinggalkan kerana masalah asmanya.

Selepas beberapa ketika, Fatin Hazlin membuka mulut. Katanya, jumlah sebenar prosedur dan kos pembedahan masih belum diketahui.

UWAIS

“Pada 15 Mac nanti (esok), Adam perlu menjalani pemeriksaan imbasan CT (Computed Tomography) di Hospital Kuala Terengganu sebelum pemasangan shunt dilakukan pada kepalanya.

“Doktor maklumkan kena buang air dalam kepala Adam dahulu. Selepas itu, mereka akan maklumkan jumlah keseluruhan, tetapi saya difahamkan mahu pasang shunt, kos yang diperlukan sedikit mahal,” akuinya jujur.

Di sebalik luahan kesedihan ibu tabah itu, beliau tidak henti-henti melafazkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang pernah membantu keluarganya menyumbang lampin pakai buang, susu dan perkakas untuk Adam sebelum ini.

“Semoga ALLAH SWT saja membalas budi baik kali. Dengan rasa rendah diri, saya mohon agar semua dapatkan doakan Adam cepat sembuh dan dapat membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain. Meskipun kedua kakinya lemah, saya harap ada keajaiban untuknya,” tuturnya.

Sehubungan itu, kepada orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan National (BSN) 1100141100012525 atas nama Fatin Hazlin Dahlia Bt Mazlam.

About Arziana Mohmad Azaman