CUTI semester sempena musim sejuk yang diimpikan dipenuhi momen terindah buat penuntut antarabangsa di Universiti Shandong, China menjadi peristiwa hitam yang tidak boleh dilupakan. Memori yang terakam pasti terpahat selama-lamanya.

Panik, cemas, hilang punca dan ketakutan. Semua perasaan bergejolak apabila detik itu yang sepatutnya diisi dengan aktiviti melancong atau pulang ke tanah air bertukar menjadi tempoh berkurung hampir dua bulan gara-gara wabak Covid-19!

Perjalanan pulang Nurul Atiqah Adanan dari Universiti Shandong untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing cukup mendebarkan, lebih-lebih lagi terperangkap pada saat China teruk dilanda virus itu.

Menurut anak kelahiran Langkawi itu, seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, sudah menjadi kelaziman penuntut tempatan pulang ke kampung halaman masing-masing. Suasana kampus ketika itu sudah sunyi sepi.

Pada ketika itu, pergerakan pulang rakyat China ke kampung secara besar-besaran dikenali sebagai peristiwa ‘migrasi’ terbesar di dunia. Dianggarkan tiga bilion perjalanan dicatatkan.

”Sepatutnya, saya merancang pulang ke Malaysia pada 11 Februari lalu iaitu selepas tamat persidangan akademik di Bangkok. Namun, dua hari sebelum penerbangan ke Thailand, saya menerima pesanan ringkas menyatakan pembatalan penerbangan.

”Usaha dua bulan menyiapkan kertas pembentangan bersama rakan ASEAN yang lain terkubur begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

covid-19
NURUL ATIQAH merupakan penuntut sarjana yang menerima tajaan daripada kerajaan China.

Berkongsi pengalaman sepanjang berada di Shandong, China yang sunyi sepi bagaikan dilanda garuda, anak sulung daripada enam beradik itu tidak dapat membayangkan kota Shandong yang sibuk sebelum ini menjadi bandar ‘hantu‘.

”Kami sudah terbiasa suasana sibuk dengan kereta yang banyak dan orang ramai. Tiba-tiba satu hari semuanya lengang seolah-olah tidak berpenghuni. Nak kata cemas, takut memang tak dinafikan, ketika itu kami macam hilang punca.

”Memandangkan keadaan di Shandong semakin membimbangkan, saya nekad merancang perjalanan pulang dari Jinan-Shanghai-Kuala Lumpur,” ceritanya.

Bagaimanapun, sebagai manusia hanya mampu merancang dan hanya ALLAH menentukan segala-galanya. Dua hari sebelum penerbangan, penuntut sarjana dalam bidang pengajian China itu sekali lagi menerima khidmat pesanan ringkas yang sama iaitu pembatalan penerbangan.

”Pembatalan penerbangan kali kedua membuatkan saya panik. Seolah-olah tiada usaha untuk keluar dari Jinan melalui udara,” katanya yang berkongsi pengalaman mendebarkan sepanjang tempoh 12 hari sebelum berjaya peluang ke tanah air.

covid-19
SAAT Universiti Shandong, China dilanda wabak Covid-19, Nurul Atiqah (tengah) hanya tinggal berdua bersama rakan sebiliknya, Ynn Yeoh (kiri) dan menjalani tempoh berkurung yang penuh debaran.

Catatan ringkas penuh debaran

20/1/2020

Hanya air mata menemani diri tatkala mengenangkan nasib yang ‘terperangkap‘. Bagaimanapun, teman senegara, Pei Ynn Yeoh memberikan semangat supaya berhenti menangis dan kembali rasional untuk memikirkan cara baharu untuk pulang. Tinggal kami berdua sahaja di kampus utama. Kami saling menjaga kebajikan dan kesihatan sepanjang tempoh sekatan pergerakan. Bekalan makanan seperti sayur dan buah-buahan tidak segar seperti biasa. Pilihan juga tidak banyak. Dengan membayar 80 yuan (RM50), kami hanya dapat membeli 16 biji telur, tomato dan pak choy. Pada hari kebiasaan, dengan 80 yuan saya boleh membeli bekalan ayam, sayur dan buah-buahan dengan banyak. Begitupun, pada semasa virus Covid-19 ‘menggila‘, hanya telur dan sayur menjadi juadah makanan.

28/1/2020

Saya menghubungi pihak kedutaan memaklumkan pembatalan perjalanan pulang. Selepas perbincangan, saya mengambil risiko untuk menggunakan kereta api laju untuk ke utara China iaitu Beijing.

Iklan

29/1/2020

Tiba di stesen kereta api laju di Jinan, perkhidmatan kereta api laju masih beroperasi seperti biasa. Akan tetapi, pemeriksaan ketat seperti pemeriksaan suhu badan di setiap pintu masuk stesen, kedai makan dan sebelum masuk ke kereta api laju. Pelayan kereta api laju turut mengedarkan borang pergerakan kepada setiap penumpang untuk diserahkan kepada pihak berkuasa di stesen terakhir. Usaha itu bagi mengira jumlah bilangan penduduk keluar dan masuk di setiap negeri.

covid-19
KAWASAN premis kedai di luar kawasan kampus yang lengang sedangkan sebelum ini sesak dengan orang ramai.

30/1/2020

Apabila sampai di stesen kereta api Beijing, saya terpaksa beratur panjang selama satu jam setengah untuk menanti giliran menaiki teksi. Rata-rata penumpang tidak mahu menggunakan pengangkutan subway yang ternyata lebih murah. Mereka dan saya sanggup membayar lebih asalkan kami dapat menaiki teksi dan mengamalkan jarak sosial (social distancing) yang selamat. Keputusan untuk melalui Beijing pada ketika itu kerana bahagian Selatan China mencatatkan kes tertinggi di China berbanding kawasan utara. Saya membuat tempahan penerbangan dengan MAS kerana saya pasti tiada pembatalan penerbangan dan penerbangan terus ke Kuala Lumpur tanpa transit. Ini bagi meminimumkan kontak kerana saya telah demam dan batuk pada waktu tersebut. Kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing lengang dengan manusia. Papan penerbangan tempatan kebanyakan memaparkan penerbangan dalam China dibatalkan, bagaimanapun proses penerbangan pulang berjalan dengan lancar.

31/1/2020

Sebaik sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suhu badan saya mencatat bacaan 38.2 darjah Celsius. Pegawai kesihatan mengasingkan saya dengan penumpang lain dan ditempatkan di ruang isolasi selama tiga jam. Sepanjang tempoh tersebut, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklumat diri, diberi pemeriksaan kesihatan dan ubat sebelum dibenarkan melepasi imigresen. Semasa saya berada di KLIA, saya sentiasa mengamalkan amalan social distancing yang selamat. Dengan keadaan yang demam dan batuk, saya tidak mahu menyebarkan virus kepada rakyat Malaysia. Oleh itu, semasa proses mendaftar diri di kaunter penerbangan MAS, saya meminta untuk diletakkan di barisan yang tiada penumpang dengan menyerahkan kad kesihatan yang diberi oleh KKM.

Iklan

1/2/2020

Tiba di Langkawi, terus saya ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut. Saya diasingkan terus dan dibawa ke wad isolasi. Saya ditahan selama empat malam di wad isolasi bersama kanak-kanak warganegara China yang disahkan positif Covid-19. Proses mendapatkan sampel air hidung dan tekak sangat menyakitkan. Barisan doktor dan jururawat siap dalam berpakaian keselamatan untuk pesakit wad isolasi. Saya berasa kasihan kerana mereka terpaksa melalui pelbagai proses sebelum dan selepas merawat pesakit Covid-19. Sepanjang tempoh isolasi, tiada lawatan oleh ahli keluarga.

5/2/2020

Apabila saya disahkan negatif, doktor membenarkan saya pulang. Beliau mengingatkan supaya teruskan kuarantin di rumah selama dua minggu. Keprihatinan KKM berterusan dengan menghubungi saya setiap hari sepanjang tempoh dua minggu untuk memastikan tiada simptom. Syukur kini sihat dan bebas wabak, gadis berusia 25 tahun itu merakam penghargaan kepada semua pihak dan rakyat Malaysia yang mendoakan dan membantu sepanjang tempoh perjalanan pulang ke negara ini.