MELIHAT ibu bapanya yang resah memikirkan duit simpanan semakin hari semakin menyusut untuk menampung hidup mereka sekeluarga, cukup memilukan hati Noni Fitriah Ilias.

Mengenangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan, kedua-dua orang tuanya itu pasti tidak dapat berniaga sayur dan hasil kampung seperti biasa.

Lebih menyedihkan, stok pisang yang sepatutnya dijual di pasar malam rosak begitu sahaja sehingga terpaksa menanggung kerugian yang cukup membebankan.

Masakan tidak, sumber pendapatan yang bergantung dengan hasil jualan sayur-sayuran dan hasil kampung kini ‘hilang’ sekelip mata sahaja gara-gara wabak Covid-19.

Berkongsi dugaan dihadapi, anak bongsu daripada lapan beradik yang mesra dipanggil Noni itu berkata, memang tidak dinafikan ibu bapanya tidak dapat berniaga dan terpaksa duduk di rumah sejak PKP bermula.

“Nak jual pisang masa mula-mula PKP pun dah buntu sebab kedai banyak tutup. Emak pun sedih sangat bila memikirkan hasil pisang yang boleh dijual di pasar malam rosak macam itu sahaja.

“Risau memikirkan hasil sayur kampung, pisang, keladi dan ubi rosak begitu sahaja, saya dengan kakak cuba menjualnya di kedai runcit, namun tiada siapa yang mahu,” katanya sebak.

Pasrah dengan keadaan itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Selangor tersebut mencuba ikhtiar lain. Semuanya bagi membantu keluarganya menjual hasil kampung tersebut.

“Saya cuba nasib jual pisang yang masih elok dekat peniaga pisang goreng tepi jalan. Alhamdulillah laku 30 kilogram dan bolehlah duit yang ada digunakan untuk beli barang dapur.

“Sebab apa yang penting sekarang ialah duit belanja dapur sahaja sepanjang nak tunggu habis PKP. Duit simpanan yang ada pun tinggal sikit,” bicaranya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

pkp
HASIL kampung yang dijual Noni bagi menampung kos sara hidup keluarganya sepanjang tempoh PKP.

Cikgu prihatin

Ya, benar! Rezeki ALLAH itu tidak pernah salah alamat. Di kala kesempitan itu, siapa sangka Noni sekeluarga didatangkan seorang insan prihatin untuk membantu.

Mesej pesanan ringkas seorang guru yang pada mulanya hanya mahu bertanya khabar dan ingin membeli hasil jualannya memberi sinar buatnya sekeluarga.

Ujar penuntut Universiti Selangor dalam jurusan perakaunan itu, keprihatinan bekas gurunya itu cukup dihargai dan membuka ruang untuknya membantu keluarga.

Iklan

“Saya memang tak ada kenal siapa-siapa pun di Puncak Alam kecuali bekas cikgu di sekolah menengah. Apabila beliau bertanyakan khabar emak, saya tidak dapat menahan sedih dan menceritakan segala-galanya kepadanya.

“Alhamdulillah, beliau sudi panjangkan tempahan sayur dan hasil kampung kepada penduduk di Puncak Alam untuk membantu,” ceritanya penuh semangat.

Syukur ALLAH membukakan pintu rezeki keluarganya, tempahan sayur dan hasil kampung yang diterima cukup memberangsangkan. Noni terus menjalankan khidmat penghantaran dari rumah ke rumah.

“Saya tidak dapat nak gambarkan perasaan emak ayah bila kami menerima pesanan dan tempahan sayur kampung. Alhamdulillah, syukur kami masih mampu ‘bernafas’ lagi.

“Betullah kata emak. Jangan cepat putus asa dengan ujian yang ada. Meskipun ditimpa kesulitan, percayalah ALLAH ada perancangan terbaik buat kita tanpa kita sedar,” ujarnya.

Iklan
pkp
HANTARAN yang dikongsi di media sosial untuk jualan hasil kampung.

Sudah menjadi harapannya untuk melihat wabak Covid-19 ini berakhir dengan segera supaya mereka sekeluarga dapat meneruskan hidup dan berjualan di pasar malam semula.

“Sementara tunggu pendaftaran semester baharu pada April nanti, saya kalau boleh nak bantu emak dan ayah yang kurang sihat. Bila ada peluang macam ni, saya guna sebaik mungkin untuk tambah pendapatan.

“Mungkin ada di luar sana turut berdepan nasib yang sama. Jangan putus asa, bak kata emak selagi belum cuba, belum tahu. Kalau tidak boleh berniaga setempat, kena ubah untuk khidmat penghantaran pula,” kongsinya.