HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu ungkapan sesuai buat dua orang anak muda telah yang beralih perniagaan daripada pengusaha membuat pelamin kepada perniagaan kambing perap.

Memetik laporan media tempatan, keputusan tersebut dibuat selepas pelanggan membatalkan tempahan pelamin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Mohd Rizduan Mat Lela dan rakannya Saiful Hakim Rozmi dari Felda Jerangau Barat, Ajil, Terengganu memberitahu ramai pelanggannya yang membatalkan tempahan pelamin untuk majlis Mac hingga Disember tahun ini.

“Masa PKP diumumkan pada Mac, memang rasa agak sedih dan tertekan bila lebih 30 pelanggan membatalkan tempahan pelamin dan baju sebab majlis perkahwinan tak dapat dilangsungkan.

“Untuk pelanggan yang membuat tempahan khas baju pengantin, kami terpaksa tanggung kerugian hampir RM2,000 hingga RM3,000 untuk seorang pelanggan sebab baju kami tempah dengan tukang jahit.

“Memang agak runsing memikirkan sebab wang simpanan pun dah habis. Saya dan rakan saya ada komitmen masing-masing. Nak belanja makan pun terpaksa berjimat,” katanya.

Tidak mahu terus berputus asa dan hanya bergantung pada takdir, Mohd Rizduan yang mempunyai minat dalam bidang masakan mencuba nasib mengusahakan perniagaan kambing perap bagi mencari duit poket, bermula April lalu.

“Sebelum ni, saya memang minat memasak dan pernah juga menjual kek secara kecil-kecilan selepas tamat sekolah. Idea untuk jual kambing perap ini timbul selepas saya dan rakan membeli kambing bakar di sebuah gerai yang harganya agak mahal, tetapi tidak berpadanan dengan harga kerana isinya hanya sedikit.

Artikel berkaitan: Wow semua menu RM1 je. Patutlah pelanggan sanggup beratur tunggu turn

“Biasanya, di pasar malam kambing bakar mahal harganya tetapi isinya hanya dapat sedikit. Jadi, saya buat keputusan untuk jual dengan harga yang berpatutan dan ia dapat dinikmati sekeluarga,” katanya yang menjual kambing yang telah diperap dengan harga RM40 sekilogram.

Mohd Rizduan menambah, untuk menghasilkan perapan kambing yang enak, beliau menggunakan ramuan tersendiri termasuk beberapa jenis sos dan rempah ratus.

Iklan

Beliau menggunakan platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram serta aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan pelanggan sebelum membuat khidmat penghantaran ke beberapa daerah di Terengganu termasuk Dungun, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.

“Rezeki PKP, ramai juga pelanggan yang rindukan lamb chop di restoran, beli kambing perap untuk makan bersama keluarga di rumah sebab masih ramai orang memilih untuk makan di rumah walaupun dah boleh makan di luar.

“Mungkin ini hikmah di sebalik PKP, selepas ini jika keadaan kembali pulih (menerima tempahan pelamin), insya-Allah saya akan buat dua perniagaan dalam satu masa. Bolehlah jadikan pendapatan sampingan. Sambil buat pelamin, boleh jual kambing perap,” katanya yang menjual sehingga 15 kilogram kambing perap sehari.

Iklan

Tahniah!

PENULIS: FAIZUL HAKIMI ZULKIFLI