BERSAMA Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Haji Hushim Salleh

SOALAN

Haji, saya seorang wartawan, manakala suami saya telah dibuang kerja gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan. Sehingga kini beliau masih belum dapat kerja walau berkali-kali pergi interviu.

Mahu dijadikan cerita, ibu dan ayah tinggal di rumah saya, sementara rumah di kampung masih dalam proses dibaiki.

‘Sepeninggalan’ saya di pejabat, rupa-rupanya suami saya memendam rasa apabila ibu saya sering memerlinya kerana menganggur.

Hal ini pun dimaklumkan oleh bapa saya sendiri yang susah nak menegur sikap ibu yang terlalu dominan.

Haji, apa nasihat haji kepada saya? Saya sayang ibu dan suami. Bukan suami tak berusaha, tetapi belum ada rezeki lagi.

  • DILEMA WARTAWAN, 43
    Cheras, Selangor

 

JAWAPAN:

TIDAK dinafikan, sejak dua tahun kebelakangan ini kita semua berdepan pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan.

Keadaan itu juga memberi kesan dari segi emosi dan mental termasuklah suami pengadu yang terpaksa menganggur selepas diberhentikan kerja.

Menurut aduan yang dikongsikan, ibu pengadu sendiri yang dikatakan suka memerli hanya kerana menantunya seorang penganggur.

menganggur

Saya memahami, keadaan itu membuatkan puan sebagai seorang isteri menjadi serba salah.

Mana tidaknya, mana mahu menegur sikap ibu dan pada masa sama, menjaga hati suami.

Pun begitu, tidak mustahil nanti pendekatan itu akan menimbulkan masalah kepada hubungan pengadu dengan ibunya sendiri dan paling teruk, si ibu merajuk hingga boleh keluar dari rumah.

Lebih-lebih lagi, merujuk kepada soalan yang diajukan, ibu pengadu seorang yang dominan.

Personaliti individu yang bersikap sedemikian rupa biasanya mempunyai ego yang tinggi dan sukar untuk menerima teguran waima daripada suami atau anak sendiri.

Iklan

Justeru, puan memainkan peranan penting demi mengharmonikan hubungan suami dan ibu.

Pertama sekali, pengadu perlu duduk berbincang dengan suami dari hati ke hati supaya dirinya tidak terguris dengan kata-kata ibu.

menganggur

Kalau boleh, pengadu perlu memujuknya supaya sentiasa bersabar dan berusaha lebih gigih untuk mencari rezeki baharu.

Puan juga dinasihatkan supaya sentiasa menjadi tulang belakang untuk menyokong suami walaupun berdepan pelbagai ujian sekali pun.

Iklan

Jangan lupa untuk memberikan kata-kata motivasi kepada suami supaya beliau tidak lemah semangat.

Percayalah, pada suatu hari nanti, beliau pasti akan mendapat kerja semula.

Doa

Insya-ALLAH, sentiasalah berdoa kepada ALLAH agar suami puan kembali bangkit dengan kerjaya dan nafas baharu.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI